Exco kerajaan Johor, Datuk Abdul Latif Bandi kini ditangkap berikutan kontroversi penyelewengan kuota Bumiputra bagi hartanah negeri itu.
Abdul Latif ditahan kira-kiran jam 11 pagi pada Khamis lalu bertempat di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Johor Bahru ketika dipanggil untuk soal siasat.
Menerusi The Star Online, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad mengesahkan penahanan tersebut ketika berada dalam satu majlis bersama media di Menara Star.
Abdul Latif yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor memilih untuk bercuti pada 1 Mac lalu namun tidak diketahui berapa lama tempoh itu berlangsung.
Difahamkan, Abdul Latif mula bercuti selepas anak lelakinya dan pegawai khasnya ditahan SPRM dalam satu operasi pada 28 Februari lalu.
Rentetan kejadian itu, Abdul Latif dilihat semakin menyepi dan jarang kelihatan di khayalak ramai.
Turut ditahan ketika serbuan itu iaitu dua (2) pemaju, seorang peguam dan orang awam yang dipercayai terlibat dalam skandal sama.
Sementara itu, sebanyak 45 akaun yang bernilai lebih RM15 juta dibekukan bagi menyiasat skandal tersebut.
Pihak berkuasa turut merampas 21 kereta mewah dan lima motosikal berkuasa tinggi.
Namun, mereka dibebaskan setelah dikenakan tahanan reman.
Setakat ini, SPRM telah memanggil 15 orang untuk merekod kenyataan bagi membantu siasatan.