PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

Skim Perumahan Belia dapat peruntukan RM6 bilion untuk 20,000 pemohon yang belum beli rumah

Bank Simpanan Nasional (BSN) menawarkan 20,000 pemohon pinjaman dengan peruntukan bernilai RM6 bilion di bawah Skim Perumahan Belia bagi pembeli rumah pertama untuk memiliki hartanah.

Timbalan Ketua Eksekutif Perbankan Runcit BSN, Frede­rick Siew Kin Meng berkata, institusi per­bankan itu juga sedang meneroka kerjasama strategik bersama pelbagai pemaju hartanah.

Ini sejajar dengan inisiatif kerajaan dalam pengumuman Bajet 2017.

“Pembeli rumah pertama berdepan dengan pelbagai cabaran pemilikan termasuk peningkatan berterusan harga hartanah, kelulusan pinjaman bergantung kepada paras pendapatan serta keupayaan untuk membayar wang pendahuluan 10 peratus.”

“Sejak diperkenalkan pada Julai tahun lepas hingga Oktober lalu, tawaran skim ini telah berjaya memperoleh sebanyak 4,000 permohonan pinjaman bernilai hampir RM1 bilion dengan kadar kelulusan kira-kira 50 peratus,” katanya.

Ada pinjaman Islamik dan juga konvensional sehingga RM500,000

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di majlis kerjasama pemilikan hartanah antara BSN dengan pemaju, Orien­tal Interest Berhad (OIB) bagi menawarkan Skim Perumahan Belia untuk pembelian Kondomi­nium Seroja Hills fasa dua di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi OIB, Datuk Lim Teong Kiat; Ke­tua Pegawai Operasi Bahagian Pemasaran pemaju hartanah itu, Beh Suan Sim dan Naib Presiden Kanan Ketua Pengedaran BSN, Akhsan Zaini.

Skim Perumahan Belia oleh BSN bermatlamat membantu pasangan berusia antara 25 hingga 40 tahun berpendapatan isi rumah tidak melebihi RM10,000 dengan peluang untuk memiliki kediaman idaman.

Di bawah skim itu, BSN menyediakan kedua-dua pinjaman perumahan konvensional dan Islamik bernilai antara RM100,000 hingga RM500,000 dengan margin pembiayaan sepenuhnya atau 100 peratus harga belian hartanah.

Pemohon yang berjaya akan menerima pembiayaan tamba­han sehingga lima peratus da­ripada harga belian untuk menampung kos Gadai Janji Berkurangan Tempoh (MRTA) atau Gadai Janji Mengurangkan Tempoh Takaful (MRTT).

Pembeli juga berpeluang menikmati bantuan tambahan oleh kerajaan sebanyak RM200 sebulan bagi tempoh dua tahun pertama selepas pembelian sebagai usaha meringankan beban bayaran pinjaman bulanan.

Mula dijual pada harga RM320,000 seunit

Dalam pada itu, terletak di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang dekat sini, Seroja Hills menyediakan sebanyak 256 unit kediaman dengan keluasan binaan 1,096 kaki persegi pada harga mampu milik bermula RM320,000 seunit.

Direka bagi memenuhi permintaan gaya hidup moden, pembangunan itu dilengkapi pelbagai kemudahan yang sesuai bagi pasangan untuk memulakan kehidupan termasuk kolam renang, padang futsal, gimnasium, dewan serbaguna dan perpustakaan.

Projek kondominium mampu milik setinggi 19 tingkat tersebut dibina dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM84 juta serta dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun 2019.


[Sumber berita asal: UTUSAN ONLINE]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *