PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

Agenda Hartanah Tak Masuk Akal Dalam RMKe-12 dan Ini Alternatifnya

Sebanyak 47,000 unit hartanah telah dilancarkan sepanjang tahun 2020 dimana lebih rendah berbanding tahun 2019 iaitu 60,000 unit.

Hal ini sedikit bercanggah dengan apa yang dibentang dalam RMKe-12 baru-baru ini. Berikut beberapa perkara hal hartanah yang tak masuk akal dalam RMKe12 dan Tuan Faizul Ridzuan ada berikan alternatif yang mungkin boleh diambil kira semasa sesi temubual bersama Ebiz Malaysia.

Sasaran jumlah unit rumah baru yang terlalu tinggi

Dalam pembentangan RMKe-12 baru-baru ini, YB Perdana Menteri mengatakan sebanyak 500,000 unit rumah mampu milik akan dibina sehingga 2025. Jika kita buat kiraan mudah, 100,000 unit setahun bukan?

Sedangkan pada tahun 2020, hanya 47,000 unit baru dilancarkan (1)

Walaubagaimanapun, hal ini boleh tercapai jika pihak kerajaan bekerjasama rapat dengan pihak pemaju swasta yang kerjanya fokus dalam hal pembinaan. Berbanding jika pihak kerajaan sendiri yang uruskan perkara ini, kemungkinan kurang efektif kerana ada perkara lain perlu diprioritikan dalam waktu kritikal ini seperti pemulihan peluang pekerjaan rakyat.

Peruntukan RM2.25 bilion untuk pembinaan atau baik pulih rumah 85,000 unit rumah

Kita sambut baik atas inisiatif kerajaan untuk bantu golongan miskin melalui peruntukan ini. Namun, jika kita buat kira-kira mudah, RM2.25 bilion bahagi dengan 85,000 unit bersamaan lebih kurang RM27,000 per unit. Logik jika untuk baik pulih sahaja tetapi agak mustahil untuk pembinaan unit rumah yang baru.

Perinciannya kita tidak tahu, ada kemungkinan mendapat subsidi dari pihak lain dan sebagainya. Meskipun begitu, jika inisiatif ini betul-betul terlaksana, kita harapkan pihak kerajaan untuk perketatkan lagi dari sudut kawalan harga rumah yang disubsidikan. Ini termasuk rumah-rumah yang termasuk dalam skim bantuan kerajaan seperti Skim Rumah Mampu Milik. 

Kita tidak mahu berlaku manipulasi harga bagi rumah-rumah seperti ini. Maklumlah, kos pemilikannya murah namun ada sesetengah pihak yang ambil kesempatan untuk jual rumah tersebut ikut harga pasaran semasa seterusnya menjana keuntungan yang melampau.

Tambah baik skim perumahan untuk M40 & B40

Skim seperti Rumah Mampu Milik, Skim Perumahan Belia dan Program Rent-to-Own sebenarnya bukan benda baru. Ideanya bagus tapi culas dari segi pelaksanaannya kerana tidak dapat kerjasama yang baik daripada pihak berkaitan seperti bank.

Kita sedia maklum bahawa skim-skim seperti ini sebenarnya boleh mendatangkan risiko kepada pihak bank terutama sekali bagi bank-bank yang kecil. 

Seperti mana yang Tuan Faizul Ridzuan kongsikan, mungkin kita boleh gunakan pendekatan yang lebih kurang sama seperti Tabung Haji. Konsepnya sama, cuma matlamat pergi haji itu tadi ditukar sahaja kepada deposit rumah, contohnya.

Atau lebih tepat adalah tambah baik profil kewangan terutama sekali golongan muda. 

Mengambilkira cabaran pandemik yang menyaksikan ramai pihak yang terkesan dari segi pekerjaan juga pendapatan termasuk golongan M40 tergelincir kepada B40, pemilikan rumah bukan adalah bukan prioriti mereka.

Perkara yang perlu diberi perhatian untuk mereka adalah soal survival dan taraf hidup yang lebih baik. Dengan perbaiki pendapatan dan peluang pekerjaan mereka, secara tidak langsungkan kita dapat tingkatkan pendapatan isi rumah.

Dengan ini, harga sesebuah rumah itu tidak lagi menjadi masalah jika seiring dengan kenaikan pendapatan isi rumah. Ya, perkara ini pahit untuk kita telan tapi inilah realitinya.

Satu lagi realiti yang kita nampak hari ini adalah harga rumah semakin mahal dan semestinya yang mampu beli hanyalah orang-orang kaya seperti golongan T20. Jika perkara ini tidak dibendung, jurang kekayaan semakin melebar.

Oleh itu, Tuan Faizul Ridzuan memberi pandangan untuk ambil pendekatan negara maju seperti Jerman dimana golongan T20 diberi insentif cukai jika memberi sewa kepada golongan B40 contohnya pada kadar mampu sewa. Dengan ini, kerajaan tidak perlu pening kepala untuk bina perumahan mampu milik semata-mata untuk tingkatkan kualiti hidup rakyat.

Seperti Menteri Kewangan, Tengku Zafrul katakan, terdapat 29,565 unit rumah tidak terjual pada tahun 2020 yang bernilai RM18.92 bilion. (2) Kita boleh gambarkan situasi menang-menang jika insentif cukai itu tadi diperkenalkan dalam masa yang sama golongan sederhana-miskin tetap menerima suasana rumah yang selesa pada kadar yang berpadanan.

Comments are closed