Seorang warga emas rugi lebih RM20,000 selepas diperdaya seorang ejen insurans sejak tahun lalu.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Chong, 65, berkata, 5 polisi yang disertainya itu tak berikan pulangan seperti yang dijanjikan ejen itu.
“Saya berminat membeli 5 polisi insurans ini selepas ditawarkan pulangan berganda oleh ejen tersebut.”
“Lebih menarik ia dikatakan sebagai simpanan tetap, dan saya boleh dapatkan wang saya semula selepas tempoh matang.”
“Selepas setahun, saya mahu dapatkan semula wang saya. Tapi tak boleh sebab ia berbentuk pelaburan, bukannya simpanan seperti yang dijanjikan,” katanya.
Menurutnya, antara bentuk penipuan polisi yang ditawarkan adalah Chong perlu membayar sebanyak RM1,065 sebulan, dan wang itu boleh dapat kembali lepas tempoh matang 5 tahun.
“Saya sangat kecewa apabila ejen bagitahu wang simpanan saya itu boleh dikeluarkan selepas tempoh 10 tahun, dan bukannya 5 tahun.”
“Begitu juga polisi lain yang memerlukan saya menyimpan RM100 sebulan dan boleh mendapatkan wang itu semula bersama faedah.”
“Tapi sebenarnya saya hanya mendapat RM78 sebulan. Saya benar-benar ditipu,” katanya.
Chong yang mempunyai perniagaan sendiri berkata, dia kecewa apabila salah satu polisi mempunyai tandatangan beliau, sedangkan dia tak pernah turunkan tandatangan.
“Ada polisi yang tak wujud, di mana ejen telah meniru tandatangan saya. Jadi, saya terpaksa buat laporan polis kerana mereka telah menipu dan meniru tandatangan saya.”
“Saya telah membatalkan 3 polisi insurans dan mengalami kerugian lebih kurang RM26,000 kerana membatalkan polisi tersebut.”
“Saya ada lagi 2 polisi dan berharap pihak insurans dapat pulangkan semula wang saya beserta faedah yang dijanjikan,” katanya ketika ditemui semasa membuat aduan kat pejabat DUN Bukit Kepayang semalam.
Sementara itu, ADUN Bukit Kepayang, Chaa Kee Chin, dia berharap pihak polis dapat melakukan siasatan dan pihak insurans perlu melakukan sesi pendengaran dengan mangsa.
“Satu pampasan yang adil perlu diberikan kat mangsa, di mana wang pokok perlu dikembalikan beserta dengan kadar faedah yang munasabah.”
“Mangsa tak mengharapkan keuntungan, tapi mengharapkan pampasan yang adil atas kerugian yang dialaminya,” katanya.
(Sumber asal: sinarharian.com.my)