PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

Mampu tak B40 membeli rumah di Lembah Klang?

Topik membeli rumah ni memang sentiasa akan jadi topik yang hangat dibincangkan. Paling hangat bila ada yang kata mereka yang berpendapatan rendah tiada peluang lansung nak memiliki hartanah. Tok sendiri tak pasti sampai bila polemik ini akan berakhir.

Tapi kita tak boleh salahkan mereka juga, semua orang ada impian memiliki rumah tak kira kaya atau miskin. Persoalannya sekarang ramai beranggapan golongan B40 sukar untuk memiliki rumah terutamanya yang tinggal di Lembah Klang. Betul ke?

Sebelum tu, mari sini tok bentangkan data mengenai harga median rumah di Lembah Klang.

Harga Median Rumah

Untuk sekitar Klang dan Shah Alam, Tok akan ambil contoh harga median di Taman Sri Muda dan Taman Sentosa.

Kedua-dua tempat ini harga median rumah adalah sekitar RM320,000 hingga RM337,500.

Bagi Kuala Lumpur pula, harga median adalah sekitar RM738,000. Sekali imbas memang logiklah golongan B40 tak mampu langsung nak beli rumah di Lembah Klang.

Tambah lagi orang kata harga rumah ni akan sentiasa naik, lagilah bimbang. Bayangkan rumah kotak yang dibeli dengan harga RM25,000 pada awal tahun 2000 di Lembah Klang, hari ini harganya mampu meningkat kepada setengah juta.

Jadi memang ada pendapat cakap kalau lambat beli rumah nanti rugi. Kehadiran Covid-19 juga tidak mampu menurunkan harga rumah.

Kenapa Harga Rumah Meningkat?

Kenapa harga rumah di Lembah Klang boleh meningkat dengan begitu tinggi?

Sebab pertama mestilah bekalan dan permintaan.

Kita semua tahu, Lembah Klang adalah kawasan paling padat di Malaysia. Ini menyebabkan permintaan meningkat, tetapi dalam masa sama bekalan pula tidak mencukupi, memang tidak pelik harga akan naik melambung.

Tak akan itu je sebabnya? Sabar, Tok akan terangkan lagi.

Kedua adalah lokasi.

Setiap orang yang beli rumah mesti nak berdekatan dengan kedai, sekolah dan tempat kerja. Tak guna bayar mahal bulan-bulan kalau semua tu jauh dari rumah. Jadi rumah dekat dengan kemudahan ni memang mahal.

Malah, nilainya akan semakin meningkat jika terdapat pasar raya atau pusat membeli belah berdekatan. Sekarang ini, terdapat beberapa jenis apartment yang dibina dengan pasar raya sekali di bahagian bawah. Jangan pelik kalau harga rumah tersebut agak mahal.

Lokasi rumah yang selamat juga memungkinkan harganya terus meningkat. Suatu ketika dahulu mungkin kesedaran tentang keselamatan ini kurang tapi sekarang dah lain. Banyak kawasan perumahan baru yang menyediakan pengawal keselamatan dan cctv untuk memantau keadaan sekeliling. Nak masuk ke kawasan rumah pun kena pakai kad akses.

Satu lagi adalah kualiti alam sekeliling. Urbanisasi yang menakluk Lembah Klang kadangkala melemaskan para penduduk kerana ketiadaan pokok hijau untuk memayungi bumi. Jadi apa yang pemaju boleh buat adalah dengan bikin satu taman perumahan berkonsepkan alam semula jadi ataupun eco.

Ya di Malaysia memang sudah ada konsep sebegini, salah satunya adalah di Eco Grandeur. Tapi harga minimum rumah di sana adalah sekitar RM529,000. Tergigit jari Tok bila dengar harganya.

Ketiga adalah kebolehcapaian.

Kebolehcapaian di sini bermaksud kawasan perumahan tersebut berdekatan dengan beberapa akses untuk ke kawasan lain. Kita semua tahu, Lembah Klang boleh digelar sebagai king of highway.

Highway juga menjadi penghubung utama untuk kita bergerak selain pengangkutan awam seperti LRT dan MRT. Jika bekerja di tempat yang memerlukan highway untuk dituju, secara tak langsung kita akan cari juga rumah berdekatan highway. Kawasan perumahan yang ada akses mudah ke highway seperti NKVE dan Persekutuan pasti mahal harganya.

Kebolehcapaian lain adalah seperti kemudahan rekreasi yang akan meningkatkan lagi harga rumah.

Keempat adalah pembangunan masa hadapan.

Sekarang ini di Lembah Klang tengah rancak berjalan projek lebuhraya DASH, MRT2 dan LRT3. Pembangunan sebeginilah akan meningkatkan lagi harga rumah memandangkan rumah semakin mudah diakses. Itu belum lagi dicampur dengan beberapa projek yang sedang dirangka oleh kerajaan seperti MRT3, HSR dan ECRL. Pasti harga rumah di Lembah Klang akan terus meningkat berganda-ganda di masa depan.

Definisi B40 Di Lembah Klang

Dengan segala fakta di atas tadi, Nampak gaya macam takde harapan lansung B40 nak beli rumah di Lembah Klang. Tok rasa bolehlah artikel ditamatkan di sini, tapi nanti dulu.

Pertama sekali kita kena faham dulu definisi B40. Ramai orang ingat pendapatan B40 di setiap negeri adalah sama. Mungkin mereka melihat kepada purata pendapatan B40 Malaysia yang menunjukkan angka RM4849 ke bawah.

Di Selangor, golongan B40 adalah mereka yang berpendapatan RM4657 ke bawah. Kalau Kuala Lumpur pula, pendapatan golongan B40 adalah RM6623 ke bawah. Kalau ikut tangga gaji ni, masih mampu sebenarnya nak beli rumah.

Jangan pula anda samakan pendapatan B40 Lembah Klang dengan Kelantan dan Kedah. Pendapatan B40 kedua-dua negeri tersebut memang tak mampu nak beli rumah di Lembah Klang.

Rumah harga berapa yang golongan B40 Lembah Klang boleh beli?

Bila dah tahu purata pendapatan sebulan, golongan B40 boleh memilih untuk membeli rumah beli rumah ikut tangga jadi. Macam mana nak tahu harga rumah yang sesuai? Senang je, meh sini Tok terangkan.

Kalau gaji sekitar RM1500, anda boleh beli rumah harga RM100,000.

Gaji sekitar RM2100, anda boleh beli rumah harga RM160,000

Gaji sekitar RM2300, anda boleh beli rumah harga RM200,000

Gaji sekitar RM3000, anda boleh beli rumah harga RM245,000

Gaji sekitar RM3400, anda boleh beli rumah harga RM285,000

Gaji sekitar RM4200, anda boleh beli rumah harga RM370,000

Itu adalah anggaran harga rumah yang boleh dibeli mengikut tangga gaji B40. Tapi ada ke rumah harga macam gitu di Lembah Klang? Bukan ke harga rumah semua setengah juta ke atas?

Harga rumah di Lembah Klang

Katakanlah gaji anda sekitar RM2300 saja sebulan, jadi macam mana nak cari rumah yang berharga RM200,000?

Setelah melakukan carian di laman PropertyGuru, terdapat beberapa rumah berharga bawah RM200,000 di Port Klang. Salah satunya adalah rumah teres yang berharga RM140,000 terletak di Kampung Pendamar, Port Klang.

Tapi itu rumah lama, anda pula nak rumah baru. Jangan risau, pihak kerajaan akan membantu anda. Kerajaan pada Februari lepas telah mengumumkan akan melancarkan pembinaan 12,000 unit rumah Residensi Prihatin iaitu skim baharu rumah mampu milik berharga RM200,000 seunit.

Bukan setakat itu sahaja, kerajaan juga ada memperkenalkan beberapa skim baru seperti  Skim Sewa-Untuk-Beli (Rent-To-Own/RTO). Melalui RTO, anda masih mampu beli rumah walaupun tidak miliki wang pendahuluan 10 peratus. Macam mana pula tu?

Anda boleh memilih untuk memasuki perjanjian sewa rumah untuk jangka masa 5 tahun. Lepas 5 tahun, anda boleh memilih mahu membeli atau tidak. Berita baiknya, anda masih lagi boleh membeli dengan mengunakan harga 5 tahun lepas.

Nak beli rumah bukannya terus boleh main beli. Perlukan ilmu dan faham hartanah yang macam mana nak beli. Tak boleh main terjun je beli hartanah. Nanti tersalah jalan, boleh pening bertahun – tahun lamanya. Tak salah pun menyewa. Kita sendiri tahu kemampuan kewangan kita.

Sebagai penyewa, kita haruslah tahu apa hak – hak kita sebagai penyewa dan juga macam mana nak untung dengan menyewa.

Ebook terbaru GilaHartanah ini adalah PERCUMA buat masa yang terhad! Jom dapatkan sekarang. Klik gambar di bawah sekarang kalau anda nak dapat ebook ini.

[KLIK GAMBAR SEKARANG]

ebook terbaru GH

Comments are closed