PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

Jawab 5 soalan ini dan elakkan kewangan anda sengsara pasal kad kredit

Tengah terfikir nak memohon kad kredit?

Ia adalah satu alat kewangan yang bolehkan kita membayar sesuatu jumlah, walaupun hakikatnya, kita tak ada duit sebanyak itu.

Sama ada ia jejaskan kewangan atau sebaliknya, ia bergantung kat cara kita gunakan instrumen ini.

Kalau nak tahu korang layak pakai kad kredit atau tak, baca perkongsian Denise Chan ini dan buat pertimbangan terlebih dulu.

Jawapan 5 soalan ni akan selamatkan kewangan korang daripada merana teruk.

#1: Apa sebab anda nak buat kad kredit?

Sebelum nak memohon, tahu dulu tujuan utama kita buat kad kredit.

Dalam banyak-banyak kes, ramai yang buat sebab nak mudahkan proses pembayaran, dan mantapkan rekod kredit (senang nak buat pinjaman perumahan nanti).

Ada juga yang nak buat sebab tertarik dengan segala kelebihan dan ganjaran yang ada.

Dan tak kurang ramai juga yang jadikan sebab atas ini sebagai alasan semata-mata. Terasa? Siapa makan cili, tentu dia yang akan rasa pedas.

Banyak juga Tok perhatikan. Lepas dah dapat kad nanti, buat perangai berbelanja macam orang harta berbilion. Bila nak bayar balik nanti, terkial-kial. Siapa suruh “sontot” diri sendiri?

Kalau setakat nak beli handbag harga RM3,000 atau Playstation 4, lupakan hasrat ini.

Pendek kata, elakkan buat kad kredit sebab nak penuhi kemahuan diri semata-mata. Lambat laun, kewangan korang pasti akan merana teruk nanti.

#2: Layak ke anda memohon?

Dah ada jawapan untuk soalan pertama tadi? Masa untuk jawab soalan ke-2 ni pula.

Ada kemungkinan besar korang tak layak memohon kad kredit lain, kalau tak bayar hutang secara berdisiplin sebelum ini.

Senarai perbelanjaan bulanan (bajet) yang baik boleh buatkan kita tahu dimana tahap kemampuan kewangan semasa kita.

Kalau ada tanggungan lain seperti pinjaman gadai janji (mortgage), PTPTN, atau pinjaman kereta, pastikan dulu ia tak berikan kesan kat pembayaran pinjaman kad kredit kita.

Bank akan ambil kira secara serius tentang ini sebelum luluskan permohonan kad kredit.

#3: Apakah kad kredit yang sesuai dengan gaya hidup anda?

Kad kredit datang dengan pelbagai varian. Dan kita boleh pilih kad yang terbaik dengan tahu apakah gaya hidup dan tabiat perbelanjaan kita.

Bila dah kenal pasti perkara ini, kita boleh memilih kad yang berikan ganjaran maksimum.  Antara kelebihan yang pengguna boleh dapatkan seperti rebat tunai, baucar, atau hadiah yang menarik.

Lain pula kalau nak gunakan ia untuk tujuan kecemasan.

Kalau ini situasi korang, cari kad yang berikan mata ganjaran evergreen dan percuma untuk seumur hidup.

Kad kredit yang perlukan kita swipe untuk ketepikan yuran tahunan mungkin bukan satu idea yang baik untuk korang gunakan.

#4: Perlu ke anda memohon kad kredit yang lain?

Tengah merancang nak memohon kad ke-2?

Adakah korang nak gunakan satu kad untuk perkara kecemasan, dan satu lagi untuk urusan harian? Bermakna korang tergolong dalam kumpulan majoriti pengguna kad kredit. Ramai yang pelan macam ni.

Cuma, isu utama kat sini adalah:

“Mampu ke korang tahan nafsu supaya tak terlebih guna 2 kad kredit ini?”

Kalau jawapan korang “ya”, pastikan 2 kad ini tak ada yuran tahunan. Sebab korang tak nak tingkatkan kos bila gunakan 2 kad ini.

Tak salah nak gunakan 2 kad. Tapi, korang kena berikan fokus untuk memilih kad mana yang sesuai dengan cara korang berbelanja.

Matlamat kita adalah nak dapatkan 2 kad yang melengkapi antara satu sama lain, dan berikan manfaat yang setimpal untuk setiap penggunaan.

#5: Apakah caj-caj lain yang anda perlu ambil tahu?

Dalam bil akhir bulan nanti, kita bukan saja akan dapat amaun perbelanjaan. Kita juga akan membayar fi tambahan seperti:

  • interest fees (yuran faedah),
  • late fees (yuran bayaran lewat),
  • annual fees (yuran tahunan), atau lain-lain fi yang terlibat.

Kita boleh saja memilih untuk gunakan kad kredit tanpa yuran tahunan, tapi kita masih perlu jelaskan caj-caj lain yang terlibat. Dan caj ini pula boleh bertambah dari masa ke semasa.

Kaji dan periksa dulu setiap caj tambahan yang bank akan kenakan. Selain itu, elak gunakan kad plastik ini kalau tak perlu. Lain cerita kalau korang jenis sanggup bayar segala fi ini dengan senang hati.

Kad kredit ni, Tok ibaratkan macam api. Kecil-kecil, jadi kawan. Besar-besar, jadi lawan.

Tok pasti korang tak nak susahkan diri sendiri bila gunakan instrumen kewangan ini. Benar, ia mudahkan segala kerja pembayaran. Tapi kalau salah guna, korang sendiri yang bakal terlingkup nanti.

Dah berapa banyak kes anak muda kecundang dek penggunaan yang tak betul. Dan kalau boleh, Tok tak nak dengar lagi cerita macam ni. Kewangan korang adalah 100% tanggungjawab korang, bukan orang lain.

Tak nak terlepas info dan tips terkini berkaitan hartanah dan kewangan? Tok nak ajak korang join Channel Telegram rasmi Gilahartanah. Klik gambar untuk join.

[KLIK GAMBAR SEKARANG]

Jom join Channel Telegram rasmi GilaHartanah.
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  1. Norlizah Binti Bahari says:

    I want to join