Fasa kedua projek pembangunan pasar raya terbesar di ASEAN, Mitsui Outlet Park Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka dapat disiapkan sepenuhnya pada awal tahun 2018.
Pusat beli-belah itu yang pertama dibangunkan di kawasan bandar KLIA Aeropolis bakal tawarkan lebih banyak jenama premium antarabangsa dan tempatan.
Menurut Timbalan Pengarah Urusan MFMA Development Sdn. Bhd., T. J. Cheah, projek baharu itu akan dibangunkan di tapak seluas 27,500 meter persegi bersebelahan dengan Mitsui Outlet Park KLIA fasa pertama yang sedang beroperasi di sini.
“Fasa kedua ini akan menempatkan lebih banyak jenama yang berbeza serta premis hiburan bagi menambahkan lagi tarikan di pusat beli-belah ini.”
“Sebanyak 60 premis tambahan dengan kira-kira 500 lot tempat letak kereta baharu akan ditempatkan dalam projek fasa kedua ini,” katanya dalam sidang akhbar majlis pecah tanah fasa kedua projek pembangunan Mitsui Outlet Park KLIA di sini hari ini.
Yang hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Ong Hong Peng; Pengerusi Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB), Tan Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali dan Pengarah Urusan, Mitsui Fudosan, Osamu Obayashi.
Cheah berkata, fasa pertama pusat beli-belah itu pada masa kini menempatkan sebanyak 128 kedai pelbagai jenama di kawasan komersial seluas 25,000 meter persegi.
Selepas siap fasa kedua itu kata beliau, pihaknya merancang membangunkan fasa ketiga menjelang tahun 2019.
Dalam pada itu, projek tersebut akan dibangunkan oleh Nakano Construction iaitu pihak sama yang bertanggungjawab membangunkan fasa pertama pusat membeli-belah tersebut, jelasnya.
[Sumber berita asal: UTUSAN ONLINE]