PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) – Takde slip gaji? Wajib baca ini


Berita baik buat korang yang bergaji kecil ataupun bergaji tak tetap namun nak beli rumah, ni Tok nak kongsikan satu skim yang menarik bagi korang.

Walaupun korang bergaji bersih RM1,000 sebulan, korang boleh beli rumah di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP).

Pemohon yang tiada slip gaji seperti nelayan, petani, operator kilang, peniaga kecil, pemandu teksi dan pekerja am boleh menikmati kelebihan skim ini dan berpeluang memiliki rumah pertama berharga maksimum RM300,000.

Maklumat Skim Jaminan Kredit Perumahan ni Tok dapat melalui Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad. Jom hadamkan sama-sama.

Tentang SJKP

Kerajaan Malaysia, dalam pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan (2008) di Dewan Rakyat pada 7 September 2007, sedar akan kesukaran yang dialami mereka yang tidak berpendapatan tetap, seperti petani dan peniaga kecil, dalam mendapatkan kemudahan kewangan bagi membeli rumah kediaman mereka.


Bagi mengatasi kesukaran tersebut, kerajaan telah menubuhkan Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP Berhad) bagi menjamin kemudahan kewangan yang akan diberikan oleh institusi-institusi kewangan yang turut terlibat dalam skim ini.


Para pemohon pembiayaan mestilah mempunyai keupayaan untuk membayar balik pembiayaan perumahan meskipun mereka tiada bukti pendapatan bulanan. SJKP Berhad ditubuhkan sebagai sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan, Diperbadankan pada 6 Disember 2007.


SJKP Berhad telah melantik Prokhas Sdn Bhd (sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan, Diperbadankan) bagi menguruskan operasi hariannya.


Syarat Kelayakan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) 

  • Warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas
  • Berpendapatan tidak tetap seperti peniaga kecil, petani, pemandu teksi, nelayan dll atau berpendapatan tetap (tertakluk kepada RM200.0 juta yang pertama sahaja). Pinjaman bersama dibenarkan.
  • Pembelian kali pertama rumah kediaman kos rendah / sederhana / mampu milik dan untuk didiami.
  • Pembelian rumah kediaman baru/didalam pembinaan atau sedia ada atau lelongan.
  • Pendapatan purata kasar minima RM1,000 sebulan.
  • Mesti bermastautin di dalam lingkungan 20km daripada cawangan institusi kewangan tempat permohonan dibuat.
  • Pembayaran bulanan kesemua pinjaman < 65% daripada pendapatan kasar.
  • Rekod tunggakan CCRIS < 2 bulan bagi tempoh 12 bulan terkini.
  • Tiada rekod-rekod negatif lain bagi tempoh 24 bulan terkini.

Terma dan syarat pembiayaan 

Jumlah pembiayaan 

  • Sehingga 100% daripada harga pembelian tertakluk kepada pembiayaan maksima RM300,000.00 (termasuk MRTA/MRTT)

Jenis pembiayaan 

  • Pembiayaan berjangka saja. 

Tempoh 

  • Sehingga 35 tahun atau usia pemohon 65 tahun, mana-mana yang terdahulu

Kadar faedah 

  • Kadar Pinjaman Asas (BLR) / Kadar Pembiayaan Asas (BFR) institusi-institusi kewangan yang menawarkan pinjaman

MRTA / MRTT

  • Wajib 

Lain – lain 

  • Deposit mandatori bersamaan dengan 3 bulan bayaran bulanan

Proses permohonan

Proses permohonan / pendaftaran skim perumahan SJKP adalah seperti berikut:

  1. Mengenalpasti rumah yang ingin dibeli dan mendapatkan dokumen berkaitan seperti draf perjanjian jual beli / resit bayaran tempahan.
  2. Dapatkan surat pengesahan pendapatan daripada individu yang dibenarkan (Pegawai Kerajaan Kategori A, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Penghulu atau wakil yang terpilih). Surat itu hendaklah menyatakan nama, nombor kad pengenalan, sumber pendapatan, purata pendapatan bulanan, tempat perniagaan dan tempoh berniaga. Sila dapatkan dua surat berasingan sekiranya kedua-dua suami dan isteri mempunyai sumber pendapatan berasingan. Untuk kakitangan bergaji, sila bawakan penyata gaji dan penyata EPF.
  3. Menyediakan dokumen sokongan sumber pendapatan seperti penyata akaun simpanan, Lesen Perniagaan, Kad Pendaftaran Nelayan atau rumah geran tanah (untuk aktiviti pertanian) atau lain-lain dokumen sokongan aktiviti jual beli.
  4. Sila bawa semua dokumen yang dinyatakan dan mohonlah pembiayaan perumahan dimana-mana cawangan institusi-institusi kewangan yang terdekat yang menyertai skim jaminan ini.

Institusi kewangan yang terlibat 

Antara institusi kewangan yang terlibat ialah:

  • Affin Bank
  • Affin Islamic
  • Agro Bank
  • Alliance Bank
  • Alliance Islamic Bank
  • AmBank Group
  • AmIslamic Bank
  • Bank Islam
  • BSN
  • Bank Rakyat
  • Hong Leong Bank
  • Hong Leong Islamic Bank
  • Maybank
  • Maybank Islamic
  • Bank Muamalat

Permohonan mestilah dibuat di mana-mana cawangan institusi-institusi kewangan yang turut serta dalam skim ini dan bukan secara terus ke pejabat SJKP Berhad.


Skim Jaminan Kredit Perumahan hanya sah untuk pembelian rumah kos rendah dan sederhana, sama ada sedang dibina atau telah siap, rumah sedia ada daripada penjual atau lelongan.


SJKP tidak menjamin pembiayaan perumahan untuk pembinaan rumah di atas tanah sendiri.

Sekiranya anda masih mempunyai sebarang persoalan tentang skim ini, anda boleh hubungi  talian 03-2096 5000 atau “klik di sini“.

Macam mana? Dah faham tentang skim ni?

Tok harap dengan perkongsian ini mampu membuat korang bersemangat untuk memiliki rumah pertama. Kalau korang layak untuk memohon skim ni dan memang sedang mencari rumah pertama, silakan guna peluang keemasan ini.

Tok doakan agar pembaca GilaHartanah mampu memiliki rumah pertama tahun 2020 ini.

Nak beli rumah bukannya terus boleh main beli. Perlukan ilmu dan faham hartanah yang macam mana nak beli. Tak boleh main terjun je beli hartanah. Nanti tersalah jalan, boleh pening bertahun – tahun lamanya. Tak salah pun menyewa. Kita sendiri tahu kemampuan kewangan kita.

Sebagai penyewa, kita haruslah tahu apa hak – hak kita sebagai penyewa dan juga macam mana nak untung dengan menyewa.

Ebook terbaru GilaHartanah ini adalah PERCUMA buat masa yang terhad! Jom dapatkan sekarang. Klik gambar di bawah sekarang kalau anda nak dapat ebook ini.

[KLIK GAMBAR SEKARANG]

ebook terbaru GH

Comments are closed