Anugerah Hartanah Asia Tenggara (Malaysia) anjuran Kumpulan PropertyGuru dan ditaja oleh Hansgrohe, kini kembali menyaksikan kemenangan syarikat-syarikat pemaju dan projek pembangunan terbaik dalam majlis malam gala baru-baru ini.
Kejayaan Sime Darby Property, salah sebuah syarikat hartanah terkemuka tempatan berjaya meraih anugerah Pemaju Terbaik (Malaysia) berikutan komitmen berterusan dalam menghasilkan projek-projek pembangunan berkualiti tinggi.
Majlis yang dihadiri oleh 300 orang tetamu ini turut dimeriahkan dengan kehadiran tetamu kehormat iaitu Pengerusi PropertyGuru Malaysia, Yang Amat Mulia Tunku Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin ibni Tuanku Muhriz, dan dif terhormat Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee Yong yang menyampaikan ucapan perasmian.
“Selain kecemerlangan berterusan dalam industri perladangan, Sime Darby sentiasa berusaha menyumbang ke arah pembangunan negara dan kelangsungan hidup penduduk di bumi Malaysia.”
“Kejayaan berterusan dalam menghasilkan projek pembangunan berinovatif membuktikan kepentingan Sime Darby sebagai sebahagian daripada sejarah pembangunan negara,” demikian menurut barisan juri bebas acara ini.
Saat kegemilangan syarikat hartanah gergasi ini berterusan dengan menjadi salah satu pemenang bagi kategori Penghargaan Khas dalam Pembangunan Mapan yang baru diperkenalkan.
Pemenang tiga kali berturut-turut, UM Land turut meraih kategori ini. Kedua-dua syarikat ini dipilih atas kecemerlangan prestasi dan visi syarikat dalam aspek pembangunan mapan.
Tiga syarikat terkemuka yang menekankan kepentingan tanggungjawab sosial syarikat (CSR) dalam sektor hartanah pula telah dipilih untuk meraih anugerah Penghargaan Khas CSR ini: LBS Bina Group Berhad, Kumpulan Mah Sing dan Matrix Concepts Holdings Berhad.
Buat julung kalinya, satu kategori baharu iaitu Pemaju Pembangunan Mewah Terbaik turut diperkenalkan dalam program penganugerahan yang telah berlangsung sejak tiga tahun berturut-turut.
Anugerah ini dimenangi oleh Mitraland Group yang cukup sinonim dengan projek-projek pembangunan mewah berkonsep indah besertakan rekaan dan harga terbaik seperti Kiara 1888 dan Cascades.
Diketuai oleh pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Mitraland, Chuah Theong Yee telah menerima anugerah Personaliti Hartanah Tahunan pada malam gala tersebut.
Anugerah berprestij pilihan penerbit itu disampaikan oleh barisan editor Property Report iaitu majalah rekaan, seni bina dan hartanah mewah paling berpengaruh di Asia. Property Report juga merupakan rakan media rasmi bagi majlis ini.
Terkenal dengan sifat agresif dan daya kepimpinannya yang bervisi tinggi, Chuah menyifatkan kejayaannya sebagai hasil kerjasama dan sokongan daripada keluarga dan seluruh warga kerja Mitraland.
“Saya amat berbesar hati dengan kemenangan di luar jangkaan ini. Kejayaan menakjubkan ini cukup bermakna dan membuktikan segala hasil keringat saya selama ini telah diiktiraf dan lebih bernilai dalam kalangan rakan seindustri.
“Saya dan rakan seperjuangan amat bangga dengan pencapaian ini. Kami berjanji akan terus berusaha menawarkan perkhidmatan serta produk terbaik kepada para pembeli, pelabur dan juga rakan niaga,” katanya.
Menerusi projek kondominium mesra alamnya, Serai, Bukit Bandaraya yang berpangkalan di Kuala Lumpur, BRDB Developments Sdn. Bhd. telah berjaya merangkul pelbagai anugerah berbeza.
Selain trofi anugerah Projek Kondominium Mewah Terbaik (Pusat, Malaysia), BRDB juga menerima dua anugerah penghargaan iaitu Pembangunan Mesra Alam Terbaik dan Projek Kediaman Terbaik (Malaysia).
Kemenangan anugerah Projek Kediaman Terbaik turut melayakkan syarikat ke pusingan akhir Anugerah Hartanah Asia Tenggara 2016 peringkat serantau yang akan berlangsung di Singapura pada November ini.
Medini Iskandar Malaysia Sdn. Bhd. yang meraih anugerah Projek Komersial Terbaik dan Projek Komersial Terbaik (Malaysia) sebanyak dua kali juga layak ke pusingan akhir.
Genting Property, salah sebuah syarikat multinasional terkemuka di Malaysia pula mendominasi majlis gala pada malam itu.
Dua projek pembangunannya, Raintree Residences telah memperoleh empat pengiktirafan manakala The Crystal pula berjaya merangkul dua kemenangan dalam kategori rekaan dan pembangunan.
“Anugerah Hartanah Asia Tenggara (Malaysia) ini sememangnya menampilkan senarai projek hartanah dan pelaburan terbaik tahun ini.”
“Usaha untuk memberi kelainan dan mempertingkatkan industri hartanah ini jauh lebih mustahak daripada aspek lain serta hasrat menjana keuntungan semata-mata,” ujar seorang veteran dalam sektor hartanah, Prem Kumar yang berpengalaman selama 30 tahun dan juga merupakan pengarah eksekutif Jones Lang Wootton.
Pengerusi untuk panel juri (Bahagian Pusat) itu juga menambah, pertumbuhan industri hartanah dalam jangka panjang tidak akan terjejas ekoran keadaan pasaran yang lembap buat masa ini.
Sebaliknya, pelbagai polisi kerajaan yang telah diperkenalkan selama ini dijangka dapat mendorong pertumbuhan sektor hartanah sebagai antara penyumbang utama dalam pembangunan jangka panjang ekonomi negara.
Diketuai oleh Kumar, panel juri tahun ini merangkumi pakar-pakar terkemuka dalam bidang pembangunan, pengurusan, seni bina dan rekaan hartanah tempatan. Sejak enam bulan lalu, barisan juri ini telah bekerjasama menerusi pemantauan BDO yang telus dan adil.
BDO merupakan antara firma audit dan perakaunan terbesar di dunia yang bertanggungjawab mempertimbangkan kelayakan serta kualiti semua pencalonan.
“Barisan juri (Bahagian Pusat) untuk Anugerah Hartanah Asia Tenggara (Malaysia) tahun ketiga ini sememangnya terkenal dengan kewibawaan dan kepakaran mereka.”
“Kami amat bangga dapat bekerjasama dengan mereka bagi anugerah hartanah paling berprestij di Malaysia ini,” ujar pengasas dan pengarah urusan Anugerah Hartanah Asia, Terry Blackburn.
Acara black-tie yang mendahului Persidangan Property Report Malaysia 2016 ini berlangsung pada 11 Ogos sebelum majlis makan malam gala. Penganjuran persidangan tersebut merupakan yang pertama kali seumpamanya di Malaysia.
Dihadiri oleh sekitar 100 orang hadirin, persidangan berprestij itu turut dimeriahkan oleh barisan penceramah terkemuka seperti Kumar dan pengurus negara PropertyGuru (Malaysia), Sheldon Fernandez yang menyentuh pelbagai isu pelaburan serta keadaan semasa dan masa depan industri hartanah tempatan.
Antara penceramah lain yang turut hadir termasuk pakar dalam industri hartanah seperti pengarah Jabatan Perancangan Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Haji Sahrom; pakar strategi digital dan pengasas Hashtagcontent.com, Ian Paynton; dan penulis serta juri Anugerah Hartanah Asia Tenggara (Malaysia), Khalil Adis dan Low Han Hoe yang mewakili DTZ.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi dengan klik disini.
SENARAI PEMAJU
Anugerah Pemaju Terbaik
Anugerah Pemaju Pembangunan Mewah Terbaik
Anugerah Penghargaan Khas untuk Kategori CSR
Anugerah Pembangunan Mesra Alam Terbaik
Anugerah Penghargaan Khas untuk Kategori Pembangunan Mapan
TERBAIK ANTARA YANG TERBAIK
Anugerah Projek Komersial Terbaik (Malaysia)
Anugerah Projek Kediaman Terbaik (Malaysia)
PEMBANGUNAN
Anugerah Projek Kediaman Terbaik (Utara, Malaysia)
Anugerah Projek Kondominium Mewah Terbaik (Bahagian Pusat, Malaysia)
Anugerah Projek Kondominium Kelas Pertengahan Terbaik (Bahagian Pusat Malaysia)
Anugerah Projek Perumahan Terbaik (Bahagian Pusat, Malaysia)
Anugerah Projek Kondominium Mewah Terbaik (Bahagian Selatan, Malaysia)
Anugerah Projek Kondominium Kelas Pertengahan Terbaik (Bahagian Selatan, Malaysia)
Anugerah Projek Perumahan Terbaik (Bahagian Selatan, Malaysia)
Anugerah Projek Komersial Terbaik
Anugerah Projek Pembangunan Serba Guna Terbaik
REKAAN/SENI BINA
Anugerah Rekaan Seni Bina Projek Kediaman Terbaik
Anugerah Rekaan Dalaman Projek Kediaman Terbaik
Anugerah Rekaan Seni Bina Landskap Terbaik
PILIHAN PENERBIT
Anugerah Personaliti Hartanah 2016