Dah masuk tahun 2016. Bertambah ramai orang risau pasal harga hartanah yang semakin menggila. Ramai rakyat Malaysia yang belum dapat beli hartanah, baik untuk pelaburan atau kegunaan sendiri.
Fakta ini boleh lemahkan semangat kalau tak dikawal dengan baik.
Tapi, tak bermakna kita dah tak ada harapan. Kalau dah jelas dengan matlamat yang nak dicapai, selagi itu kita boleh kerahkan tenaga untuk merebut peluang yang ada.
Kalau korang rasa macam putus harapan dan patah semangat, Tok sediakan artikel ini untuk naikkan balik semangat korang. Tok yakin korang boleh buat sebab brader ini pun bermula daripada bawah.
Brader yang Tok maksudkan adalah Tuan Faizul Ridzuan. Mari kita baca perkongsian dan sedut energi coretan beliau untuk mulakan tahun baru ini.
Hari ini adalah minggu pertama 2016. Mengimbas kembali sekitar tahun 2015, ia adalah tahun yang hebat buat saya dan tim saya. Kami dah berjaya:
1) Menjual habis tiket Sarjana Hartanah (untuk semua 4 program).
2) Membina FAR Capital jadi syarikat multi-juta dolar dan dihormati, walaupun pasaran hartanah yang lemah pada tahun lepas.
3) Menarik 2 usaha sama (ventures) untuk jangka panjang.
4) Membina GilaHartanah.com menjadi portal pendidikan kewangan dan hartanah dalam Bahasa Malaysia yang terkenal.
5) Bantu membina “Makeover” menjadi salah satu “turnkey rental provider” yang terbaik dalam pasaran.
6) Kerap mendapat slot temuramah tentang perkara berkaitan hartanah dan pelaburan oleh pelbagai stesen TV, radio dan surat khabar.
Walaupun saya berjaya kecapi kejayaan hari ini, tak bermakna segala perjalanan saya mudah. Saya bukan lahir dalam keluarga yang senang.
Saya mula bekerja seawal 13 tahun untuk membeli barang yang saya nak. Sepanjang saya bersekolah, saya tak merasa cuti sekolah seperti kawan-kawan yang lain. Cuti itu, saya gantikan dengan mencari kerja “part-time”.
Cikgu kat sekolah juga pernah cakap kat saya dan kawan-kawan yang lain (waktu Tingkatan 5):
“Korang dah ditakdirkan gagal dalam SPM. Korang semua adalah produk yang gagal.”
Ya. Dulu, saya adalah salah seorang pelajar yang dilabel sebagai “tak ada harapan”.
Sebab termakan kata-kata pedas cikgu saya itu, saya buat keputusan untuk ponteng sekolah selama 100 hari dan belajar dari rumah sahaja.
Saya berjaya lepas ujian SPM dengan keputusan agregat 18 dan dapat melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya. Saya bernasib baik untuk semua rezeki yang Allah S.W.T anugerahkan ini.
Semasa melanjutkan pelajaran kat universiti, saya buat kerja sambilan sebagai barista di Starbucks sebab nak beli motor. Motor ini, saya nak gunakan sebagai kenderaan saya berulang-alik ke universiti dan tempat kerja.
Mula-mula, pencapaian saya di universiti adalah baik. Lepas mula buat kerja sambilan, ia benar-benar beri kesan kat keputusan peperiksaan universiti saya.
Saya berniat mahu lanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan. Tapi sebab keputusan yang “cukup makan” sahaja, saya dicampak ke fakulti Sains Komputer.
Saya berjaya habiskan universiti dengan kepujian kelas-2. Kemudian, dapat kerja selepas 3 bulan menanam anggur sebagai “software programmer”. Saya dapat gaji RM600 sahaja.
Lepas 1 tahun bekerja, saya mula sedar yang kerja ini bukan sesuatu yang saya nak buat sepanjang hidup saya. Dari mula-mula lagi, saya berminat dengan bidang perniagaan dan hartanah sebab potensi kekayaan yang boleh dibina.
Masa itu, hanya ada RM50 dalam akaun simpanan. Tak cukup untuk mulakan bisnes atau pelaburan.
Apa yang saya buat?
Saya ambil keputusan muktamad untuk berhenti sebagai “software programmer” dan mula bekerja sebagai penjual (salesman). Saya menjual kad kredit kat jalanan dan tak mempunyai sebarang gaji pokok.
Tapi tak apa. Saya tak kisah. Sebab saya nak belajar cara-cara menjual.
Keluarga saya cakap saya dah gila. Ayah seperti berputus asa kat saya, sebab saya seperti sia-siakan peluang dan kehidupan saya. Mak saya, apatah lagi.
Tapi, saya teruskan juga perjuangan saya.
Saya tak rasa dengan kerja sebagai “software programmer” boleh jadikan saya kaya. Lagipun, saya bukan seorang “programmer” yang hebat dan tak pernah jadikan ia sebagai matlamat hidup.
Masih muda, tanpa sebarang komitmen dan tak berduit, saya tak ada sebarang penyesalan kalau gagal. Dengan tawakkal kepada Allah S.W.T, saya teruskan usaha saya tanpa menoleh ke belakang.
Keputusan yang saya buat ini merangka kehidupan yang tak disangka-sangka. Bahasa Inggeris dan skil menjual saya jadi semakin baik selama tempoh 9 bulan menjadi jurujual.
Ia melatih diri saya dari segi mental untuk tak bergantung kepada gaji pokok. Matlamat utama saya pada ketika itu adalah belajar cara menjual yang berkesan. Dan secara konsisten, saya boleh dapatkan RM3000 sebulan.
Mungkin dah rezeki dan takdir, saya berkenalan dengan Naib Presiden Kanan di Standard Chartered semasa cuba menjual kad kredit kat beliau. Saya diberi peluang untuk mencuba sebuah lagi pekerjaan baru.
Dengan gaji pokok sebanyak RM2500 sebagai “banking apprentice”, saya terus terima tawaran ini sebab saya nak dalami ilmu tentang kewangan dan perbankan. Duit bukan isu bagi saya, tapi saya nak dapatkan ilmu.
Lepas 6 bulan bekerja, saya berjaya beli hartanah pertama. Tak cukup dengan itu, saya dapat 3 tawaran kerja “full-time” sebagai “manager”, sebab berjaya lepasi program “apprentice” yang ambil tempoh 1 tahun.
Tuhan saja yang tahu perasaan saya waktu itu. Siapa sangka seorang bekas “software programmer” boleh capai kejayaan dalam bidang perbankan, tanpa sebarang asas yang kuat tentang kewangan.
Saya bekerja keras, dan amat jarang merungut. Saya bersyukur dibayar dengan mewah untuk buat kerja yang mudah. Ramai rakan sekerja yang tak habis-habis mengomel setiap hari, tapi bukan saya.
Saya cukup bahagia dapat kerja dengan gaji yang bagus, serta dapat menuntut ilmu tentang kewangan. Kerja ini lebih baik berbanding kerja menjual (yang tanpa sebarang gaji pokok) yang saya buat sebelum ini.
Masa tu, saya rasa amat bersyukur. Ia juga mengubah saya jadi seorang yang sangat positif. Saya bersemangat untuk bekerja.
Sikap super positif saya berjaya menarik perhatian salah seorang pengurus syarikat MNC, yang tengah mencari seseorang yang boleh menguruskan jualan dalam negara tanpa banyak merungut.
Saya ditawarkan bekerja dalam industri kiriman wang untuk syarikat MNC, selepas 3 tahun bekerja dalam bidang perbankan.
Sewaktu sesi temuduga, saya ceritakan pengalaman daripada menjadi seorang “software programmer”, buat jualan, kemudian sebagai pembangun produk perbankan.
Dan mereka kagum dengan pengalaman saya. Saya baru berumur sekitar 27 atau 28 tahun masa tu.
Temuduga ini berlangsung selama 3 jam dan saya gunakan sepenuh pengalaman jurujual saya untuk menjual diri saya. Ini berlaku pada tahun 2008, ketika negara ini sedang menghadap krisis ekonomi yang teruk dalam sejarah.
Ketika orang lain hilang dan dibuang kerja, saya berjaya dapatkan kerja dan dibayar gaji 250% lebih tinggi daripada kerja sebelum ini. Dengan gaji baru ini, saya banyak membeli hartanah pada tahun itu.
Masa krisis ekonomi sedang memuncak, saya dapati banyak tawaran baik berkaitan hartanah yang tersedia.
Saya berjaya membeli beberapa hartanah tanpa keluarkan satu sen ketika itu, dan ia masih saya anggap sebagai pelaburan yang terbaik dalam portfolio saya.
Saya cari hartanah yang terbaik dari segi nilai jangka masa panjang, dan ada yang boleh dijual dengan harga 3 kali ganda pada hari ini.
Untuk tempoh 5 tahun, saya kekal berkerja kat syarikat MNC itu dan berjaya naik pangkat sekali lagi. Gaji saya? Naik 2 kali ganda dalam tempoh waktu itu.
Ada satu masa, bos tanya sama ada saya bersetuju untuk naik ke pangkat seterusnya. Tapi, saya terpaksa tolak tawaran itu.
“Kenapa nak kejar pangkat, yang gaji hanya naik sekitar 20% untuk buat kerja yang bertambah sehingga 50%? Ia perkara yang tak berikan untung.”
Jadi, saya buat keputusan untuk tolak tawaran ini dan mulakan langkah dalam bidang perniagaan dan hartanah secara sepenuh masa. Saya buat keputusan ini pada September 2013, dan ia masih segar dalam memori.
Sebab tak cukup modal dan tak ada wang simpanan yang cukup, saya jual 3 hartanah dalam koleksi saya dan berjaya dapatkan RM500k sebagai modal permulaan.
Dengan duit ini, saya bawa keluarga bercuti kat Europe selama 1 bulan (sebagai ganjaran sebab saya tak bercuti selama 1 tahun), dan hantar mak dan ayah ke Tanah Suci untuk tunaikan rukun Islam ke-5.
Hari ini, saya berjaya mencapai impian untuk bekerja dalam bidang yang menjadi “passion” saya selama ini. Pada masa yang sama, membantu orang lain kuatkan portfolio hartanah dan membina impian mereka.
Saya membantu dari segi membina kewangan untuk pelajaran anak-anak, pelan persaraan awal, membina modal untuk mulakan perniagaan, dan macam-macam lagi yang berkaitan kewangan dan hartanah.
Susah untuk saya rasa gembira kalau tak dapat membantu orang lain capai matlamat mereka. Ini adalah usaha dan perjuangan yang pasti akan saya teruskan.
Sebab saya dapat ramai rungutan yang tahun 2016 akan jadi lebih sukar.
Pada pandangan personal, saya lihat tahun 2016 membawa peluang yang lebih besar daripada tahun sebelum ini. Dan ia tak akan menjadi lebih buruk seperti apa yang telah berlaku pada tahun 2008 atau 1998.
Setiap orang ada persepsi masing-masing. Dan apa yang penting adalah tumpukan sepenuh perhatian kat matlamat yang anda nak capai,.
Saya harap secebis pengalaman yang saya coretkan kat sini boleh jadi pemangkin semangat anda yang dahagakan kejayaan dalam hidup.
Berikut saya simpulkan pengajaran yang kita semua boleh jadikan ilmu:
1) Hampir semua orang yang berjaya bermula daripada “zero”. Mulakan dengan apa yang ada kat tangan kita. Biasakan diri bekerja selama 18 jam sehari.
Tak ada pencapaian yang boleh kita dapatkan kalau berada dalam zon selesa. Saya sendiri mula bekerja seawal 13 tahun.
2) Hidup ini memang sukar, tapi bukan untuk selama-lamanya. Anda mungkin dibuang kerja, tapi itu bukan sebab untuk anda patah semangat.
Ada banyak peluang kerja yang menanti anda. Cuma, anda perlu belajar beranikan diri.
3) “First learn, then earn”. Kalau anda masih muda, utamakan ilmu berbanding perkara lain terlebih dahulu. Jadikan diri anda yang terbaik dalam bidang yang anda ceburi.
Kalau tak belajar menjual, tak mungkin saya jadi cekap dalam berkomunikasi. Lihat sahaja CEO seperti mendiang Steve Job, Jack Ma, atau Tony Fernandes. Mereka semua boleh berkomunikasi dengan baik.
4) Belajar bagaimana untuk menjual. Kalau anda hebat dalam jualan, anda ada peluang yang lebih besar untuk dapatkan kerja dalam sesi temuduga, dapatkan kerja impian anda, atau membina bisnes yang berjaya.
5) Ada orang bimbang tentang bagaimana nak kekalkan pekerjaan mereka. Bagi saya, lebih penting menjadi aset kepada syarikat tempat kita bekerja.
Syarikat akan kekalkan pekerja yang bagus ketika masa yang sukar, dan mereka akan gunakan peluang ini untuk memecat pekerja yang tak baik dari segi prestasi.
6) Sebaik sahaja dapat gaji, mulakan pelaburan supaya anda dapat mencipta pilihan (options). Lepas anda dah berjaya membeli 5 hartanah (atau lebih), anda tak akan risau tentang hilang kerja. Sebab anda dah cipta pilihan yang syarikat anda tak tawarkan.
Dalam kes saya, menjual 3 hartanah untuk dapatkan modal RM500,000 adalah satu pilihan yang saya ada. Kalau ikut hati, saya tak perlu bekerja untuk tempoh 3 tahun.
Kalau kita melabur awal, kita akan ada piilhan ini sebagai “back-up” kalau sesuatu perkara buruk berlaku kat diri kita.
7) Sebelum mula sesuatu pelaburan, tuntut ilmu terlebih dahulu. Tak kisah apa pelaburan sekalipun. Kalau anda ada ilmu, tak ada duit pun masih boleh buat duit. Kalau tak, ada 1 juta pun boleh lesap macam itu saja.
8) Ketika krisis melanda, pasti ada peluang disebalik masalah yang berlaku. Saya boleh selesa hari ini sebab keputusan pembelian hartanah yang saya buat pada tahun 2008-2009.
Daripada terus bimbang (yang tak beri faedah kepada diri kita), lebih baik fokus untuk mengintai setiap peluang yang ada kat setiap masalah yang berlaku.
Tak ada sesiapa dalam dunia ini yang berhutang dengan anda. Anda mungkin ramai kawan-kawan sekarang. Tapi bila anda susah dan tak bekerja, tak ramai yang ada dengan anda waktu itu.
Jadi, tak perlu bermegah-megah dengan membeli kereta atau jam baru, sebab nak tunjukkan kat orang lain yang anda ada duit. Kalau anda tak ada duit nak makan, tak tentu lagi kawan-kawan anda boleh hulurkan bantuan.
Tak salah berimpian sebesar gunung. Kalau seorang pencuci kereta dari Sentul seperti saya boleh buat, anda juga boleh dapat.
Kekalkan “mindset” positif. Buat yang terbaik dan berserah dan tawakkal kepada Allah S.W.T sentiasa.
Anda tak boleh ubah apa yang akan terjadi pada tahun ini. Tapi, anda boleh kawal apa yang nak buat.
Semoga berjaya, dan saya doakan yang baik-baik untuk anda semua.
—
Semoga coretan Tuan Faizul seperti menyimbah minyak tanah ke api semangat korang. Biar ia semakin marak membara.
Pandang setiap perkara dari sudut yang positif. 2016 akan jadi sebuah lagi cerita hebat buat korang yang berusaha mencapai target masing-masing.
Tok doakan yang baik-baik untuk korang semua. Ameen.