Pusat beli-belah bertemakan eko dan gaya hidup, The Starling bertempat di Damansara Uptown dekat sini, akan dibuka secara rasmi pada penghujung November ini.
Ketua Pegawai Eksekutif See Hoy Chan Sdn. Bhd., Joe Tan berkata, pusat beli-belah itu dibina dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM600 juta.
Sasaran pulangan ke atas pelaburan (ROI) adalah sebanyak 6% setahun.
Menurut beliau, sebanyak 85% daripada keseluruhan ruang kedai di The Starling telah ditempah buat ketika ini dengan pihaknya menyasarkan 90% ruang akan dipenuhi menjelang pembukaannya tidak lama lagi.
Katanya, selain pusat beli-belah yang mesra pengguna, sistem aliran trafik di kawasan tersebut juga sedang dinaik taraf dan bakal menyediakan 3 laluan trafik baru yang dijangka siap pada Oktober ini.
“The Starling adalah sebahagian daripada manisfestasi berwawasan bermula pada tahun 2012 dalam usaha mengubah Damansara Uptown menjadi kawasan hab komersial yang paling maju dan berjaya di Petaling Jaya.”
“Damansara Uptown mempunyai pekerja sebanyak 20,000 dan anggaran pelawat kira-kira 8,000 setiap hari. The Starling direka bagi menjadi titik pertemuan antara semua laluan trafik di kawasan itu,” katanya dalam majlis pengumuman penyewa utama pusat beli-belah itu di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengarah Eksekutif See Hoy Chan Sdn. Bhd., Teo Chiang Khai dan Naib Presiden Eksekutif Kanan Pengurusan Aset dan Runcit syarikat itu, Gavin Chong.
Dinamakan sempena burung Starling, pusat beli-belah itu dilengkapi landskap taman berkeluasan 27,500 kaki persegi bertujuan menyediakan persekitaran semula jadi yang selesa kepada para pengunjung.
The Starling akan menyediakan kawasan beli-belah lima tingkat dengan ruang boleh sewa bersih sebanyak 450,000 kaki persegi serta mampu menampung hingga 200 lot cawangan kedai.
[Sumber berita: Utusan Online]