PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

Setia Putrajaya bangunkan Setia Seraya Residence, dijangka siap 2020

Setia Seraya Residence yang dibangunkan Setia Putrajaya Development Sdn. Bhd. (Setia Putrajaya) akan menjadi bangunan tertinggi di Putrajaya dengan nilai pembangunan kasar RM280 juta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Paul Soh berkata, bangunan setinggi 40 tingkat yang terletak di kawasan seluas 1.84 hektar di Presint 15 itu terdiri daripada 363 unit kondominium dengan harga permulaan RM696,000 hingga RM1.001 juta.

Katanya, ia ditawarkan dalam tiga jenis unit iaitu berkeluasan 1,002 kaki persegi bagi jenis A, 1,202 kaki persegi (jenis B) dan 1,420 kaki persegi (jenis C).

“Kita berharap galeri pameran dan rumah contoh projek ini dapat disiapkan pada penghujung November ini sekali gus membolehkan ia dilancarkan secara rasmi.”

“Projek kondominium Setia Seraya Residence di Putrajaya ini dijangka siap pada 2020,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Pilihan yang tepat untuk pelabur yang mahu buat untung

Setia Putrajaya merupakan anak syarikat milik penuh SP Setia Berhad yang turut membangunkan projek Dwiputra Residence di Presint 15, Putrajaya.

Projek kondominium itu menyediakan pelbagai kemudahan antaranya, rumah kelab, taman, kolam renang, tadika, taman permainan dan nurseri. Selain itu, setiap unit kondominium juga akan dilengkapi dengan dua kawasan letak kereta.

Menurut Soh, kawasan Putrajaya yang strategik dengan akses utama seperti Lebuh Raya Maju Expressway (Mex), Lebuh Raya Shah Alam (Kesas), Express Rail Link (ERL) dan cadangan pembinaan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) serta Mass Rapid Transit (MRT) akan menjadi antara faktor tarikan utama kepada pembeli.

Katanya, dengan reka bentuk yang selesa, kediaman tersebut juga amat bersesuaian bagi mereka yang sudah keluarga kerana turut berhampiran dengan kemudahan seperti pusat beli-belah Alamanda, Universiti Putra Malaysia (UPM), Hospital Putrajaya dan Hospital Serdang.

“Selain itu, ia juga merupakan pilihan yang tepat kepada pelabur yang tercari-cari hartanah yang mampu memberi pulangan baik dari segi hasil sewa dan peningkatan nilai modal,” katanya.

[Sumber berita asal: Utusan Online]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *