PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

Akta 242 – Daftar Pengurus Harta, lindungi kepentingan pembeli rumah?

Kuala Lumpur, 11 Januari 2018 – Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Yang Berhormat Tan Sri Noh bin Haji Omar secara rasminya telah melancarkan Daftar Pengurus Harta yang dinantikan.

Ini adalah mengikut perubahan pindaan Akta 242 – Akta Penilai, Pentaksir dan Ejen Harta Tanah 1981.

Menerusi pindaan itu, Akta 242 kini dikenali sebagai Akta Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta 1981, yang diluluskan pada 17 Oktober 2017 lalu dan digazetkan pada 2 Januari 2018.

Pelancaran ini turut disaksikan Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani, sebagai tanda usaha sama buat julung kalinya melibatkan 2 kementerian dengan matlamat bersama di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (National Blue Ocean Strategy), ke arah mengawal selia amalan pengurusan harta bagi harta strata di Malaysia.

Sehingga kini, terdapat sekurang-kurangnya 19,000 skim strata di seluruh Malaysia dengan sejumlah 7.5 juta penduduk menghuni di kediaman tersebut. Angka besar itu mewakili 30% daripada jumlah penduduk di bandar.

Kes pengamal pengurus harta haram semakin meningkat? 

WhatsApp Image 2018 01 11 at 16.41.53 1

Tan Sri Noh bin Haji Omar menyampaikan ucapan. Sumber gambar – Tok Penghulu

Sementara itu, bilangan aduan yang diterima oleh Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta (LPEPH) atas kesalahan pengurusan dan penyelewengan oleh pengurus harta tanah berdaftar pada tahun lepas adalah sebanyak 10 kes saja, walaupun kes-kes yang melibatkan pengamal haram mencatatkan sekitar 116 kes.

“Pengurusan strata yang dikawalselia dengan sempurna akan membawa kesejahteraan kepada rakyat dan keyakinan kepada pelabur,” kata Yang Berhormat Tan Sri Noh bin Haji Omar, di majlis Pelancaran Daftar Pengurus Harta.

Pindaan Akta 242 ternyata lebih efektif dengan membawa amalan pengurusan harta di bawah pemantauan LPEPH. Semua pengamal pengurusan harta juga akan dikawal oleh Lembaga.

Langkah itu bagi memastikan pengurus harta yang diamanahkan dengan pengurusan harta bernilai jutaan Ringgit dikawal oleh badan profesional, sekaligus melindungi orang ramai daripada individu yang tak bertanggungjawab.

“Tugas pengurus harta sangat mencabar kerja perlu berhadapan dengan pelbagai situasi. Mereka perlu bijak dalam berurusan dengan orang ramai selain mempunyai kemahiran teknikal untuk menyelesaikan masalah.”

Tingkatkan tahap profesionalisme pengurusan harta

WhatsApp Image 2018 01 11 at 16.42.05 1

Tan Sri Noh bin Haji Omar, Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani, dan Sr. Haji Nordin bin Daharom melancarkan Pendaftaran Pengurus Harta. Sumber gambar – Tok Penghulu

“Saya tekankan di sini bahawa pengurus harta sepatutnya menjadi Jack of All Trade untuk meningkatkan martabat profesion ini,” jelas Yang Berusaha Sr. Hj Nordin bin Daharom, Yang Dipertua Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta dalam ucapan aluan beliau.

Penubuhan pengurus harta berdaftar membawa faedah kepada pelbagai peringkat profesion dan seterusnya pemilik rumah.

Kejayaan sulung ini juga telah berjaya meningkatkan tahap profesionalisme pengurusan harta, kerana diiktiraf oleh 2 kementerian.

Pendidikan dan pembangunan profesional yang berterusan untuk semua pengurusan harta berdaftar pula memastikan perkembangan serta fleksibiliti set kemahiran yang begitu penting untuk profesion ini.

Dengan Pelancaran Daftar Pengurus Harta ini, pengamal pengurus harta yang mempunyai pengalaman pengurusan harta diberikan masa 1 tahun untuk mendaftarkan diri sebagai pengamal profesional yang diperakui.

Saluran khas untuk sampaikan aduan

Pengalamal pengurus harta boleh mendaftarkan diri dengan mengisi Borang C, yang boleh didapati menerusi laman web ini (klik sini), dan hantar borang ini kepada Lembaga.

Dalam pada itu, pemilik rumah kini mempunyai saluran khas untuk menyampaikan aduan kepada LPEPH.

Ini akan memastikan keselamatan dan kesejahtaraan pemilik rumah berstrata berada di bawah pengurusan pengurus harta yang berpengetahuan, selain diiktiraf di seluruh negara.

Pemilik hartanah boleh membuat aduan secara terus kepada Lembaga menerusi laman web [email protected].

Keselesaan dan komuniti stata yang harmoni adalah antara kelebihan lain yang akan dinikmati oleh pemilik hartanah, sekali gus membantu meningkatkan lagi nilai aset yang mereka miliki.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *