PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

Teori ini ada potensi besar luaskan mindset kita dalam mencapai status bebas kewangan.

Tok pasti korang pernah dengar teori hierarki keperluan Maslow (Maslow’s Hierarchy of Needs). Tok sediakan gambar di bawah untuk “refresh” balik fikiran kita.

 

Maslow's_hierarchy_of_needs.svg

 

Abraham Harold Maslow adalah seorang ahli psikologi. Beliau cipta hierarki ini sebab nak faham psikologi manusia secara lebih mendalam.

Beliau percaya manusia buat sesuatu perkara atas pengaruh motivasi tertentu.

Secara asas, hierarki ini beri gambaran yang manusia perlu penuhi keperluan tahap rendah, sebelum beralih penuhi tahap keperluan yang lebih tinggi. Sehingga mereka capai tahap tertinggi iaitu “self-actualization.”

Korang boleh belajar lebih mendalam dengan klik di sini.

Paling best, teori ini tak berhenti setakat itu sahaja. Ada juga yang gunakan konsep ini untuk aspek lain, seperti yang akan Tok tunjukkan kat korang ini.

Konsep yang sama. Tapi kita boleh guna untuk lain perkara (dan ia pula sangat ohsem!).

Seorang blogger kewangan yang dikenali sebagai Mister Squirrel kongsikan teori beliau. Pada pandangan personal, Tok rasakan ia amat menarik untuk kita baca dan kaji.

fire hierarchy of needs (after maslow)_edited

Beliau gelarkan teori ini sebagai “Hierarchy of FIRE” (Financially Independent and Retired Early). 

Teori ini gunakan konsep yang sama seperti hierarki Maslow. Objektif kita adalah untuk hendak capai peringkat tertinggi hierarki ini dan hidup bebas kewangan.

Korang boleh gunakan teori ini sebagai alat bantuan untuk bersara awal.

Kat sini, Tok nak jelaskan ciri-ciri setiap peringkat hierarki ini. Agar korang boleh mula gunakan teori ini dan rangka pelan pelaburan yang lebih mantap.

Peringkat #1: Survival.

Mula latih minda kita untuk berfikir tentang duit dengan betul.

Squirrel juga berpesan:

“Jika masih ada fikiran yang kerajaan akan bantu kita, duit akan jaga diri dengan sendirinya, atau kita akan bernasib baik untuk menang loteri satu hari nanti, kita masih belum ada “mindset” yang betul tentang duit.”

Pada peringkat ini, kita hidup dengan cara sederhana (kawal perbelanjaan secara terperinci), dan amalkan belanja tidak lebih daripada pendapatan bulanan kita.

Peringkat #2: Bebaskan diri daripada belenggu hutang.

Lain orang, lain beban hutang mereka. Tidak semua kongsi masalah dan jenis hutang yang sama.

Peringkat ini perlukan kita untuk capai tahap bebas hutang. Squirrel maksudkan hutang yang tidak beri manfaat kepada kita. Sebagai contoh, hutang kad kredit untuk beli model iPhone terkini.

Hutang yang beri kita manfaat, tidak dilarang. Seperti bayaran ansuran untuk kereta yang dibuat sewa, atau sebagainya. Pastikan perkara ini sudah atasi dengan baik sebelum kita beralih ke peringkat seterusnya.

Peringkat #3: Tingkat taraf ilmu sedia ada.

Kita sudah mula amalkan tabiat simpan duit, sebagai langkah persediaan untuk hadapi kecemasan. Kita juga sudah mula membentuk “mindset” untuk gunakan duit sebagai alat tambah ilmu kita.

Mula buat soalan agar jelas dengan matlamat yang kita mahu tuju. Antara contoh soalan yang membantu seperti:

  • Apakah jenis pelaburan yang boleh buat lebih banyak duit?
  • Kelas kewangan manakah yang sesuai untuk kita laburkan duit?
  • Patutkan kita mulakan pelaburan X sekarang?

Jika ada soalan, kita boleh mula fikirkan jawapan kepada soalan itu pada peringkat ini. Mulakan dengan buat kaji selidik terlebih dahulu. Kita cukup beruntung sebab pakcik Google sudah ada dan boleh bantu kita di sudut mencari informasi.

Peringkat #4: Mulakan pelaburan.

Sudah dapatkan jawapan untuk setiap soalan sebelum ini? Tiba masa untuk ambil tindakan. Jelas Squirrel, tiada had pada peringkat ini. Gunakan segala kepakaran dan ilmu yang kita ada, sehingga berjaya capai peringkat seterusnya.

Peringkat #5: Rangka pelan optimumkan pelaburan.

Kita sudah dapatkan jawapan untuk soalan kita, dan sudah tempatkan duit di tempat yang betul.

Pada peringkat ini, mulakan dengan rangka pelan pelaburan secara spesifik. Ia bergantung kepada objektif yang kita mahu capai dengan pelaburan yang dibuat. Kaji matlamat, dan rangka pelan tindakan untuk kita capai matlamat itu.

Sebagai contoh, kita boleh:

  • Buat pelan terperinci untuk sebarang cukai yang perlu dibayar, dan cukai yang boleh kita tuntut daripada kerajaan.
  • Pelan untuk uruskan campuran aset kita secara teratur.
  • Rangka sistem untuk rekod duit masuk atau keluar secara sistematik dan berkesan.

Ini contoh sahaja. Tak perlu korang ikut bulat-bulat. Yang penting, tindakan kita sesuai dengan matlamat yang hendak dicapai.

Peringkat #6: Capai taraf bebas kewangan.

Ini adalah peringkat terakhir hierarki ini. Squirrel berharap kita semua dapat capai peringkat ini.

Ketika ini, kita sudah tak ada hutang yang tak bermanfaat, ada skil urus duit yang baik, ada banyak ilmu dan pengalaman tentang pelaburan, serta portfolio pelaburan yang baik.

Kita juga sudah cipta rangkaian pendapatan pasif, dan dapatkan pulangan lumayan setiap bulan.

Maknanya? Tak perlu risau lagi jika mahu pencen awal. Sebab sudah ada pendapatan pasif yang boleh tanggung perbelanjaan kita.

Yang pasti, kita tak perlu pening kepala pasal duit lagi.

Korang hanya boleh percaya 1% sahaja perkongsian Tok kali ini.

Sama seperti lain-lain teori, Tok nak ingatkan yang teori ini tak 100% tepat. Tapi ia ada potensi untuk kita guna dan buka minda kita, dan latih kita melihat kewangan daripada sudut berbeza.

Tok nak tambah sikit. Sebelum korang mula guna teori ini, Tok cadangkan buat kajian terlebih dahulu. Jangan ambil sesuatu secara membuta tuli.

Tok tak nak korang pening kepala dengan masalah, jadi jangan mulakan dengan menyusahkan diri korang sendiri.

Bagi Tok, korang boleh guna teori ini sebagai templet untuk berfikir daripada sudut yang berbeza.

Mana tahu dengan cara fikir yang lain daripada biasa, korang boleh dapatkan tahap bebas masalah kewangan dengan lebih cepat, kan?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *