PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

6 lagi impak penurunan OPR yang pasti anda suka nak tahu

Alhamdulillah, ramai yang dah baca artikel yang Tok kongsikan pada hari Isnin lepas pasal topik ni (klik sini kalau korang belum baca lagi).

Tok harap ia bermanfaat buat korang.

Cuma, ramai yang nak tahu lebih mendalam pasal kesan penurunan OPR kat pelaburan hartanah, ASB, dan juga simpanan Tabung Haji.

Jadi, Tok nak sahut soalan ini supaya korang bertambah jelas. Baru korang tak teragak-agak nak gunakan kelebihan ini, setuju?

Jom baca perkongsian Cikpuan Mangalesri Chandran ini sekarang, kalau korang serius nak tahu.

Apakah maksud OPR (Overnight Policy Rate)?

Overnight Policy Rate (atau Kadar Dasar Semalaman) adalah kadar faedah yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia.

Ia adalah kadar yang dikenakan oleh bank yang berikan pinjaman dekat bank yang meminjam sejumlah dana (duit).

Duit yang ada dalam sesebuah bank boleh jadi bertambah atau berkurang setiap hari, bergantung pada aktiviti seperti pengeluaran atau deposit oleh pelanggan.

Nak mudah faham, bank akan pinjamkan sebanyak mungkin kepada pelanggan setiap hari. Sebab ini adalah salah satu cara bank buat duit.

Dan bila dah tamat waktu operasi, ada bank yang mempunyai lebihan atau kekurangan duit dalam simpanan mereka.

Bank pula perlu memastikan jumlah tertentu dikekalkan dan disimpan dalam bank setiap hari.

Bila terjadi antara 2 situasi ni, bank (yang tak cukup duit) terpaksa meminjam sejumlah duit untuk satu tempoh masa (semalaman).

Mereka akan meminjam daripada bank lain (yang mempunyai lebihan dana) atau dekat BNM sendiri.

Dan pembiayaan ini akan dikenakan Kadar Faedah Semalaman (OPR) yang telah ditetapkan oleh BNM. Semua ini bagi memastikan sistem perbankan kekal stabil.

OPR hanya dikenakan dekat institusi kewangan, dan bukan dekat pelanggan (kita).

Pengurangan kadar OPR akan memberi kesan dekat kos pinjaman antara bank, yang akhirnya akan menjurus kepada kesan berangkai.

Sejarah penurunan kadar OPR negara kita

Tahun ini, OPR dikurangkan menjadi 3% daripada 3.25%, dengan pengurangan 25 mata asas.

Dan ini adalah pengurangan pertama dalam tempoh 7 tahun (yang dibuat pada tahun 2009, masa ekonomi negara tengah gawat).

Tahun 2009, kadar OPR merekodkan kadar terendah sebanyak 2% dan telah dinaikkan sekali lagi pada tahun 2010 menjadi 2.75%.

Pada tahun 2011 pula, kadar itu meningkat lagi menjadi 3% dan kekal hingga tahun 2013. Dan 2014 hingga 2015, ia meningkat kepada 3.25%.

Sebelum 2009, kadar OPR mencatatkan paras tertinggi dalam sejarah (8.25%).

Ini berlaku pada tahun 1998 semasa kemelesetan ekonomi, dan jatuh secara drastik pada tahun 1999 kepada 3.25%.

Sementara itu, kadar siling dan kadar lantai koridor bagi OPR masing-masing dikurangkan kepada 3.25% dan 2.75%.

Apa sebab pengurangan ini dibuat?

Sebab utama adalah ketidaktentuan pasaran global, yang dilihat boleh berikan impak negatif dekat negara kita.

Ini boleh dikaitkan secara langsung dengan Brexit (United Kingdom keluar daripada Kesatuan Eropah).

Brexit meletakkan pasaran global dalam bahaya, dan BNM terpaksa mengambil tindakan yang perlu untuk melindungi negara kita daripada ancaman risiko luaran.

Menjawab soalan anda – Apakah kesan penurunan OPR pada kita?

Perubahan OPR akan mempengaruhi perkara penting yang lain, yang berikan kesan secara langsung kepada rakyat biasa macam kita.

Tindakan ini dibuat supaya rakyat dapat survive dalam menghadapi kos sara hidup yang tinggi.

Ini termasuk faedah pinjaman (loan interest), faedah simpanan tetap (fixed deposit interest), faedah simpanan (savings interest), dan lain-lain.

Selain mengurangkan beban rakyat, langkah ini juga akan berikan rangsangan kepada ekonomi negara kita.

Bawah ini antara perkara yang akan terkesan:

#1: Langkah mengurangkan inflasi

Pengurangan OPR diramal akan mengurangkan inflasi negara tahun ini.

Sebelum ini, ramalan inflasi ditetapkan antara 2.5% hingga 3.5%. Dan kini, ia diubah semula menjadi 2% hingga 3%.

Pengurangan ini hanya berikan impak yang kecil dalam usaha mengelakkan inflasi.

#2: Pengurangan Base Rate (BR) dan Base Lending Rate (BLR)

Perubahan ini secara langsung akan mempengaruhi kadar pinjaman, dimana bank akan menyesuaikan kadar pinjaman mereka pada kuantum yang sama.

Contohnya, pembeli akan melihat pengurangan dalam pembayaran bulanan kalau bank mengurangkan Kadar Asas (BR) sebanyak 0.25%.

Ini akan meningkatkan kapasiti perbelanjaan kita.

Selepas pengumuman rasmi penurunan OPR, Maybank mengurangkan kadar faedah sebanyak 20 mata asas.

Manakala BR semasa (3.20%) dikurangkan menjadi 3%, dan BLR semasa (6.65%) dikurangkan menjadi 6.65%.

CIMB Bank juga mengurangkan mata asas yang sama seperti Maybank (20 mata asas).

BR dikurangkan menjadi 3.90% daripada 4.10%, dan BLR pula berubah kepada 6.75% daripada 6.95%.

Dengan ini, kadar faedah untuk pinjaman kadar terapung yang sedia ada (existing floating rate) akan diselaraskan secara wajar. Bermakna, pinjaman baru akan mengikut kadar yang baru ditukar.

Hasilnya, peminjam akan membayar pinjaman gadai janji yang lebih rendah berbanding sebelum ini.

Dan kalau kadar ini dikekalkan, simpanan mereka akan menjadi lebih tinggi untuk jangka masa panjang.

#3: Kesan dekat simpanan dan fixed deposit

Potongan OPR bukan satu berita baik buat mereka yang mempunyai simpanan yang tinggi dan juga simpanan tetap.

Sebab faedah ke atas akaun-akaun ini juga akan berkurang.

Penyimpan akan mendapat faedah yang lebih rendah berbanding sebelum ini, sebab bank akan kurangkan kadar faedah kepada 20 hingga 25 mata asas.

Senang cerita, korang tak banyak buat untung.

Nota penting: Antara alternatif yang boleh korang buat adalah menyimpan dalam Tabung Haji atau ASB. Dua instrumen ini tak terkesan dek penurunan OPR.

#4: Kesan dekat pinjaman lain

Pinjaman lain seperti pinjaman sewa beli (hire purchase loan), pinjaman peribadi dan juga kad kredit akan turut sama terkesan dengan penurunan OPR.

Ini sebab bank akan kurangkan kadar faedah pada kadar segera (bila BNM dah umumkan penurunan OPR secara rasmi).

Kadar pengurangan ini pula berbeza, bergantung kat setiap bank yang ada. Dan yang pasti, orang ramai akan mendapat manfaat daripada pengurangan ini.

#5: Impak dekat Real Estate Investment Trust (REIT)

Amanah pelaburan hartanah Malaysia akan turut mengalami peningkatan berikutan penurunan OPR.

Sebab pelabur juga dapat menikmati pembayaran faedah yang lebih rendah.

Potongan ini menjamin simpanan yang lebih banyak, dan juga pendapatan boleh-guna (disposable income) yang lebih besar dikalangan pelabur.

Ini akan meningkatkan keuntungan pelaburan mereka.

#6: Akan kukuhkan Ringgit Malaysia

Selepas pengumuman rasmi Bank Negara Malaysia pasal penurunan OPR, mata wang negara menunjukkan peningkatan berbanding banyak mata wang utama yang lain di dunia.

RM dilihat kukuh berbanding US Dollar, Singapore Dollar, Yen, dan juga Pound Sterling.

Siapa yang tak suka kadar OPR turun?

Penurunan ini tak berikan faedah dekat institusi kewangan sebab ia akan menambah lebih banyak tekanan kepada bank.

Tapi, pengurangan ini dilihat masih lagi dapat dikawal oleh bank-bank tertentu seperti Maybank, AmBank, dan Affin Holding.

Ini sebab pinjaman berkadar tetap (fixed rate loans) mereka meliputi hampir 30% daripada portfolio pinjaman mereka.

Dan yang paling jelas, orang awam akan dapat menikmati pelbagai manfaat daripada penurunan ini.

Menurut beberapa pandangan pakar, penuruan OPR boleh jadi sia-sia kalau seseorang itu tak ada kemahiran pengurusan kewangan yang baik.

Tabiat berbelanja yang keterlaluan juga boleh jadi hal, walaupun kadat OPR diturunkan.

Ada kemungkinan, BNM dijangka akan turunkan lagi kadar ini pada masa akan datang. Kita tunggu dan lihat sama-sama nanti ya.

Adakah korang semakin jelas dengan kesan OPR?

Cuma, tak guna OPR turun rendah mana sekalipun kalau korang sendiri masih tak mahir uruskan duit dengan baik (macam yang dah dijelaskan kat atas tadi).

Rugi kalau kita bazirkan peluang yang baik ini.

Tak nak terlepas info dan tips terkini berkaitan hartanah dan kewangan? Tok nak ajak korang join Channel Telegram rasmi Gilahartanah. Klik gambar untuk join.

Jom join Channel Telegram rasmi GilaHartanah.
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *