Kecoh pulak pasal orang bergaji RM2,000, boleh survive kat bandar Kuala Lumpur yang mencabar pada hari ini.
Hakikatnya, orang gaji RM7,000 sebulan pun tak boleh survive kalau berbelanja ikut nafsu.
Bila gaji banyak tu, tak pandang dah kereta Hondu atau Toyotel. Myvi? Jauh sekali. Jadi kewajipan untuk angkat kereta Jerman. Baru padan.
Punca ramai yang kantoi sebab tak nak belajar tentang pengurusan kewangan.
Dan kalau nak ubah semua ini, hadamkan sekarang perkongsian Tuan Suzardi Maulan. Kewangan korang confirm selamat.
Kita mesti tahu apa yang korang mahukan dalam hidup.
Misalnya, apa yang kita mahu capai pada usia persaraan? Apakah simpanan untuk persaraan nanti? Adakah mencukupi jika diambil kira faktor-faktor kenaikan kos sara hidup, inflasi yang berlaku saban tahun?
Benar, barangkali persaraan itu hanya berlaku lagi 10, 20, 30 tahun akan datang. Namun kena ingat. Buah durian yang dimakan hari ini pokoknya bukan ditanam semalam.
Pengurusan kewangan yang baik membabitkan matlamat kewangan jangka pendek, sederhana, dan panjang.
Mulakan dengan matlamat paling jauh. Apabila kita mempunyai satu pandangan jauh, kita telah menetapkan langkah yang betul untuk berjaya.
Sebab tu, Islam menyuruh kita berfikir mengenai mati, kerana keyakinan kita mengenai syurga neraka, kehidupan alam akhirat menyebabkan kita bersungguh-sungguh bekerja dengan penuh amanah di dunia.
Dalam surah Yusuf, ayat 47 ada menyebut tentang kepentingan menanam selama 7 tahun dengan bersungguh-sungguh.
Ya, bukan sekadar menanam, tetapi menanam dengan bersungguh-sungguh.
Dalam erti kata lain, sama ada kita makan gaji atau bekerja sendiri, kita perlu benar-benar berjaya (termasuklah memperoleh gaji tinggi) dalam bidang kita.
7 tahun zaman senang itu tadi adalah untuk menghadapi 7 tahun zaman susah.
Jika kita tak mempunyai pendapatan yang mencukupi, maka sukar untuk mempunyai simpanan yang mencukupi kerana kos sara hidup yang semakin meningkat.
Pada hari ini mempunyai satu sumber pendapatan saja adalah tak mencukupi. Paling kurang, kena ada pendapatan ke-2 iaitu dari sumber pelaburan.
Ayat 47, surah Yusuf juga menyebut dengan jelas hasil-hasil tanaman itu tadi perlu disimpan dalam bentuk tangkai dahulu selebihnya baru makan.
Itulah panduan yang terbaik, iaitu menyimpan dahulu selebihnya baru dibelanjakan.
Ini adalah satu petunjuk agar kita semua mempunyai disiplin atau habit of delay gratification iaitu menangguhkan kepuasan.
Sekiranya kita membelanjakan semua pendapatan terlebih dulu dan jika ada lebih baru simpan, maka itulah langkah paling berkesan untuk mencipta masalah kewangan yang kronik pada masa akan datang.
Jadi, gunakan formula ini :
“Gaji – Simpanan = Belanja”
Mudah, kan?
Kita perlu menyusun keutamaan perbelanjaan.
Bermula dengan keperluan-keperluan asas hidup iaitu untuk makan, minum, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan kesihatan. Disusuli dengan kehendak-kehendak, kemudian baru kemewahan.
Dalam hal ini, penyata kewangan (financial statement) peribadi memainkan peranan penting sebagai langkah pertama untuk bermula.
Angka-angka dalam penyata kewanganan adalah data terbaik, ada sama ada selama ini kita sebenarnya banyak berbelanja untuk harta (asset) atau pun beban (liability).
Dari Penyata kewangan juga, kita dapat menentukan sama ada kita patut menumpukan membaiki aliran tunai, menyelesaikan hutang atau dapat terus memulakan pelaburan secara serius.
Risiko kewangan adalah sesuatu yang tak dapat dihapuskan sepenuhnya.
Apa yang kita boleh buat adalah menguruskan risiko tersebut dengan efektif. Bagi kebanyakan orang, cara paling mudah menguruskan risiko kewangan adalah dengan mengambil produk-produk Takaful (insurans patuh Shariah).
Dan untuk menjadi seorang yang betul-betul berjaya dalam pengurusan kewangannya, ilmu adalah sangat penting.
Ini sebab produk Takaful tak mampu menguruskan semua risiko kewangan kita.
Adakah ada produk takaful yang dapat melindungi kita daripada inflasi, kejatuhan ekonomi, atau kemerosotan bisnes?
Zakat dan sedekah merupakan proses 3 + 1.
Dengan banyak memberi, kita dapat menyucikan harta, melindungi harta dan mengembangkan harta sekaligus.
Harta-harta yang kita beri ini sama sekali tak berkurangan, malah semakin bertambah dengan cara yang Allah saja yang tahu.
Zakat hanya untuk harta halal, manakala harta dari sumber haram kita perlu bersihkan 100%.
Manakala cukai pula, ia adalah kewajipan seorang rakyat kepada sesebuah negara. Dari duit cukai yang kita bayar, maka ia membolehkan kerajaan memberikan kita pelbagai infrastruktur asas jalan, sekolah, longkang, hospital dan keperluan lainnya.
Simpanan yang kita telah buat itu antaranya adalah untuk dijadikan modal pelaburan.
Tujuan pelaburan kita adalah untuk kegunaan menunaikan haji, tabung persaraan, tabung pendidikan anak-anak, tabung percutian, dan apa-apa saja matlamat kewangan kita.
Kita perlu tahu menyusun strategi pelaburan dengan bijak. Ini kerana ramai orang yang melabur, tapi berapa ramai yang telah melabur dengan bijak?
Setelah kita berjaya mengumpul harta, jangan lupa menyediakan exit strategy. Ini kerana kita semua pasti akan mati.
Pastikan harta-harta kita dah ada penama dan jika perlu, boleh gunakan wasiat, hibah, wakaf, pengsiytiharan harta sepencarian, dan pemegang amanah (trustee). Itu semua dibuat berdasarkan apa kemahuan kita sendiri.
Jika harta-harta ini tak diuruskan dengan baik, sekiranya waris-waris tuan pandai menguruskannya dan dapat berpakat maka senang hidup kitas dalam kubur. Jika sudah berebut harta, hukum faraid pun dilanggar saja.
Pembahagian harta semasa hidup juga penting sekiranya kita mempunyai anak angkat, kes anak luar nikah, anak susuan, berkahwin lebih dari seorang, dan tak mempunyai anak lelaki.
Jangan sampai harta beku dan orang yang kita sayang menjadi miskin sebab kelalaian kita dalam urusan ini.
—
Ilmu pengurusan kewangan tak diajar kat sekolah. Tapi ini bukan alasan untuk korang tak ambil kisah pasal perkara penting ini.
Dah jadi tanggungjawab masing-masing untuk ambil tahu dan belajar. Kalau tak, kewangan korang akan ke laut. Jangan cakap Tok tak pesan awal-awal.
Ilmu ni bermanfaat? Sila SHARE kat kawan-kawan korang supaya manfaat ini dapat kita nikmati bersama.
–
Tak nak terlepas info dan tips terkini berkaitan hartanah dan kewangan? Tok nak ajak korang join Channel Telegram rasmi Gilahartanah. Klik gambar untuk join.