PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

10 perkara pelabur hartanah newbie wajib amal. Tip No. #8 jamin pelaburan anda sentiasa buat untung

Takde siapa yang nak rugi bila melabur. Dah tentu kita mahu buat untung, walaupun sikit.

Macam yang Warren Buffett pernah cakap:

“RULE NO.1 IN INVESTING IS NEVER LOSE MONEY. RULE NO.2 IS, NEVER FORGET RULE NO.1.”

Matt Faircloth daripada BiggerPockets.com ada kongsikan 10 rukun pelaburan yang wajib setiap pelabur amal, kalau tak mahu rugi teruk. 

Baca dan amalkan ilmu yang baik ni ya.

Rukun #1: Mulakan dengan hasil yang kita mahu capai

Semasa mahu mula melabur, kita boleh kaji dulu bagaimana hendak mencapai objektif yang dituju.

Rangka soalan seperti berikut bagi merangka objektif pelaburan yang baik:

1) Adakah kita mahu sewakan kepada orang?

2) Atau kita mahu beli dan flipping (jual)?

3) Apakah jenis ubah suai rumah yang korang nak buat?

4) Berapakah bajet yang korang letak untuk ubah suai rumah?

5) Apakah harga jualan yang korang akan letak bila nak jual rumah?

6) Berapakah jumlah sewa bulanan yang korang nak dapatkan?

7) Berapakah aliran tunai (cash flow) yang korang mahukan untuk setiap pelaburan?

Kalau tak tetapkan objektif yang cukup jelas, kita akan mudah terlepas pandang kepada setiap masalah yang ada.

Takde siapa yang sanggup buang masa berharga dan akhirnya, tak dapat pulangan yang baik.

Lebih teruk lagi, peratus untuk rugi adalah tinggi.

Rukun #2: Fokus pada satu perkara dalam satu masa

Agak mudah untuk hilang fokus dalam bidang ini.

Kawan Faircloth gelarkan golongan ini sebagai chasing shiny nickels (mereka yang terlalu asyik kejar keuntungan yang belum pasti).

Tok tak nafikan, ada banyak peluang untuk buat banyak duit di luar sana. Ada peluang yang benar-benar menguji dan menggoda para pelabur, dek potensi pulangan yang menarik.

Namun, tak semua akan berikan pulangan seperti janji-janji manis yang ditabur. Kebanyakan masa, ia menghampakan kita.

Lebih baik kita fokus buat satu perkara dalam satu masa. Ada banyak kes seperti ini yang berlaku.

Adalah bagus belajar daripada pengalaman buruk orang lain, supaya kita tak ulang balik kesilapan tu.

Rukun #3: Sentiasa utamakan pelaburan jangka masa panjang

Ada banyak strategi untuk dapatkan pulangan pelaburan berganda dalam masa yang singkat.

Tak salah pun buat untung. Tapi tak digalakkan korang buat sebab ia tak membina kekayaan untuk jangka masa panjang.

Pelabur yang bagus akan tumpukan perhatian kepada strategi pelaburan yang mereka gunakan.

Tak bermakna mereka tak suka kepada pelaburan jangka masa singkat. Dah tentu mereka tak suka ambil mudah kepada setiap peluang yang ada.

Cuma, mereka lebih suka fokus kepada pelaburan yang boleh kaut untung untuk jangka masa panjang.

Ini sebab golongan ini akan tetapkan fokus untuk kukuhkan keuntungan dalam masa panjang, walaupun ia sekadar untung yang kecil pada permulaannya.

Kata kunci untuk perkara ini adalah sabar. Kalau bersabar, macam-macam perkara baik boleh jadi.

Rukun #4: Jangan mudah mengaku kalah dengan emosi

Faircloth juga mengaku, beliau kerap kalah dalam hal mengawal emosi.

Beliau dengan jelas membuktikan yang pengaruh emosi amat besar dalam kehidupan seharian manusia.

Faircloth nasihatkan supaya belajar strategi dan cara bagi mengawal emosi secara efisyen. Sebab emosi yang tak betul akan mengganggu kita buat keputusan yang jelas dan baik.

Dah tentu kita tak nak menyesal dengan keputusan yang kita dah buat kemudian hari.

Berikan perhatian kepada jenis emosi seperti:

1) Takut,

2) Marah,

3) Tamak,

4) Teruja,

5) Putus asa.

Emosi seperti ini akan berikan kesan masa kita nak buat sesuatu keputusan yang tepat. Kalau sedang beremosi, ambil masa seketika dan tarik nafas panjang sebelum apa-apa.

Teknik simpel ini bertindak menyalurkan leibh banyak oksigen ke otak kita supaya dapat berfikir dengan lebih jelas.

Rukun #5: Mula berjinak-jinak dengan nombor

Bidang pelaburan hartanah memang berkait rapat dengan nombor. Jadi, tak salah untuk katakan nombor sebagai makanan ruji dalam industri ini.

Jelas sekali matematik memainkan peranan penting dalam dunia pelaburan hartanah. Bahkan lain-lain bentuk pelaburan yang ada di muka bumi ni.

Tok galakkan korang menimba ilmu hisab (matematik) sebagai persediaan awal sebelum bergiat aktif dalam bidang ini.

Tak pernah rugikan korang pun kalau belajar. Bahkan ini akan jadikan kita lebih peka dan buat segala kajian secara logik.

Takde siapa yang suka berjudi dengan nasib semata-mata. Ilmu ini akan buat kita lebih berhati-hati dan mengawasi gerak-geri pelaburan dengan munasabah serta lebih jelas.

Rukun #6: Tetapkan gaya fikir (mindset) positif

Lumrah dunia pelaburan. Ada masa kita dapat capai puncak. Ada masa muka tersembam ke tanah.

Kerap kali kita akan salahkan diri sendiri apabila mengalami kerugian. Tapi hakikatnya, ia bukanlah 100% berpunca daripada kita.

Dan ini perkara normal berlaku yang kerap berlaku dalam dunia pelaburan.

Anggap dunia pelaburan sebagai refleksi kehidupan sebenar kita di dunia ini. Tak logik untuk katakan kehidupan seharian kita tak pernah ditimpa masalah, kan?

Perkara ini jelas membuktikan pentingnya mentaliti yang sihat, supaya kita sentiasa jalankan kehidupan seperti tiada hari esok.

Fokus kepada objektif yang mahu dicapai dan cari jalan penyelesaian secara kreatif untuk selesaikan sesuatu masalah.

Teruskan usaha sehingga berjaya capai matlamat kita. Sikap suka berputus asa tak akan jadikan kita insan yang lebih baik pada masa depan.

Rukun #7: Tergopoh-gapah – Sikap yang menjamin pelaburan anda susah buat untung

Ada pengajaran yang berharga daripada pepatah melayu ini:

“YANG DIKEJAR TAK DAPAT, YANG DIKENDONG JATUH BERCICIRAN.”

Adalah perkara biasa. Bila dah berjaya dapatkan beberapa pencapaian dalam pelaburan, akan timbul rasa tak sabar untuk tingkatkan taraf pelaburan kita secepat mungkin.

Selalunya, perkara ini tertumpu kepada aspek keuntungan yang boleh dijana daripada setiap pelaburan yang dibuat.

Kemajuan itu bagus. Cuma ia perlu dikawal dengan baik.

Kebanyakan pelabur kerap melangkaui kapasiti kemampuan mereka sebab tak sabar dan terlalu tergopoh-gapah. Mereka fikir, semua benda mereka mampu buat.

Adalah bagus melabur bagi mengukuhkan infrastruktur pelaburan demi kesenangan masa hadapan.

Lebih banyak kita melabur kepada kapasiti perniagaan atau pelaburan, lebih baik. Kalau tak, ada kemungkinan pelaburan atau bisnes kita tinggi potensinya untuk melingkup.

Rukun #8: Sentiasa buru tawaran baik yang ada dalam pasaran

Ada kemungkinan besar, kita akan ambil tawaran yang “biasa-biasa” kalau takde peluang lain. Tapi kalau ada pilihan, dah pasti kita akan pilih tawaran yang “terbaik.”

Dah pasti terdapat beza yang ketara antara tawaran “biasa-biasa” dan tawaran “terbaik.”

Pelaburan “biasa-biasa” yang Tok maksudkan merujuk kepada peluang yang tak menepati ciri-ciri keuntungan yang kita mahukan.

Tambahan pula, ia jauh lebih berisiko berbanding biasa.

Kalau ada sebarang masalah semasa uruskan pelaburan ini, peratus terjerumus ke dalam masalah lebih besar adalah tinggi. Tok jamin korang tak mahu perkara ni berlaku.

Bagus untuk sentiasa sediakan diri menghadapi segala kemungkinan yang bakal datang.

Antara strategi terbaik yang korang boleh gunakan adalah meneliti setiap tawaran dan menguruskan risiko yang ada.

Rukun #9: Bantu ringankan beban pelabur yang lain

Ini adalah asas ilmu networking 101.

Sentiasa ringankan tangan bantu pelabur lain dengan ambil tahu perkara atau objektif yang mereka mahu capai.

Dan bertambah ohsem kalau kita boleh membantu mereka hingga berjaya capai objektif yang mereka mahukan.

Dengar macam senang je nak buat, kan? Tapi yang buat Tok sedih, tak ramai yang amalkan perkara ni.

Walaupun kita baru libatkan diri dalam sesuatu industri, pasti ada perkara yang kita boleh tambah nilai kepada kehidupan orang lain.

Dah tentu ini akan buatkan si penerima menghargai segala usaha dan jasa kita.

Dengan komited memberikan nilai serta bantu pelabur lain capai objektif mereka, ia akan beri impak positif kepada bisnes korang sendiri.

Pada masa yang sama, ini akan membina kepercayaan dan kukuhkan hubungan bersama pelabur lain.

Rukun #10: Berguru dengan mentor yang ada kredibiliti

Mentor adalah orang yang dah hadapi perjalanan yang kita sedang lalui.

Mereka juga adalah orang yang sudah berada di tempat yang kita mahu berada, dan boleh bantu kita capai objektif yang kita mahukan.

Setiap orang pasti ada mentor dalam hidup mereka. Tak kira secara sedar atau tak sedar.

Mereka bagaikan seorang guru yang pegang rotan di tangan, dan tunggu masa melibas agar kita tak lari daripada objektif asal.

Mereka juga boleh jadi orang yang bakar semangat sewaktu kita tengah down.

Jangan terkejut kalau kita lebih cepat berjaya dengan adanya bantuan mentor. Kejayaan akan lebih mudah dicapai dengan adanya bantuan dan tunjuk ajar daripada mereka.

Hubungan antara mentor dan murid boleh ditingkatkan menjadi rakan kongsi. Sentiasa jaga hubungan baik dengan mereka.

Tak mustahil akan ada peluang besar dan rezeki yang tak disangka-sangka untuk kita.

Amalkan rukun-rukun ini sebelum melabur (dan elak duit pelaburan anda lebur)

Ilmu ini tidak terhad kepada mereka yang sudah lama melibatkan diri dalam dunia pelaburan.

Semua orang sesuai guna, tak kira bagi yang langsung takde pengalaman, atau yang sudah bergelar ‘otai’ dalam industri.

Yang pasti, ia akan bantu kita capai objektif yang selama ini kita impikan.

Amalkan nasihat Warren Buffett di perenggan pertama artikel ni dan berusaha sebaik mungkin.

Tok doakan yang terbaik untuk korang semua.

Tak nak terlepas info dan tips terkini berkaitan hartanah dan kewangan? Tok nak ajak korang join Channel Telegram rasmi Gilahartanah. Klik gambar untuk join.

[KLIK GAMBAR SEKARANG]

Jom join Channel Telegram rasmi GilaHartanah.
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *