PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

Kenapa anda tak perlu tergopoh-gapah beli rumah untuk duduk sendiri?

Ramai yang tergopoh-gapah nak memiliki rumah impian tanpa buat kira-kira terlebih dulu.

Penyudah nanti, kewangan sendiri tersangkut.

Hakikatnya, tak semua rumah sesuai untuk kita beli. Kadang-kala, lebih bagus kita menyewa saja.

Silap haribulan, rumah terpaksa dijual sebab diri sendiri tak mampu nak tanggung.

Mungkin perkongsian kat blog Tuan Mohd Zulkifli ini akan membantu korang buat keputusan yang terbaik untuk hal ini.

Terpaksa tukar rancangan asal

Kami dalam proses berpindah ke rumah baru.

Rumah yang dahulunya kami rancang untuk beli, akhir sekali kami suami isteri buat keputusan, lebih baik menyewa sahaja. Sebab bila dikira dari sudut pelaburan (jika beli dan disewakan), ianya tak berbaloi.

Rumah-rumah yang saya beli sebelum ni, kalau ansuran bank RM800, saya dapat sewakan at least sekitar RM900 – RM1,000. Ada positive cashflow.

Tapi ‘rumah impian’ yang kami menyewa sekarang, nilai sewaannya hanya 60% sahaja dari ansuran bank!. Kalau beli, maksudnya saya terpaksa menanggung lagi 40% kalau disewakan.

Ianya tak berbaloi dari sudut pelaburan. Lebih baik menyewa dan gunakan duit yang ada untuk pelaburan.

Rumah impian kita biasanya harganya mahal. Kalau kita terlalu gopoh membeliI rumah impian, nanti kekayaan kita akan “tersangkut” pada rumah itu. Ia tak boleh dikembangkan lagi.

Masa saya survey rumah tu, antara pemiliknya ialah pasangan suami isteri yang saya kira berusia akhir 20-an atau awal 30-an.

Antara sebab kenapa mereka nak sewakan rumah tu sebab komitmen kewangan terlalu tinggi.

Mereka terpaksa berpindah ke rumah mentua dan sewakan rumah tu untuk bayar ansuran bank. Walaupun memang berat, tapi ia terpaksa mereka buat.

Mana satu yang lebih berbaloi?

Harga rumah yang saya sewa tu sekitar RM550,000 – RM750,000.

Saya buat kira-kira. Kalau beli rumah tu, saya menanggung ansuran bank termasuk maintenance RM3,000 – RM4,000 sebulan.

Tapi kalau menyewa, saya hanya perlu membayar RM1,500 – RM2,200 sahaja. Dan ianya fully-furnished. Itulah kadar sewaan rumah di kawasan itu hari ini.

Dari perspektif pelaburan, ianya tak berbaloi.

Kalau untuk pelaburan, lebih baik beli rumah-rumah kos sederhana yang nilai sewaannya sekurang-kurangnya boleh lepas bayar ansuran bank dan maintenance rumah.

Walaupun kita berhutang untuk beli rumah, tapi hakikatnya kita tak perlu membayar hutang itu menggunakan duit poket kita. Ia dibayar dengan duit penyewa.

Satu rumah yang saya beli tahun lepas, ansuran bank termasuk maintenance sekitar RM1,050 sebulan.

Tapi nilai sewaan rumah tingkat 1 (rumah saya di tingkat 1) apartment itu RM1,100 – RM1,200 kalau disewakan kosong. Kalau partly-furnish atau fully-furnish, pastinya lebih daripada itu.

Kalau disewakan mengikut kepala (macam asrama), sewaannya boleh lebih RM2,000 sebulan!

Bila stesyen MRT di sebelah apartment itu siap, sahabat boleh agak sendiri apa yang berlaku kepada kadar sewaan rumah-rumah di situ.

Dan boleh dikatakan kadar sewaan meningkat dari tahun ke tahun sedangkan ansuran bank fixed. Jadi rumah-rumah begitulah baru berbaloi dibeli kalau untuk dibuat pelaburan.

Alat pelaburan yang menjana duit

Saya perhati, otai-otai hartanah beli rumah untuk dijadikan mesin-mesin duit.

Bila ada duit, guna duit tu untuk sewa di mana-mana rumah impian yang kita suka.

Kalau dah tak suka atau dah bosan dengan rumah tu, pindah ke rumah impian lain pulak (Selalu ingat ya, yang impian kita sentiasa berubah dari semasa ke semasa).

Duit untuk menyewa rumah impian tu, kita bayar dengan keuntungan dari duit sewaan rumah-rumah yang kita beli tu. Dan itulah yang dilakukan oleh beberapa otai hartanah yang saya kenal.

Mereka memiliki berpuluh-puluh hartanah, tapi mereka duduk menyewa rumah orang lain. Ianya pelik bagi kita, tapi tak pelik bagi jutawan hartanah.

Kalau terlalu gopoh beli rumah impian, kekayaan dan kemajuan kita mungkin tersangkut, terutamanya bagi orang muda seperti saya.

Kita menanggung hutang besar yang tak bagi apa-apa pulangan.

Bila hutang besar, bank takut untuk bagi pinjaman lagi. Kekayaan kita tak dapat dikembangkan lagi menggunakan duit-duit bank.

Bertukar jadi dilema yang membebankan

Yang kedua, bila duduk di rumah impian, kita dah tak bebas bergerak (tak mobile).

Contohnya, kita bekerja di Damansara dan beli rumah impian di Sg. Buloh. Jaraknya sekitar 15 – 20 kilometer untuk ke tempat kerja.

Tiba-tiba kita dapat tawaran kerja dengan gaji yang lebih baik, tapi pejabatnya di Cyberjaya yang jaraknya 50 – 60 kilometer dari rumah. Masa tu kita akan hadapi dilema.

Nak pindah ke Cyberjaya pula susah, sebab sayang kat rumah impian yang dibeli.

Kalau disewakan, ianya tak boleh cover untuk bayar ansuran bank.

Itu belum cerita ianya tak sampai hati untuk disewakan sebab kita dah renovate rumah habis dekat RM100,000 guna personal loan.

Akhir sekali, memang tak akan pindah.

Mungkin ada sesetengah orang yang sanggup memandu 1 jam – 2 jam (tak termasuk traffic jam) untuk ke tempat kerja, dan habis duit beratus-ratus ringgit sebulan hanya untuk tanggung petrol dan tol ke tempat kerja.

Rumah impian sebagai beban kewangan

Duit kita habis, masa kita habis dan badan kita pun penat. Akhir sekali, kita stress dengan kehidupan kita. Rumah impian yang kita beli sudah bertukar menjadi penjara kewangan.

Satu perkara yang kita perlu sedar, rumah yang kita duduk sendiri bukanlah aset (harta) kita. Ia adalah liabiliti (beban kewangan) kita.

Jangan berbangga kalau beli rumah dahulunya RM200,000, tapi hari ni KALAU dijual harganya mencecah RM1 juta sekalipun.

Kenapa?

Walaupun harga sudah RM1 juta, kalau dijual, kita nak duduk merempat di mana? Adakah kita sanggup jual rumah tu dan duduk di rumah lebih murah yang lain?

Saya rasa, majoriti tak sanggup jual rumah impian sebab hati kita terlalu sayang rumah itu. Ianya sangat sentimental bagi kita.

Cuma dari sudut pelaburan, ia tak memberi apa-apa kebaikan dan keuntungan.

Elakkan ikatan emosi yang berlebihan dengan rumah

Hari tu, masa saya beritahu anak-anak, kami akan berpindah ke rumah lebih baik.

Rumah 3 kali ganda lebih luas, pemandangan lebih cantik, fasiliti lebih baik, ada kolam renang dan taman yang luas, ada court badminton tertutup (yang anak saya suka), serta sekuriti yang lebih ketat.

Saya terkejut, anak pertama dan anak kedua saya (darjah 5 dan darjah 3) sedih dan menangis. Mereka nak tinggal di rumah lama juga.

Walaupun keluasan rumah hanya 1/3 daripada rumah yang kami menyewa sekarang ini, mereka sangat sayangkan rumah tu. Katanya, rumah tu jangan disewakan. Mereka nak datang duduk sesekali.

Saya rasa, bukan kanak-kanak jer macam tu, orang dewasa lebih-lebih lagi sayang.

Rumah kita sangat sentimental bagi kita. Dan bila ianya terlalu sentimental (ikatan emosi yang kuat) dengan kita, janganlah anggap ianya sebagai harta.

Ia adalah beban kewangan selagi kita hidup dan membayar untuk duduk.

Hinggalah bila kita dah mati dan rumah tu dijual dan difaraidkan oleh ahli keluarga, masa tu barulah boleh dianggap sebagai harta bagi keluarga, tapi bukan lagi harta untuk kita.

Belajar bezakan antara aset dan liabiliti

Saya ingat pesan guru-guru kewangan.

“Liabiliti” ialah duit keluar dari poket kita. “Aset” ialah apa yang menambah duit ke poket kita.

Jadi kalau nak beli rumah untuk pelaburan, kita mesti clear dari sudut itu. Asingkan antara ikatan emosi dan kiraan matematik.

Rumah boleh jadi liabiliti (beban kewangan), dan rumah juga boleh jadi aset kepada kewangan kita.

Beli rumah untuk kediaman sendiri tak ada masalah, tapi jangan ambil kira ianya sebagai aset selagi ia tak dapat menambah kekayaan kita.

Dan lebih bijak kalau rumah impian itu kita bayar hasil dari duit yang dijana dari harta-harta kita berbanding membayarnya dengan duit gaji kita.

Sama ada nak beli atau menyewa, ianya satu pilihan. Sama ada nak beli atau menyewa, hakikatnya kita hanya perlu tempat untuk berteduh sahaja.

Kalau menyewa, akhir sekali kita terpaksa tinggalkan rumah itu sebab ianya bukan milik kita. Kalau beli pun sama juga.

Akhir sekali, rumah itu terpaksa kita tinggalkan kepada ahli waris bila kita mati. Hakikatnya, ianya bukan milik kita juga. Ia hanya pinjaman dari Tuhan sementara umur dikandung badan.

Tak ada yang kekal dalam hidup ini kecuali amal soleh untuk dibawa bertemu Tuhan.

Tak berdosa pun bila kita lambat beli rumah impian. Janji kasi portfolio pelaburan korang kencang dulu.

Bila dah ada beberapa biji rumah yang mampu menjana pendapatan ohsem nanti, korang ada kapasiti untuk menyewa mana-mana rumah yang korang suka.

Pendek kata, beli rumah impian hanya bila korang dah stable nanti. Tak kan lari gunung dikejar.

Tak nak terlepas info dan tips terkini berkaitan hartanah dan kewangan? Tok nak ajak korang join Channel Telegram rasmi Gilahartanah. Klik gambar untuk join.

[KLIK GAMBAR SEKARANG]

Jom join Channel Telegram rasmi GilaHartanah.
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *