PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

3 Cerita yang bagi anda insaf untuk berhutang. Cerita ketiga paling epik.

Artikel ini Tok baca daripada The Star. Semoga ia dapat ketuk kepala otak kita semua tentang pengurusan kewangan.

Banyak iktibar dan pengajaran yang kita boleh ambil daripada kisah ini.

Kak Semah (Bukan nama sebenar) merupakan seorang wanita yang gersang pada barang-barang mewah. Kasut mahal, baju mahal, coli mahal, barang kemas yang mahal, semuanya nak yang mahal-mahal.

Tapi penyakit ini tidak seimbang dengan kemampuan kewangannya.

Bahasa sarkastiknya,

“Gaji Makcik Azwani ciput tapi nafsu belanjanya mengalahkan Godzilla.”

Cerita Kak Semah yang gersang untuk nampak mewah.

Ini juga merupakan satu daripada faktor utama kenapa beliau bercerai dengan suaminya.

Cerita tak habis lagi.

Selepas bercerai, Kak Semah pun berhenti kerja dan “berimpian” untuk menjana pendapatan mewah menerusi bisnes MLM (multi-level marketing).

Impian sekadar impian.

Namun nafsu dan penyakit berbelanja mewah beliau masih lagi terus berleluasa. Sehingga Kak Semah  mempunyai hutang sebanyak RM70,000.

Cuba teka apa keputusan yang beliau buat selepas dapat tahu nilai hutangnya yang terlalu banyak?

Kak Semah cuba bunuh diri, tetapi gagal.

Akhir sekali beliau masuk ke dalam Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), iaitu agensi yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia, untuk membantu individu menguruskan duit mereka dengan bijak.

Penjawat awam yang tertipu dengan janji bisnes MLM palsu.

Ada satu lagi cerita menarik yang mengandungi pengajaran bermakna.

Seorang penjawat awam yang mahu dikenali sebagai Alice (bukan nama sebenar) menggunakan sebahagian besar gajinya untuk menampung perbelanjaan keluarga.

Gajinya hanya RM2,000. Macam biasa, Alice tidak mampu untuk simpan duit gajinya kerana kos perbelanjaan keluarganya terlalu tinggi.

Lebih teruk, beliau terpengaruh dengan satu syarikat MLM yang menjual minyak pati, dan dijanjikan dengan potensi pendapatan sebanyak RM5,000.

Disebabkan terlalu ghairah dengan janji palsu itu, Alice sanggup melaburkan duit sebanyak RM41,000 ke dalam syarikat itu.

Keputusan paling bodoh adalah apabila beliau mohon pinjaman peribadi untuk masuk ke dalam skim MLM itu.

Bulan pertama, nampak seronok. Alice dapat RM8,000.

Itu yang menyebabkan beliau rasa yakin dan akhirnya beliau memohon lagi pinjaman peribadi sebanyak RM19,000 untuk dilaburkan dalam skim cepat lingkup ini.

Alice sanggup berhenti kerja untuk buat “bisnes MLM” ini secara sepenuh masa. Namun akhirnya syarikat itu terpaksa tutup, duitnya gagal dapat balik, dan paling menyedihkan, beliau mempunyai hutang yang banyak.

Al-kisah Teh yang cuba mengorat gadis idaman dengan berhutang RM77,000.

Akhir sekali adalah cerita individu yang mahu dikenali sebagai Teh (bukan nama sebenar, malah tidak ada kena mengena dengan minuman teh).

Teh merupakan seorang pembantu di kedai perabut dan memperoleh gaji sebanyak RM1,500. Beliau duduk dengan kedua-dua ibu bapanya.

Tragedi hitam berlaku apabila Teh mula minat pada seorang wanita.

Dalam usaha memikat wanita itu, beliau tak sengaja buat keputusan yang paling bodoh dalam hidupnya.

Teh beli sebuah kereta berharga RM77,000. 100% pinjaman dengan kos ansuran sebanyak RM835 sebulan selama 9 tahun.

Gajinya cuma RM1,500. Ini bermakna, 60% daripada nilai gajinya digunakan untuk bayar ansuran bulanan kereta.

Tragedi hitam bertambah kelam apabila gajinya tidak dibayar tepat pada masa, oleh kerana syarikat tempat kerjanya mengalami kelembapan bisnes.

Cuba teka apa yang berlaku?

1) Kereta itu dijual dan dilelong dengan harga RM29,000.

2) Aweknya berambus dan pergi tinggalkan dirinya jauh-jauh (dasar perempuan materialistik).

Namun nasibnya agak baik kerana selepas itu beliau dapat kerja baru di Johor Bharu dengan gaji RM2,000 sebulan.

3 Tindakan kurang bijak yang boleh menempah binasa dalam hidup anda hampir selamanya.

Ketiga-tiga cerita yang Tok kongsikan ini mengandungi iktibar dan pengajaran, berdasarkan jalan cerita masing-masing.

Mungkin ada di antara kita yang mengalami masalah atau situasi yang sama. Atau mungkin ada di antara pembaca blog Tok ini ada impian untuk buat satu daripada tindakan kurang bijak seperti berikut:

1) Buat pinjaman peribadi untuk sertai MLM yang merepek dan bagi janji palsu.

2) Beli kereta mewah untuk dapat perhatian gadis idaman.

3) Gersang mahu pakai barang mewah, dalam masa sama sedar yang diri tak mampu.

Tolong belajar daripada 3 kisah yang Tok kongsikan ini.Tolong, tolong, tolong. Jangan kerana mahu nampak mewah di mata orang lain, kita menempah maut dengan berhutang macam orang gila.

Kesemua tiga individu di atas kini berada di bawah pemantauan agensi AKPK.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *