PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

Contohi 9 tabiat orang kaya ini, kalau anda berimpian nak jadi kaya dan berjaya. Tabiat #8 boleh buat anda lebih sihat.

Ada beza yang ketara antara orang kaya dan orang biasa dari sudut tabiat mereka.

Pernah korang dengar pepatah ini?:

“Apa yang kita lakukan hari ini akan mempengaruhi hari esok.”

Jadi, wajar untuk katakan tabiat kita hari ini ada kuasa pengaruhi kejayaan kita esok hari. Itu sebab ramai orang kaya bersetuju untuk fokus 100% kepada apa yang kita buat hari ini.

Orang biasa lebih suka duduk berjam-jam depan televisyen.

Orang kaya pula, lebih suka amalkan tabiat membaca buku. Bagi mereka, ia adalah hiburan terbaik yang sarat dengan 1001 manfaat.

Belajar daripada orang kaya, supaya kita boleh jadi kaya macam mereka. 

Thomas C. Corley adalah penulis buku Rich Habits -The Daily Success Habits of Wealthy Individuals.

Selama 5 tahun, beliau mengkaji orang kaya supaya kita boleh pupuk tabiat yang mereka amalkan dalam diri kita.

Tambah beliau, kuncinya adalah menyerap lebih dari 50% tabiat ini ke dalam diri kita. Ini kerana semua orang ada dua jenis tabiat ini dalam diri masing-masing.

Bagi Tok, ia sangat logik. Mana ada manusia sekarang yang sempurna dengan kebaikan semata-mata, kan?

Apakah tabiat orang kaya yang boleh kita jadikan contoh? Berikut Tok sediakan kupasan oleh Thomas secara terperinci:

Tabiat #1: Sentiasa kekalkan fokus untuk capai matlamat mereka.

“Saya sentiasa fokus kepada objektif yang mahu dicapai setiap hari.” 

  • Orang kaya yang bersetuju dengan ayat ini: 62% 
  • Orang biasa yang bersetuju dengan ayat ini: 6%

Ini adalah tabiat orang kaya yang ketara. Golongan ini suka perbaharui objektif mereka setiap bulan atau setiap tahun, bergantung kepada perkara yang nak dicapai.

Lebih 67% orang kaya sentiasa tulis impian ke dalam buku nota mereka.

Menurut Thomas, impian yang tak ditulis adalah sukar untuk dicapai. Perkara ini diakui oleh ramai orang kaya yang dikaji oleh Thomas.

Pada pandangan orang kaya, impian atau objektif ada dua ciri ini:

  1. Ia tak mustahil dan realistik untuk dicapai.
  2. Perlu ada tindakan fizikal untuk capai impian atau objektif ini.

Tabiat #2: Tahu tugasan yang mereka kena buat setiap hari. 

“Saya kekalkan senarai kerja (to-do list) yang saya kena selesaikan setiap hari.”

  • Orang kaya yang bersetuju dengan ayat ini: 81%
  • Orang biasa yang bersetuju dengan ayat ini: 19%

Bukan sahaja mereka kekalkan perkara ini. Malah, 67% akan selesaikan 70% atau lebih tugasan yang ada dalam senarai mereka setiap hari.

Tabiat #3: Orang kaya tak minat tengok TV lama-lama. 

“Saya tengok televisyen tak lebih atau kurang daripada satu jam setiap hari.” 

  • Orang kaya yang bersetuju dengan ayat ini: 67% 
  • Orang biasa yang bersetuju dengan ayat ini: 23% 

Hanya 6% orang kaya yang suka tengok rancangan realiti, berbanding 78% orang biasa.

Rancangan realiti yang dimaksudkan adalah seperti “Shark Tank” dan sebagainya, bukan “American Idol” atau yang sama waktu dengannya.

Thomas jelaskan, bukan sebab mereka tak minat.

Tapi mereka tak suka bazirkan masa mereka untuk benda yang tak berfaedah. Bukan sebab mereka ada tahap disiplin yang luar biasa, atau lain-lain.

Kalau kita lihat, kebanyakan rumah orang kaya akan penuh dengan rak buku yang bertingkat-tingkat.

Bagi mereka, buku adalah hiburan yang bermanfaat buat diri mereka.

Tabiat #4: Mereka kurang baca buku jenis fiksyen. 

“Saya suka baca buku.” 

  • Orang kaya yang bersetuju dengan ayat ini: 86% 
  • Orang biasa yang bersetuju dengan ayat ini: 26% 

Benar. Orang kaya suka baca buku, seperti yang Thomas jelaskan dalam poin sebelum ini.

Tapi, ia tak bermaksud mereka baca buku fiksyen, novel cinta, atau yang serupa dengannya.

Mereka suka baca buku bukan fiksyen yang bermanfaat, seperti “self-improvement” dan sebagainya. Golongan ini sentiasa mahu tingkat taraf diri mereka.

Buku seperti ini bantu mereka dari segi idea, semangat, dan gaya fikir (mindset) yang baik untuk lebih berjaya.

Thomas tambah, 88% orang kaya baca buku jenis ini lebih kurang 30 minit setiap hari, berbanding 2% orang biasa.

Tabiat #5: Golongan ini suka mendengar buku audio (audiobooks).

“Saya suka dengar buku audio sewaktu perjalanan ke tempat kerja.” 

  • Orang kaya yang bersetuju dengan ayat ini: 63% 
  • Orang biasa yang bersetuju dengan ayat ini: 5% 

Walaupun kita tidak selalu dengar buku audio, kita boleh mulakan tabiat ini sekarang.

Ia amat sesuai semasa kita sedang dalam perjalanan ke tempat kerja, semasa memandu kereta, atau sekadar sedang menunggu di perhentian bas.

Daripada menunggu kosong, kita boleh isi ruang itu dengan mendengar buku audio pilihan kita.

Buku audio amat sesuai gantikan buku fizikal. Ia amat sesuai untuk mereka yang mahukan sedikit kelainan daripada yang biasa.

Tabiat #6: Suka amalkan “over deliver” untuk setiap kerja.

“Saya suka buat lebih daripada yang sepatutnya untuk kerja yang saya lakukan.” 

  • Orang kaya yang bersetuju dengan ayat ini: 81% 
  • Orang biasa yang bersetuju dengan ayat ini: 17% 

Orang kaya ada tabiat yang bagus berkaitan dengan kerja.

Mereka adalah golongan yang sanggup bekerja lebih masa berbanding orang biasa.

Ini kajian yang berjaya Thomas buktikan: 86% orang kaya akui selalu kerja lebih daripada 50 jam atau lebih.

Orang biasa pula sebanyak 43%. Hanya 6% orang kaya sahaja yang akui mereka tidak gembira kerana perlu kerja lebih masa.

Tabiat #7: Mereka bukan jenis yang suka bergantung kepada nasib. 

“Saya suka berjudi.”

  • Orang kaya yang bersetuju dengan ayat ini: 6% 
  • Orang biasa yang bersetuju dengan ayat ini: 77% 

Ini tak bermakna mereka tak suka kepada risiko.

Orang kaya cintakan risiko, tapi bukan pada risiko berjudi.

Mereka lebih suka leburkan duit kepada pelaburan berisiko tinggi, yang menjanjikan pulangan lumayan.

Tabiat #8: Ambil berat tentang soal makanan mereka.

“Saya ambil kira kalori makanan secara serius setiap hari.” 

  • Orang kaya yang bersetuju dengan ayat ini: 57% 
  • Orang biasa yang bersetuju dengan ayat ini: 5% 

Orang kaya ambil berat tentang kesihatan mereka.

Mereka sedar kesihatan adalah kekayaan peringkat tertinggi, dan ramai akui perkara ini tak ramai yang ambil serius.

Thomas pernah temubual orang kaya berusia 68 tahun dengan jumlah kekayaan sebanyak $78 juta.

Bila ditanya kenapa masih bekerja (sedangkan beliau sudah boleh bersara), beliau beri jawapan yang bijak.

Beliau bersenam dan jaga makanan setiap hari tanpa gagal. Jika dia boleh bekerja untuk tempoh 4 hingga 5 tahun lagi, beliau boleh tambah kekayaan sebanyak $7 juta.

Beliau sedar apabila bersara nanti, itu adalah masa untuk menikmati kekayaan yang telah beliau kumpul selama ini.

Tabiat #9: Mereka menjaga kebersihan, dan rajin sedekahkan senyuman mereka. 

“Saya jaga kesihatan gigi, dan amalkan senyum kepada orang lain setiap hari. “

  • Orang kaya yang bersetuju dengan ayat ini: 62% 
  • Orang biasa yang bersetuju dengan ayat ini: 16% 

Menurut doktor pakar gigi, kesihatan gigi berkait rapat dengan kesihatan diri kita secara keseluruhan. Bila jaga kebersihan gigi, ia bermaksud kita jaga kesihatan diri pada masa yang sama.

Senyuman juga adalah satu bentuk senaman, juga satu bentuk sedekah. Amalkan perkara ini setiap hari, kerana tabiat sedekah boleh lebatkan rezeki kita.

Nota Tok: Orang bukan Islam pun tahu kelebihan beri sedekah, walaupun hanya sekadar senyuman kepada orang lain. Kita?

Izinkan Tok selit nasihat sikit. 

Tok yakin korang semua boleh amalkan tabiat ini tanpa sebarang masalah.

Kalau baru nak mula, amalkan sikit-sikit dulu.

Lepas dah biasa, baru tingkat taraf amalan kita, dan buat lebih banyak daripada sebelumnya.

Tahu kapasiti diri masing-masing, dan sediakan strategi yang sesuai untuk korang gunakan.

Kita tak akan capai kejayaan, kalau ada ilmu tapi tak diamal. Tok harap korang selalu ingat pesan Tok ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *