Kuala Lumpur, 5 Oktober – Menjelang Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan pada 29 Oktober 2021, PropertyGuru Malaysia, peneraju laman web hartanah di Malaysia, mempunyai beberapa senarai harapan yang ingin kami cadangkan kepada pihak kerajaan bagi terus menyokong pertumbuhan dan pemulihan sektor hartanah.
Oleh kerana Malaysia sedang menuju ke arah pemulihan negara, Belanjawan 2022 harus bertujuan menjadikan pemilikan rumah lebih mudah bagi golongan B40 dan M40. Ini kerana, walaupun lebih daripada 4 dari 5 rakyat Malaysia berhasrat untuk membeli hartanah di Malaysia pada masa akan datang, harga hartanah yang tinggi menjadi penghalang utama bagi pencari rumah, menurut Kajian Sentimen Pengguna H2 2021 PropertyGuru.
Meskipun kerajaan telah memperkenalkan pelbagai bantuan kewangan untuk membantu pemilik hartanah Malaysia dan menyokong sektor hartanah, kajian yang sama mendapati bahawa 84% rakyat Malaysia percaya lebih banyak usaha boleh dilakukan oleh kerajaan untuk menjadikan perumahan lebih mampu milik, dan 58% mahu kerajaan memperluaskan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) ke hartanah sekunder.
HOC telah membantu ramai pembeli rumah kali pertama membeli hartanah dalam beberapa tahun ini dan berjaya mendorong aktiviti di pasaran hartanah yang perlahan. Kami berharap agar kerajaan bukan sahaja melanjutkan HOC hingga ke tahun depan, tetapi juga memperluaskan insentif yang ditawarkan di bawah kempen ini ke pasaran kediaman sekunder.
Berdasarkan analisis terkini dari cabang analisis dan penyelesaian data kami, PropertyGuru DataSense, pasaran hartanah sekunder telah berkembang dengan stabil sejak beberapa tahun lepas. Sungguhpun pandemik jelas memberi impak terhadap jumlah keseluruhan urus niaga hartanah, ia nampaknya telah meningkatkan populariti transaksi hartanah sekunder sepanjang tahun 2020 dan 2021.
Oleh itu, jika HOC diperluaskan ke pasaran sekunder, ia akan memberikan pengaruh besar bagi pasaran perumahan dan mendorong lebih banyak pembeli rumah kali pertama untuk mempertimbangkan hartanah sekunder, terutamanya kerana pengecualian duti setem dapat membantu mengurangkan kos awal yang berkaitan dengan pembelian rumah.
Selain memberi sokongan kepada pembeli rumah pertama, perlu juga ada usaha bagi membantu mereka yang berjuang mengekalkan kediaman mereka semasa pandemik melanda. Kami menghargai inisiatif kerajaan yang memberikan pengecualian sewa kepada golongan yang terjejas dan memanjangkan tempoh moratorium pembayaran sewa bagi Projek Perumahan Rakyat (PPR) sebagai sebahagian daripada agenda kesejahteraan Keluarga Malaysia berkaitan perumahan.
Namun, lebih banyak yang dapat dilakukan untuk mereka dalam golongan B40 dan M40. Kami menggesa kerajaan supaya mempertimbangkan untuk memberikan pelepasan cukai pendapatan ke atas faedah terkumpul dari pinjaman perumahan setelah moratorium berakhir, kerana ia akan membantu meringankan beban isi rumah yang memerlukan.
Selain itu, kami percaya wajar juga untuk meringankan beban mereka yang terpaksa menjual kediaman mereka dalam masa yang sukar ini. Kami berharap agar kerajaan melanjutkan pengecualian CHKT tahun depan atau menurunkannya sementara rakyat Malaysia dan pasaran hartanah masih dalam proses pemulihan.
Perlanjutan berikut akan membantu meringankan beban pemilik rumah, jika tidak, CHKT mungkin menjadi beban tambahan kepada isi rumah yang terpaksa menjual rumah mereka bagi meneruskan kelangsungan hidup. Di samping itu, ia dapat merangsang pasaran hartanah dengan mendorong aktiviti jual beli hartanah kediaman.
Kami juga berharap agar kerajaan dapat memperkenalkan insentif sewa yang dapat memberi manfaat kepada penyewa dan tuan rumah. Sebagai contoh, kerajaan New South Wales di Australia memperkenalkan insentif kewangan yang boleh dituntut oleh tuan rumah yang memberikan pengurangan sewa kepada penyewa yang terkesan oleh COVID-19. Inisiatif yang serupa boleh dilaksanakan di Malaysia untuk membantu penyewa yang kehilangan punca pendapatan akibat pandemik dan tidak dapat membayar sewa mereka buat sementara waktu.
Insentif ini juga dapat membantu tuan rumah dari segi kewangan, jadi mereka tidak perlu menjual hartanah atau mengusir penyewa yang mungkin menyebabkan masalah kehilangan tempat tinggal.
Walaupun penting bagi Belanjawan 2022 untuk menangani cabaran semasa yang dihadapi oleh rakyat Malaysia dan sektor hartanah, kita tidak boleh melupakan agenda jangka panjang yang sama pentingnya untuk mempromosikan kehidupan bandar yang lestari. Sebagai sebuah syarikat yang komited terhadap kelestarian dan menangani perubahan iklim, ianya amat mengujakan untuk melihat pentadbiran sekarang komited dalam mengutamakan pembangunan bandar yang hijau dan berdaya tahan berdasarkan Rancangan Malaysia Ke-12, dan kami berharap bahawa keutamaan ini juga tercermin dalam belanjawan negara.
Lebih banyak insentif diperlukan untuk memacu pembangunan hijau di negara ini dan mendorong pemaju untuk menggunakan peralatan dengan pensijilan hijau yang diakreditasi, seperti Indeks Bangunan Hijau (GBI) dan Alat Pengurangan Karbon dan Kelestarian Alam Sekitar Malaysia (MyCREST) semasa tempoh operasi dan pembinaan projek pembangunan.
Kerajaan harus memberikan pengurangan cukai tambahan bagi bangunan yang diiktiraf sebagai bangunan hijau, supaya pemaju dapat memperoleh keuntungan dari pemotongan cukai pendapatan yang setara dengan perbelanjaan modal tambahan yang diperlukan untuk mendapatkan persijilan hijau.
Dari sudut pandangan pengguna, menurut dapatan Kajian Sentimen Pengguna H2 2021 PropertyGuru, lebih dari 9 dari 10 rakyat Malaysia meletakkan kepentingan terhadap gaya hidup lestari. Kajian itu juga mendapati bahawa 71% rakyat Malaysia menganggap penggunaan bahan lestari oleh pemaju adalah penting bagi mereka.
Namun, kerana kos pembinaan bangunan hijau biasanya lebih tinggi daripada pembinaan bangunan tradisional, walaupun perbezaan kos akan dapat ditanggung dalam jangka panjang, ia boleh menjadi penghalang pembeli untuk membeli rumah lestari. Oleh itu, kerajaan juga boleh mempertimbangkan untuk memberikan pengecualian duti setem bagi pembeli rumah yang membeli hartanah dengan pensijilan hijau untuk mendorong permintaan tersebut.
Di PropertyGuru, kami sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan pihak kerajaan dan menyediakan tinjauan yang boleh membantu dalam membuat keputusan yang tepat serta dapat membantu mendorong pemulihan yang sihat dan pertumbuhan pasaran hartanah negara yang mampan.
Kenyataan ini perlu dikreditkan kepada Sheldon Fernandez, Pengurus Negara, PropertyGuru Malaysia
###
Mengenai PropertyGuru
PropertyGuru adalah peneraju laman web hartanah di Malaysia, dengan lebih 500,000 pilihan kediaman dan 5 juta kunjungan setiap bulan. Diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai ‘Laman Web Hartanah Terbesar’ dan dipilih sebagai ‘Jenama Utama dalam Carian Hartanah Dalam Talian’ oleh pencari rumah, PropertyGuru adalah destinasi pilihan utama rakyat Malaysia untuk mencari rumah idaman mereka. Syarikat adalah sebahagian daripada PropertyGuru Group, peneraju syarikat teknologi hartanah di Asia Tenggara.