PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

Hartanah 2017 – Nak beli ke nak menyewa? Forum PropertyGuru dedah apa yang patut orang muda buat

KUALA LUMPUR, 1 DISEMBER 2016 – Satu panel penceramah dan pakar hartanah telah memeriahkan Forum Ramalan Pasaran Hartanah PropertyGuru 2017 baru-baru ini.

Mereka merungkai pelbagai isu dan keadaan pasaran hartanah dalam keadaan ekonomi negara yang mencabar, forum kali ini menawarkan pelbagai pandangan bernas tentang prospek pasaran hartanah Malaysia pada tahun 2017.

Laporan Tinjauan Hartanah PropertyGuru 2017 juga dibentangkan pada hari tersebut dan dapat dimuat turun sepenuhnya dengan klik di sini.

Panel untuk Forum Ramalan Pasaran Hartanah PropertyGuru 2017 merangkumi Pengarah Urusan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Dato’ Charon Mokhzani, Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Seri FD Iskandar dan Pengarah Eksekutif Jones Lang Wootton, Prem Kumar.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SMART Financing, Gary Chua dan Pengarah Bersama CHUR Associates, Chris Tan juga turut serta dalam forum kali ini. Sesi perbincangan tersebut dikelolakan oleh Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez.

Kenal pasti ketelusan harga melalui Indeks Harga Hartanah PropertyGuru

Sumber gambar: PropertyGuru

Sumber gambar: PropertyGuru

Selain isu-isu pasaran hartanah, semua ahli panel turut berkongsi pandangan jujur tentang Bajet 2017 dan kesannya terhadap ekonomi dan sektor hartanah di Malaysia.

Mereka turut membincangkan perkembangan dunia yang telah menjejaskan nilai ringgit Malaysia (RM).

Antara aktiviti kemuncak dalam acara tersebut termasuk pelancaran Indeks Harga Hartanah PropertyGuru.

Indeks ini berupaya mengesan harga hartanah Malaysia yang ditawarkan sekali gus menawarkan ketelusan harga yang lebih baik dari segi lokasi, saiz dan jenis unit (rumah atau kediaman bertingkat), pegangan bebas atau pegangan pajak dan sebagainya kepada golongan pembeli rumah.

Bagi 2017, Indeks Harga Hartanah PropertyGuru mendapati harga hartanah yang ditawarkan telah menyusut.

Harga purata rumah yang ditawarkan pada pertengahan 2015 adalah RM586 kaki persegi manakala senario tersebut dilihat berubah kepada RM554 kaki persegi pada pertengahan 2016.

Tanpa faktor sokongan yang banyak, keadaan pasaran hartanah 2017 juga dijangka berdepan dengan kemerosotan berikutan aneka isu utama.

Ramal kemerosotan harga sebanyak RM35 hingga RM40 setiap kaki persegi

Ini termasuk isu ketidakmampuan membeli rumah, permohonan pinjaman perumahan yang berdepan dengan risiko tinggi tidak diluluskan dan isu ekonomi makro seperti kenaikan kos sara hidup dan kurang peningkatan dari segi gaji.

Malah, indeks tersebut juga meramalkan kemerosotan harga yang berterusan sebanyak RM35 sehingga RM40 kaki persegi pada tahun 2017.

Keadaan ini amat ketara bagi kediaman bertingkat khasnya segmen-segmen tertentu yang berdepan dengan lebihan tawaran di pasaran.

Harga rumah dalam lingkungan RM500,000 sehingga RM700,000 pula berkemungkinan besar berdepan dengan penolakan permohonan pinjaman berikutan kelembapan jualan rumah.

“Berdasarkan data terkumpul yang diperoleh daripada sejumlah statistik rasmi dan Indeks Harga Hartanah PropertyGuru, pasaran hartanah dijangka akan terus lembap pada tahun 2017.”

“Kekurangan permintaan biarpun dengan kebanjiran pelbagai projek pembangunan baharu di pasaran pada tahun hadapan juga bakal menyaksikan kemerosotan dari segi harga jualan rumah.”

“Para pemilik rumah juga dilihat lebih cenderung menjual unit mereka secepat mungkin ekoran kurangnya kuasa pemegangan yang dihadapi,” dedah Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez.

Perkembangan positif  dan bakal mengubah pasaran hartanah 2017

Meskipun pasaran hartanah banyak dipengaruhi oleh pelbagai faktor, sesetengah hartanah tertentu khususnya rumah (atas tanah) yang terletak di lokasi strategik mungkin mampu mengekalkan nilai sedia ada atau menyaksikan sedikit kenaikan harga hartanah mereka.

Pasaran hartanah dijangka akan terus menyerlah dari segi pasaran sewa.

Pasaran sewa dijangka akan terus kukuh berikutan peningkatan golongan anak muda dan pembeli rumah kali pertama yang lebih cenderung beralih ke pasaran sewa bagi mendapatkan kediaman sementara dan terus berjimat untuk rumah impian masing-masing.

Sesetengah lokasi tertentu yang menawarkan kediaman sewa berharga mewah mungkin dijangka akan mengalami penurunan sewa ekoran beberapa faktor luaran.

Antaranya termasuk kemerosotan dalam industri gas dan minyak baru-baru ini. Ini sekali gus mendesak pehijrahan golongan ekspatriat yang turut menjurus kepada lambakan unit kosong di pusat bandar.

Para pemaju juga dilihat lebih cenderung untuk membina unit studio/SOHO di pusat bandar dan kawasan urban lain demi memenuhi bajet golongan pembeli rumah pertama dan Generasi Y.

Pemaju dijangka akan mengekalkan harga hartanah di bawah atau dalam lingkungan RM300,000 hingga RM500,000 dengan saiz unit berkeluasan antara 450 kaki persegi hingga 850 kaki persegi.

Sementara itu, Lembaga Hartanah dan Perumahan Selangor (LPHS) telah menetapkan harga RM230,000 untuk hartanah jenis SOHO/SOVO/SOFO mampu milik manakala apartmen servis pula ditawarkan pada harga RM270,000.

Saiz bagi semua unit ini adalah sekitar 450 kaki persegi hingga 550 kaki persegi. Menurut Indeks Harga Hartanah PropertyGuru, ini bererti perolehan kasar untuk setiap isi rumah bagi tahun 2015 adalah RM6,075 sebulan.

Pembangunan Berasaskan Transit (TOD) – Bakal pemangkin pasaran hartanah

Bagi memulihkan keadaan pasaran hartanah sedia ada, dijangka kemunculan projek-projek TOD akan merupakan satu faktor pemangkin pasaran.

Projek-projek TOD ini menawarkan pengguna keselesaan dari segi kemudahan mengakses stesen-stesen MRT, LRT atau monorel secara terus atau di lokasi berdekatan bagi memacu momentum dalam sektor hartanah tempatan.

Konsep TOD ini ternyata akan menjadi satu faktor penting yang menyaksikan pembangunan tujuh projek Pembangunan Berasaskan Transit (TOD) di Selangor dalam tempoh empat tahun akan datang oleh Syarikat Prasarana sahaja.

Pembinaan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) pula dijangka bermula pada 2018 dan projek HSR seumpama itu antara Malaysia dan Bangkok juga mula kedengaran.

Kemunculan projek-projek TOD juga dijangka menjadi penanda aras bagi pembangunan hartanah bersepadu pada masa hadapan, sekali gus mengubah gaya kehidupan, corak pekerjaan serta cara rakyat Malaysia bergerak dari satu lokasi ke lokasi seterusnya.

Keadaan ini juga mungkin memberi kesan kepada mana-mana projek pembangunan hartanah yang dikhususkan untuk golongan berpendapatan sederhana untuk beralih kepada konsep TOD demi mengekalkan minat pembeli.

Laluan MRT pertama dijangka akan mula beroperasi menjelang penghujung 2016. Harga kediaman yang terletak dalam lingkungan radius 1km dari stesen MRT turut dijangka akan meningkat dan memperoleh pulangan sewa yang lebih baik.

Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang sejauh 51km akan menghubungkan bahagian Utara dan Selatan Greater KL dan bakal membawa 400,000 penumpang sehari.

“Seperti tahun 2016, keadaan pasaran hartanah akan terus mencabar dari segi permintaan dan bekalan. Namun, kami percaya semua cabaran ini dapat diatasi menerusi strategi yang tepat.”

“Bagi mereka yang ingin mendapatkan ketelusan perbandingan harga hartanah, Indeks Harga Hartanah PropertyGuru merupakan tempat terbaik untuk anda mendapatkan nilai pasaran sebenar,” tambah Fernandez lagi.


[Sumber berita asal: PropertyGuru]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *