PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

4 faktor yang buatkan nilai hartanah semakin menggila

Harga hartanah yang semakin meroket buat semakin ramai orang bimbang.

Harga yang semakin menggila ini jadi masalah besar kepada mereka yang ada niat nak beli hartanah.

Apakah faktor yang buatkan nilai hartanah semakin meningkat naik?

Tok nak kongsikan pandangan Tok lepas baca artikel di LoanStreet.com pasal topik ini.

Ada 4 faktor yang mempengaruhi nilai hartanah semasa:

Faktor #1: Perbandingan antara leasehold dan freehold.

Ramai yang lebih suka beli hartanah freehold berbanding leasehold. 

Sebab milikan hartanah jenis freehold kekal bersama dengan nama pemilik yang beli hartanah itu.

Dan ia tak ada had masa (seperti leasehold), melainkan hartanah itu ditukar milik kepada orang lain.

Hartanah jenis leasehold pula adalah aset tetap yang mempunyai had masa maksimum selama 99 tahun.

Habis tempoh masa ini, kerajaan akan ambil balik hartanah itu. Atau, kita boleh bayar fi untuk kekal duduk di hartanah itu.

Berikut adalah formula kiraan premium sesebuah hartanah (tak termasuk bangunan di atas tanah itu), menurut Seksyen 7 bertajuk “Premium” Hartanah Selangor 2003:

  • Premium: 1/4 X 1/100 X nilai pasaran semasa hartanah untuk setiap kaki persegi (sq.ft) X jumlah tahun yang nak diperbaharui X keluasan hartanah dalam ukuran kaki persegi (sq.ft)

Contoh situasi: 

Ada sebuah hartanah seluas 4000 kaki persegi (sq.ft) di Damansara, dengan tempoh 20 tahun dalam pajakan. Ia bernilai RM150 untuk satu kaki persegi (per sq.ft).

Yuran pembaharuan pajakan akan dikira seperti berikut:

  • 1/4 X 1/100 X 150 (per sq.ft) X (99-20) X 4000 sq.ft = RM 118,500.00 

Harga hartanah freehold mungkin berlainan jika dibandingkan dengan hartanah jenis leasehold.

Ia mungkin boleh jadi lebih mahal atau lebih murah, bergantung kepada situasi.

Tapi, hartanah freehold lebih baik untuk kita miliki. Ia jauh lebih baik dari sudut peningkatan nilai jangka masa panjang, disebabkan oleh jumlah bayaran pajakan yang lebih besar.

Faktor #2: Lokasi hartanah.

Ada beberapa faktor yang menjadikan lokasi hartanah baik daripada segi nilai, dan ia bergantung kepada keperluan individu. Antaranya:

  • Jarak hartanah dengan sekolah, tempat kerja, dan pusat beli-belah. 

Kalau dekat dengan tempat-tempat ini, nilai hartanah boleh jadi lebih tinggi.

Pemilik atau penyewa ada akses ke tempat-tempat ini dengan mudah.

Kalau ada pusat beli-belah seperti supermarket atau hypermarket, ia akan jadi sebab nilai sesebuah hartanah itu meningkat.

  • Ada kemudahan sekuriti yang menjamin keselamatan komuniti. 

Hakikat tentang kadar jenayah di Malaysia semakin meningkat sukar untuk kita pandang ringan.

Hartanah yang lengkap dengan sekuriti sudah jadi keperluan oleh pembeli hartanah masa kini.

Bawah ini antara kemudahan sekuriti yang boleh tingkatkan nilai hartanah:

  1. dilengkapi dengan pagar dan dinding perimeter,
  2. pak guard,
  3. CCTV, atau lain-lain yang berkaitan sekuriti.

Harga premium boleh dimasukkan sekali, jika komuniti di kawasan hartanah ini ada sekuriti yang jamin keselamatan penduduk.

  • Persekitaran semulajadi yang aman damai.

Usaha meningkatkan kawasan urban adalah sebab utama kawasan semulajadi semakin tinggal sedikit.

Ramai yang memilih untuk tinggal di kawasan semulajadi, dengan lanskap natural yang berikan ketenangan minda kepada pemilik atau penyewa.

Kos penyelenggaraan oleh pihak pemaju jadi faktor utama harga hartanah seperti ini agak mahal berbanding yang lain.

Faktor #3: Akses yang mudah ke merata tempat, serta fasiliti yang lengkap.

Akses kepada kemudahan awam menjadi keperluan utama bagi golongan yang tak ada kenderaan sendiri.

Kemudahan seperti stesyen bas atau teksi, LRT, atau MRT dalam jarak berjalan kaki boleh tambah nilai hartanah.

Tapi, kalau rumah terlalu dekat dengan kemudahan awam ini, ia akan berikan masalah kepada pembeli atau penyewa.

Tak ada siapa yang suka duduk di kawasan yang padat dengan orang ramai, bising dan ada kemungkinan aktiviti jenayah kecil untuk berlaku.

Hartanah yang dekat dengan lebuhraya juga boleh beri impak kepada secara mendadak kepada nilai rumah di kawasan itu.

Kita boleh sahaja lihat dan kaji kawasan perumahan yang dekat dengan lebuhraya, seperti LDP atau Kesas. Harga rumah di kawasan seperti ini lebih mahal berbanding kawasan lain.

Fasiliti seperti taman rekreasi, kolam renang, gym, atau sauna juga jadi faktor harga rumah sesuatu kawasan itu jadi tinggi.

Faktor #4: Potensi pembangunan di masa hadapan. 

Kawasan mewah yang ada kemungkinan tingkat-taraf daripada sudut pembangunan, akan dijual pada harga yang lebih tinggi.

Kita boleh lihat pengezonan semula tanah di kawasan Seksyen 13, Petaling Jaya sebagai contoh.

Dahulu, ia adalah kawasan perindustrian. Sekarang, ia telah ditukar menjadi kawasan komersial.

Perubahan ini beri impak kepada nilai hartanah di kawasan ini secara mendadak.

Kalau kita perhatikan sekarang, kawasan yang dekat dengan kemudahan MRT akan mengalami peningkatan tinggi dari sudut harga.

Kalau anda, nak beli hartanah yang mana?

Pada pandangan Tok, kalau ada peluang untuk beli hartanah freehold di tempat yang baik, ada kemudahan akses lebuhraya yang efisyen, dan ada potensi untuk dibangunkan pada masa hadapan, tak perlu tunggu lagi untuk beli hartanah jenis ini.

Peningkatan harga untuk hartanah jenis ini adalah lebih baik dan lebih konsisten.

Sebelum apa-apa, Tok nasihatkan supaya korang buat kajian secara terperinci dahulu sebelum buat sebarang keputusan membeli.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *