Dalam penjualan hartanah, proses tersebut melibatkan beberapa pihak seperti pemilik hartanah, pembeli, ejen hartanah, peguam, pihak bank, LHDN, dan pejabat tanah.
Walaupun pemilik hartanah dibantu oleh beberapa pihak seperti ajen hartanah dan pihak peguam yang mewakili mereka, namun pemilik hartanah sendiri perlu tahu beberapa perkara yang penting agar proses penjualan itu berjalan dengan lancar.
Di sini saya ingin kongsikan secara am tentang proses-proses utama yang terlibat dalam penjualan hartanah berdasarkan pengalaman saya dalam menjual beberapa hartanah sebelum ini.
1) Penjual melantik peguam dan ejen hartanah yang bertauliah (ejen hartanah tidak wajib tapi amat digalakkan).
2) Pembeli berminat dan akan membayar booking fees pada Agensi Hartanah (biasanya dalam 3% dari harga hartanah anda).
Booking fees akan dianggap sebahagian dari duit muka (downpayment) pembelian hartanah tersebut.
3) Tandatangan Sale and Purchase Agreement (SPA or S&P). Pihak pembeli perlu membayar segera baki 7% dari harga jualan hartanah sebagai downpayment kepada pihak penjual.
4) Selepas selesai menandatangani SPA, penjual akan membayar komisen pada Agensi Hartanah (biasanya 2-3%). Tugas Ajen Hartanah selesai disini.
5) Tempoh 3 bulan diberikan kepada pihak pembeli untuk membayar full amount baki pinjaman bank pihak penjual (seandainya hartanah penjual masih mempunyai baki hutang dengan pihak bank).
Seandainya tempoh 3 bulan dilampaui, maka tempoh tambahan sebanyak 1 bulan akan diberikan namun penalti akan dikira secara harian dalam tempoh ini.
6) Selepas pihak bank penjual menerima bayaran dari pihak pembeli, peguam akan menguruskan pertukaran nama geran.
7) Selepas pihak peguam menyelesaikan / mendaftar pemindahan nama geran di pejabat tanah, maka pihak pembeli perlu menjelaskan baki bayaran hartanah tersebut kepada pihak penjual.
8) Pihak penjual perlu menyerahkan kunci (status vacant possession) setelah menerima wang baki penjualan rumah dari pihak pembeli.
9) Pembeli akan menerima kunci rumah. Urusan selesai.
Nota: Sila maklum bahawa penjualan hartanah dibawah tempoh 5 tahun dari tarikh pembelian, Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) atau dikenali sebagai Real Property Gain Tax (RPGT) akan dikenakan kepada penjual.
Proses penjualan hartanah di atas biasanya memakan masa lebih dari 6 bulan. Ada kes dimana kes penjualan masih tidak selesai walaupun sudah mencecah 1 tahun.
Ini mungkin berlaku kerana faktor kes penipuan dokumen, kes kaveat hartanah, penipuan ejen dan macam-macam lagi.
Dengan ilmu hartanah yang betul, anda akan dapat mengurangkan banyak masa dan kos-kos yang terlibat semasa penjualan hartanah anda.
Maka jadilah pelabur hartanah yang berilmu dan bijak.