PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

Idea menghias rumah sewa pelajar yang tak makan banyak duit anda.

Sewakan rumah kat pelajar boleh jana untung yang baik, kalau kena dengan caranya.

Selagi ada institusi pengajian tinggi yang dekat dengan rumah tu, selagi itu korang ada peluang menjana pendapatan. Senang cerita, pasaran sentiasa ada. Best kan?

Anak muda sekarang sukakan perhiasan yang relevan dengan gaya hidup mereka. Ini adalah salah satu idea yang korang boleh gunakan.

Tapi, ramai pula yang akan cakap macam ni:

“Hmmm. Mesti mahal kan Tok?”

Jadi, macam mana nak hias rumah yang menarik minat mereka, tanpa keluarkan duit yang banyak?

Tok nak kongsikan ilmu Tuan Gavin Liew ni kat korang. Tak bermakna dengan modal yang sikit, korang tak boleh buat sesuatu yang berimpak tinggi.

Idea #1: Fokus lebih kat reka bentuk dalaman rumah

Dah tentu kita nak target orang muda sebagai penyewa.

Sebab tu, reka bentuk dalaman rumah perlu sesuai dengan citarasa dan minat golongan ini. Tak ramai orang muda yang suka reka bentuk dalaman rumah yang lama dan tak hip.

Dan kalau mereka tak tertarik, apa sebab mereka perlu sewa rumah korang?

Senang untuk kita pilih penyewa bila menghias rumah dengan cantik dan relevan dengan minat mereka.

Bab design, boleh search kat Google. Ada banyak reka bentuk menarik yang boleh kita pilih. Biasanya, perhiasan rumah orang muda berkonsep minimal saja. Tak banyak guna barang dan perabot.

Idea #2: Galakkan perkongsian ruang

Ramai pelajar yang nak menyewa dah sedia kenal satu sama lain.

Jadi, tak ada masalah untuk mereka berkongsi bilik. Ia satu perkara yang agak normal dalam kehidupan seorang pelajar.

Dalam satu bilik, kita boleh letakkan 2 katil single bed (atau katil 2 tingkat) dalam bilik yang besar, dan 1 katil saiz queen dalam bilik yang kecil.

Untuk ruang belajar pula, beli satu meja yang besar dan boleh dikongsi ramai.

Satu idea yang bagus untuk berurusan dengan seorang saja penyewa utama, berbanding berurusan dengan setiap penyewa secara individu. Ini dapat jimatkan banyak masa kita untuk uruskan mereka.

Idea #3: Sediakan perabot yang penting

Antara perabot yang perlu ada seperti:

  • meja belajar,
  • kerusi,
  • almari baju kat dalam setiap bilik,
  • katil bujang (boleh rujuk kat idea #3 tadi),
  • rak buku, dan lain-lain yang berkaitan

Pendek kata, bekalkan perabot yang seorang pelajar boleh gunakan. Ini akan berikan nilai tambahan yang baik kat rumah dan penyewa korang.

Perabot ini pula, tak wajib beli yang mahal. Ada saja perabot yang murah dan nampak mahal.

Idea #4: Gunakan partition untuk buat bilik tambahan

Kalau ada banyak ruang lebihan, boleh saja gunakan partition untuk buat ruang tambahan untuk penyewa gunakan.

Bila ada lebih banyak bilik, bermakna kita boleh tampung lebih banyak penyewa dalam satu rumah yang sama.

Dan selagi boleh, elakkan letak partition ni kat tempat yang menghalang cahaya luar masuk. Dan ambil kira kalau ruang itu perlukan lampu tambahan atau tak.

Idea #5: Minimumkan kos kemasukan penyewa baru

Katakan, korang adalah penyewa yang tengah mencari rumah sewa.

Bila dah dapat rumah nanti, dah tentu kita kena sediakan duit sewa untuk tempoh 3 bulan pertama sebagai bayaran deposit (deposit rumah selama 2 bulan + sewa bulan pertama).

Dan ia tak berhenti setakat itu saja. Korang kena sediakan pula bajet untuk beli segala keperluan rumah seperti peti ais, televisyen, katil, tilam, dan set sofa (sebagai contoh).

Terang-terang banyak duit yang korang akan belanjakan untuk beli semua benda ni.

Apa yang kita boleh buat, adalah sediakan rumah dengan perabot yang lengkap. Cara ini dapat meningkatkan kadar sewaan dan juga memudahkan bakal penyewa.

Penyewa juga tak kisah nak bayar sewa mahal sikit, sebab mereka tak perlu keluarkan duit lebih bila dah masuk rumah nanti.

Idea #6: Sediakan pekakas dapur yang asas

Dah jadi perkara biasa.

Anak-anak muda suka kat barangan berjenama yang berharga mahal. Ini berikan mereka lesen untuk berlagak dengan orang lain (mohon terasa).

Tapi, takkan barang dapur pun nak beli yang branded juga? Kalau harga barang-barang ni murah, lain cerita. Sekali tengok harga kuali Tefal, boleh tanggung belanja makan seminggu.

Boleh saja nak ubah suai kabinet dapur, tapi pastikan semua benda yang penting (high priority) selesai dulu.

Tak wajib pun nak renovate dapur macam rumah famili. Cukup penyewa boleh masak makanan dan menyimpan pekakas seperti pisau, sudu, garfu, pinggan dan sebagainya pun dah memadai.

Idea #7: Jangan lupa juga barang eletrik yang wajib

Adalah idea yang baik untuk sediakan peralatan eletrik yang asas kat rumah sewa kita. Ini boleh bantu penyewa kurangkan kos kemasukan dengan efektif.

Sama macam poin sebelum ni, tak perlu nak beli yang berjenama. Asalkan ia selamat (ada cop SIRIM) dan boleh senangkan kerja mereka, dah memadai.

Antara barang yang boleh korang pertimbangkan seperti seterika, microwave, atau periuk nasi.

Idea #8: Berikan cool factor untuk tarik minat penyewa

Korang boleh buat ini kalau ada bajet ekstra.

Tak salah untuk selitkan beberapa cool factor, bertujuan untuk meningkatkan minat penyewa kat rumah kita.

Contohnya, korang boleh sediakan servis wifi. Dan kalau korang nak tahu, ini antara pelaris yang boleh kita gunakan. Student cukup suka kalau rumah dah sedia ada sambungan wifi. Senang nak buat assignment.

Lain-lain idea? Boleh juga kalau korang nak bekalkan printer. Untuk 3 katrij pertama, bagi secara percuma. Yang lebih tu, pandai-pandai mereka kongsi duit dan top up.

Nak bagi PlayStation 4 pun, boleh juga. Tapi, takut lain pula jadinya. Kalau ada yang kecundang atau dapat result yang tak hensem, kita pula yang kena salahkan nanti.

Idea #9: Serahkan pada yang pakar

Ada saja syarikat yang bekalkan perkhidmatan dan nasihat tentang perkara ini kat luar sana.

Mereka akan tolong kita susun perabot dalam rumah secara berstrategi, disamping membantu kita buat pemasaran  tanpa gunakan kos yang banyak.

Mereka juga ada sediakan servis fotografi profesional. Jangan pandang rendah kat kuasa gambar yang cantik ya. Ia mampu berikan impak dan tinggi untuk buat jualan.

Hiasan dalaman yang baik dan menarik boleh jadi antara faktor terpenting, untuk pastikan rumah kita dapat dijual tanpa ambil banyak masa.

Kalau korang betul-betul tak reti nak buat, Tok sarankan dapat bantuan orang lain yang lebih pakar (macam Idea #9 tadi). Mungkin akan guna modal sikit, tapi pastinya ia berbaloi.

Apa-apa pun, cuba dulu. Dan selamat berjaya, Tok doakan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *