PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

Elakkan “terajar” anak anda tabiat buruk (dalam bab menguruskan kewangan) ini.

Ibu bapa mainkan peranan utama dalam mendidik anak-anak pasal hal kewangan.

Bila anak-anak ada skil ni, senang sikit hati mak ayah nak lepaskan. At least, kita dah tahu mereka boleh uruskan duit dengan baik.

Cuma ada sebilangan mak ayah yang tak perasan (secara tak sedar) mengajar anak tabiat buruk, yang dengan mudah boleh lingkupkan impian murni ni.

Nota Penting: Anak-anak sentiasa melihat dan belajar dari apa yang korang buat. Kalau teruskan buat tabiat buruk ni, tak mustahil kewangan anak korang akan ada masalah besar kemudian hari.

Cuba periksa, ada tak korang terbuat salah satu 5 tabiat buruk yang Tiffany Rowe kongsikan ni? Kalau ada, ubah sekarang demi masa depan kewangan anak-anak korang.

#1: Guna kad kredit depan anak-anak

Zaman sekarang, boleh kata dah jarang orang gunakan tunai sebagai alat transaksi. Duit macam dah jadi satu benda yang “kuno”, tak ikut peredaran masa.

Kan lebih senang bayar semua benda pakai kad kredit? Cuma swipe saja, dah settle. Tambahan pula, nampak lebih segak bergaya.

Kalau terbiasa buat perkara ni, anak-anak akan menganggap korang boleh berbelanja tanpa sebarang had. Asalkan ada kad plastik ajaib tu, dah boleh beli apa saja yang kita suka. Budak-budak, mana la nak tahu apa.

Tak patut pasakkan tanggapan ni dalam minda anak kita. Dan selagi kita tak ajar, mereka tak akan tahu. Bantu mereka fahamkan yang duit tak akan tumbuh macam bunga. Kita kena bekerja untuk dapatkan duit.

Dan satu lagi. Mulakan guna tunai untuk setiap pembelian yang korang buat. Tak kisah apa pun barang yang korang beli.

Pada masa yang sama, ajar anak-anak yang duit akan berkurang setiap kali beli sesuatu. Logik mudah ini akan membantu mereka buat keputusan yang lebih bijak pada masa akan datang.

Bertambah bagus kalau ajar anak fahamkan cara kad kredit berfungsi. Biar mereka tahu, kad kredit adalah sekadar pinjaman sementara. Dan kita kena bayar balik beserta kadar faedah yang bank kenakan.

#2: Suka buat pembelian tak dirancang

Pernah tak korang main ambil je barang yang ada kat depan mata, dan bayar kat kaunter tanpa rasa bersalah (padahal, duit tak banyak mana pun)?

Padahal, korang tak perlukan barang tu pun sebenarnya. Korang tak risau ke tabiat ni berjangkit kat anak korang nanti?

Jadikan diri korang sebagai contoh terbaik untuk anak-anak ikut. Mulakan dengan belajar bezakan kemahuan dan keperluan, dan sentiasa ikut bajet yang dah ditetapkan setiap bulan.

Dan paling best, senang nak cakap “NO” setiap kali anak minta belikan mainan baru. Sebab korang sendiri amalkan apa yang korang ajar. Kita tak nak jadi macam “ketam yang nak ajar anaknya berjalan lurus.”

Kalau dah tau tak boleh nak control perbelanjaan dengan baik, berikan tempoh 24 jam sebelum buat sesuatu keputusan membeli.

Kalau dah puas berfikir dan ia benda yang perlu, tak salah untuk korang beli. Kalau tak penting, korang mungkin akan terlupa pasal benda tu. Dah tentu duit korang selamat daripada hangus bila jadi macam ni.

#3: Tak pernah buat bajet perbelanjaan

Ramai juga keluarga yang tak dedahkan hal ini kat anak mereka.

Anak korang tak perlu tahu setiap perincian bil perbelanjaan isi rumah. Cukup sekadar mereka faham yang ada had yang kita boleh belanjakan dan kepentingan berbelanja mengikut kemampuan.

Sentiasa ceritakan pasal bajet dan setiap bil yang kita kena bayar kat anak-anak. Ini supaya mereka sedar kat komitmen yang akan mereka hadapi dan cara uruskan hal ini dengan baik.

Korang juga boleh buat latihan yang bantu pemahaman anak-anak. Boleh saja tugaskan mereka membeli barangan runcit sebagai permulaan.

Ajar mereka untuk sediakan senarai barang yang nak dibeli, cara bezakan harga yang terbaik, dan buat keputusan membeli yang bijak. Ini antara ilmu kewangan yang wajib anak korang tahu.

#4: Gunakan isu “kemampuan” sebagai alasan

Apa yang korang jawab bila anak-anak minta mainan yang mahal?

Mungkin korang akan cakap “tak boleh”, beserta alasan yang korang tak mampu nak beli mainan tu.

Walaupun korang benar-benar tak mampu, ramai pakar kewangan tak galakkan guna alasan ini.

Ada satu kajian buktikan, yang anak-anak tak percaya kat ibu bapa mereka. Dan statement seperti ni akan berikan kesan yang tak elok kat mereka.

Baik lagi korang berterus-terang kat mereka, dan masukkan perbualan pasal duit yang menyentuh isu prioriti.

Bagi anak-anak kita faham yang tak semua benda kita boleh beli sesuka hati, dan kongsikan kebaikan menyimpan dan penyediaan bajet yang baik.

Ada benda yang boleh dibeli sekarang, dan ada yang tak.

#5: Tak biarkan anak buat keputusan sendiri

Kesilapan adalah cikgu yang terbaik untuk seorang manusia.

Dan kita kena biarkan anak-anak buat kesilapan, supaya mereka dapat belajar dan wujudkan kebolehan untuk uruskan kewangan dengan baik.

Anak korang boleh belajar banyak perkara dengan cara ni. Mereka akan mula menimbang setiap yang perlu sebelum nak buat sesuatu pembelian, dan belajar cara buat bajet yang baik.

Kongsikan pengalaman korang kat mereka, supaya anak korang tak ulangi kesilapan yang sama untuk kali ke-2. Biarkan mereka tahu yang setiap keputusan pembelian, akan menutup peluang pembelian yang lain.

Ini akan mengajar mereka buat keputusan pembelian yang terbaik pada masa akan datang.

Bukan saja kita kena tumpukan perhatian kat asas kewangan semata-mata. Tapi kena tengok tabiat kita juga setiap masa.

Anak-anak sentiasa ambil contoh daripada ibu bapa. Kalau korang sendiri tak tunjukkan contoh yang baik, tak payah tanya Tok kenapa mereka gagal uruskan kewangan bila dah besar nanti.

Zaman anak-anak kita mungkin lebih sukar berbanding apa yang kita hadapi sekarang. Kalau tak sediakan mereka awal-awal, takut kewangan ke laut nanti. Simpanan satu habuk apa pun tak ada.

Tak nak terlepas info dan tips terkini berkaitan hartanah dan kewangan? Tok nak ajak korang join Channel Telegram rasmi Gilahartanah. Klik gambar untuk join.

[KLIK GAMBAR SEKARANG]

Jom join Channel Telegram rasmi GilaHartanah.
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *