PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

“Senangnya dapat penyewa lepas guna 5 teknik ini!” – Zaman

Rata-rata pelabur hartanah cukup takut dengan satu perkara ni:

“Aduh, pening gila kepala aku. Dah dekat 3 bulan rumah aku takde penyewa ni.”

Nah. Berdasarkan dialog kat atas tadi, Tok yakin korang dah tahu apa yang Tok nak sampaikan.

Jadi, macam mana nak elakkan masalah ni daripada berlaku kat korang?

Hari ni, Tok sediakan 5 teknik yang akan bantu korang dapatkan penyewa laju-laju. Jemput hadamkan tanpa was-was.

#1: Tukar mindset ‘tuan rumah’ kepada ‘penjual produk’

Tok dapat idea ini dekat blog Tuan JamalLife, dan Tok ubahsuai cara penyampai mengikut gaya bahasa Tok sendiri.

Perkara pertama (yang pada pandangan personal Tok, sangat penting) adalah dengan mengubah gaya fikir (mindset) ‘tuan rumah’ kepada ‘penjual.’

Dengan kata lain, korang kena tukar kepada gaya fikir (mindset) seorang penjual. Dan elok untuk anggap rumah sewa sebagai produk yang korang cuba nak jual.

Apa-apa pun, gaya fikir (mindset) adalah penting dalam semua perkara. Ini yang akan tentukan kejayaan korang untuk dapatkan penyewa dalam masa yang singkat.

Gaya fikir (mindset) yang betul akan mempengaruhi cara berfikir korang dalam membuat analisa, cara korang buat iklan, cara korang melayan prospek (bakal penyewa), dan cara berunding dengan penyewa.

#2: Kaji apa yang prospek mahukan

Sebelum buat iklan untuk pasarkan rumah sewa korang tu, korang wajib tahu beberapa perkara seperti:

  • Siapa target prospek (bakal penyewa) yang korang nak dapatkan?,
  • Keinginan dan kehendak prospek,
  • Cabaran semasa yang mereka hadapi.

Tok akan jelaskan satu-persatu poin dekat atas ini sebaik mungkin.

A) Siapa target penyewa yang anda nak dapatkan?

Korang boleh ambil tahu tentang perkara berikut:

  • Dekat mana prospek itu bekerja?
  • Apa profesion (pekerjaan) mereka?
  • Berapa purata gaji mereka?

Bila dah dapat maklumat dekat atas ni, baru boleh rangka pelan macam mana nak sewakan rumah korang tu.

Ini antara strategi yang korang boleh gunakan:

  • Nak sewakan secara fully-furnished (lengkap dengan perabot), semi-furnished (separa lengkap), atau bare unit (unit kosong)?
  • Nak sewakan sebiji rumah terus, ikut bilik, atau sewakan ikut kepala?

Kata kunci yang wajib korang semat dalam kepala adalah:

“Macam mana nak jadikan rumah sewa aku ni dalam kategori mampu sewa (affordable)?”

Tak bermakna korang kena kurangkan kadar sewa. Katakan, korang kena bayar bank RM1,500 setiap bulan untuk rumah tu. Tapi lepas kaji kadar sewa dekat kawasan tu, hanya sekitar RM1,000 saja.

Korang boleh pilih untuk sewakan ikut bilik. Master bedroom (bilik utama), korang boleh letak kadar sewa RM600. Bilik ke-2, RM400, dan bilik ke-3 pulak RM300.

Bila buat macam ni, korang dah boleh untung RM300 dekat situ.

B) Apa yang bakal penyewa mahukan?

Biasanya, penyewa nak sewa rumah yang bersih dan ada ruang tempat letak kereta.

Buat yang dah berkeluarga pulak, ada yang nak ruang kawasan makan (untuk letak meja makan) atau table top.

Ada modal lebih? Korang boleh laburkan dan buat table top dan kabinet dapur untuk memuaskan kehendak penyewa. Senang mereka nak memasak dan sediakan makan malam untuk keluarga.

Ini teknik paling senang untuk korang buat. Korang boleh anggap diri korang sebagai penyewa.

Cuba bayangkan, korang tengah cari rumah sewa. Apa yang korang mahukan daripada rumah sewa tu? Dengan menjawab soalan tu, korang akan dapat idea apa yang bakal penyewa lain mahukan.

C) Apa cabaran yang bakal penyewa anda hadapi?

Nak menyewa pun, ada cabaran yang tersendiri tau. Antara cabaran yang ada seperti:

  • Bakal penyewa tak ada duit nak bayar deposit 2+1 yang wajib dibayar,
  • Bakal penyewa lebih suka berurusan dengan tuan rumah sendiri, dan tak suka gunakan khidmat ejen,
  • Kalau tak kena hari, korang kena layan bakal penyewa yang sehabis boleh nak berunding dan dapatkan kadar sewa yang rendah,
  • Bakal penyewa tak nak bayar perkara yang mereka tak faham, seperti fi sekuriti, deposit tempat letak kereta, disposal fee, dan lain-lain yang berkaitan.

#3: Mudahkan urusan masuk rumah untuk bakal penyewa

Teknik ni, lebih kurang sama macam poin No. #2 dekat atas tadi. Antara yang korang boleh gunakan seperti:

  • Peruntukkan diskaun siap-siap sebanyak RM50 hingga RM100 semasa berunding dengan bakal penyewa. Mark-up harga sewa siap-siap. Tujuan ini adalah supaya mereka rasa puas hati bila berunding dengan kita,
  • Peruntukkan 1/2 bulan untuk kadar sewa untuk bulan pertama, terutama sekali kalau dah masuk minggu ke-2,
  • Peruntukkan untuk kurangkan deposit kepada 1 bulan deposit dan deposit utiliti kepada 1/2 bulan saja,
  • Cat semula atau buat touch up rumah sewa supaya nampak baru dan gantikan perabot yang lama atau yang dah rosak,
  • Tukar barangan eletrik seperti kipas dan lampu supaya nampak esklusif dan up-to-date,
  • Sediakan table top dan kabinet dapur, atau lain-lain.

Kata kunci dekat sini adalah untuk memudahkan urusan bakal penyewa.

Banyak lagi pilihan yang kita boleh fikirkan. Tok kongsikan apa yang selalu Tuan Jamal gunakan. Bukan gunakan semua, tapi gunakan mana yang perlu saja.

Kalau kawasan rumah korang terletak dalam kawasan kategori hot, tak perlu pun gunakan pilihan dekat atas tadi.

#4: Gunakan ‘magnet penarik’ dalam iklan yang anda buat

Nak cepat-cepat dapatkan penyewa? Korang kena la masukkan elemen iklan seperti menjual produk yang lain.

Ayat iklan pulak, tak perlu tulis banyak-banyak. Hanya perlu masukkan poin yang penting dan yang diperlukan saja.

Antara tip yang yang selalu digunakan adalah:

A) Masukkan gambar yang perlu saja

Tak perlu pun masukkan semua gambar yang korang ada. Hanya perlu letakkan gambar yang bakal penyewa nak tengok saja.

Contohnya bentuk bangunan, ruang tamu, bilik tidur, dapur, taman permainan, gim, dan kolam renang.

Boleh jugak kalau nak sertakan sekali gambar tandas, untuk tunjuk yang kawasan itu bersih. Kalau tandas bersih, confirm kawasan lain dalam rumah pun turut sama bersih. Elakkan letak gambar yang bersaiz kecil dan kurang jelas.

B) Gunakan ayat ‘magnet penarik’

Selalunya, Tuan Jamal akan letak seperti ini:

“WhatsApp/SMS Jamal (Tuan Rumah) – No. Telefon XXX – XXXXXXX”

Tujuan buat macam ni, supaya bakal penyewa rasa selesa untuk berhubung dengan kita. Tak semua bakal penyewa selesa berurusan dengan ejen.

Antara ayat tarikan yang korang boleh gunakan pula, seperti:

“Hanya perlu bayar deposit 1 bulan”

Korang boleh pelbagaikan ayat tarikan ini, supaya bakal penyewa senang tertarik untuk menyewa rumah korang tu.

C) Gunakan bahasa yang betul dan elok belaka

Kalau target penyewa Melayu dan beragama Islam, gunakan bahasa Melayu supaya bakal penyewa tak rasa kekok untuk hubungi korang.

D) Letak iklan di tempat yang betul

Biasanya, ramai yang akan gunakan mudah.my. Tapi yang paling berkesan adalah tampal iklan kat papan notis (notice board) dalam kawasan pangsapuri. Boleh jugak kalau nak letak dekat papan notis 7-Eleven yang berdekatan.

#5: Sentiasa fokus pada cabaran dan kehendak bakal penyewa

Elak tumpukan perbincangan (semasa proses rundingan sedang berlaku) kepada harga sewa rumah, tapi lebihkan perhatian korang kat kemudahan dan lokasi penyewa.

Kepada yang bekerja, fokus pada jalan alternatif yang boleh digunakan untuk pergi kerja. Korang juga perlu jawab secara jujur.

Contohnya kalau penyewa tanya jalan selalu sesak (traffic jam) atau tak, jawab saja dengan jujur. Kalau betul sesak, pastikan korang bagitahu jalan alternatif yang boleh mereka gunakan.

Sama jugak kalau mereka (bakal penyewa) yang dah berkeluarga. Fokus pada pusat asuhan yang berdekatan dan cadangkan dekat mana yang bagus.

Pendek kata, kerja korang adalah untuk pastikan bakal penyewa tahu apa kelebihan yang bakal mereka terima bila masuk menyewa rumah korang tu.

Bila dah buat semua ini, baru korang boleh bincangkan hal kadar sewa dengan mereka. Baru korang boleh gunakan cadangan yang ada dalam poin sebelum ini (poin No. #4).

Antaranya:

  • Kalau bakal penyewa korang baru berkahwin atau baru dapat bayi, korang boleh berikan 1 bulan deposit saja atau kurangkan deposit utiliti,
  • Kalau mereka baru dapat kerja atau baru berpindah ke situ, korang boleh berikan setengah bulan sewa untuk bulan pertama,
  • Sebab mereka bekerja sehingga lewat pagi, korang boleh pilih untuk bayarkan penyelenggaraan (maintenance), caj sekuriti, disposal fee, deposit tempat letak kereta dan sebagainya,
  • Ini yang paling famous dan selalu Tuan Jamal gunakan. Kalau bayar sewa mahal sikit, hanya perlu bayar deposit 1 bulan. Dan kalau nak bayar sewa murah, kena bayar deposit rumah 2 bulan.

Elakkan bagi banyak sangat diskaun. Kalau mereka dah hubungi korang, bermakna mereka mampu nak bayar kadar sewa yang korang tetapkan. Cuma mereka nak mencuba berunding untuk dapatkan kadar sewa yang lebih murah.

Bagi Tok, poin No. #1 tadi sangat penting. Memang betul pun. Secara asasnya, korang memang nak jual produk pun.

Cuma, produk yang dimaksudkan adalah rumah yang korang nak sewakan. Tak gitu?

Apa-apa pun, Tok ucapkan selamat berjaya. Tok doakan supaya korang dapat sewakan rumah korang laju-laju. Ameen.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *