PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA
simpan-duit

Baru 2, 3 bulan kerja nak mula simpan duit? Ini strategi yang anda boleh guna

Kita ni bila baru masuk kerja tak sampai setahun, memang rasa payah sikit nak buat bajet betul-betul, kan? Dapat bayar bil bulan-bulan tu dah mantap dah, tapi bab menyimpan tu, hmm….

Masa sekarang ni, ramai budak-budak muda yang Tok nampak struggle nak mula menyimpan atau buat bajet bulanan.

Iyalah, fahamlah sekarang ni semua benda pun dah naik harga. Barang dapur, sewa rumah, semua dah mahal, nak cari ruang simpan duit tu susah sikitlah. Tok faham benda tu.

Tak apa, cucu-cucu sekalian. Hari ini Tok nak kongsi tips simpan duit yang simple tapi bermanfaat untuk korang guna, walaupun korang baru mula kerja.

Tok dapat ilmu power ni dari blog Mint, harap korang boleh dapat sesuatu dari perkongsian ni.

Ia sebagai penentu berapa banyak yang kita boleh belanjakan, dan pada apa yang patut kita belanjakan.

Orang muda pasti suka gunakan strategi ini. Serius!

Mungkin korang tertanya-tanya apakah strategi yang Tok dok ratib dari tadi.

Nama strategi ini adalah “Bajet 50/20/30.‘” Mungkin korang pernah dengar kat mana-mana sebelum ini.

Dan paling syok, orang muda sesuai guna strategi ni. Tak kira gaji korang tinggi atau rendah.

Bajet 50/20/30 ini boleh membantu graduan yang baru mulakan kerjaya untuk mula menyusun kewangan peribadi mereka, yang sering kali dianggap rumit.

Cuma, ia dianggap rumit sebab kita tak tahu cara nak buat bajet. Bila dah tahu nanti, rumit tu boleh berubah jadi mudah. Setuju?

3 pecahan utama yang anda patut tahu pasal bajet ini

Bajet ni terbahagi kepada 3 pecahan:

  • 50% daripada pendapatan anda untuk belanja keperluan,
  • 20% daripada pendapatan anda untuk simpanan,
  • 30% daripada pendapatan anda untuk kegunaan peribadi.

simpan-duit

50% untuk keperluan? Tak banyak ke Tok?

Yang pertama sekali kita kena buat, adalah ketepikan separuh pendapatan untuk keperluan mutlak dalam hidup kita.

Mungkin ramai yang akan tanya macam ni:

“Kenapa tinggi sangat Tok? Tak membazir ke?”

Tok tak salahkan korang ada soalan macam ni. Pasal reaksi Tok pun sama je masa mula baca strategi ni dulu.

Bila kita agihkan setiap perbelanjaan yang berkaitan dengan kategori ini, baru kita akan nampak gambaran yang lebih jelas.

Perbelanjaan mutlak ni adalah perbelanjaan yang kita perlu jelaskan untuk terus hidup, tak kira dimana korang tinggal, jenis kerjaya korang, atau apa saja rancangan korang untuk masa depan.

Dan semua orang berkongsi perkara yang hampir sama, seperti:

  • Tempat tinggal,
  • Makanan (siapa yang boleh survive tanpa makanan?),
  • Pengangkutan (tol, duit minyak kenderaan, dan sebagainya),
  • Bil utiliti, atau lain-lain perkara yang berkaitan.

Pendek kata, kita perlukan 4 perkara atas ini untuk jalankan kehidupan seperti biasa.

Peratus ini juga, kita boleh adjust (sesuaikan) dengan kemampuan kewangan masing-masing. Bermakna, strategi si A mungkin tak sesuai untuk si B gunakan.

Dan ingat ya. Ia bergantung kepada jumlah keseluruhan yang setiap individu gunakan.

Contohnya, ada orang yang tinggal dekat kawasan yang sewa tinggi. Tapi mereka boleh berjalan kaki ke tempat kerja (jadi, kos pengangkutan dapat jimat banyak).

Ada pula orang yang memilih untuk tinggal kat rumah yang sewanya lebih rendah. Tapi, kena tanggung pula kos pengangkutan (tol, minyak, duit parking, dan macam-macam lagi).

Macam yang Tok cakap tadi, ia bergantung kat keupayaan kewangan dan situasi masing-masing.

Nota: Lagi banyak korang boleh jimatkan untuk perkara ini, lebih baik. Boleh korang salurkan lebihan duit tu ke dalam kategori yang ke-2 ini.

Simpan duit sebanyak 20% secara konsisten setiap bulan

Duit ini akan digunakan untuk pelan simpanan, menyelesaikan segala hutang-piutang, dan sebagai simpanan dana kecemasan korang (tak ada siapa yang tahu apa yang akan terjadi esok hari, kan?).

Ini ketegori yang korang perlu jelaskan, lepas dah selesaikan salurkan duit kat kategori yang pertama tadi tu. Selagi tak selesai yang pertama tadi, elakkan buat yang ini dulu.

Logiknya macam ni. Macam mana nak bergerak selagi perkara asas kita tak settle-kan dulu, betul?

Dan yang best, korang boleh langsaikan hutang yang ada dengan lebih cepat bila ada simpanan ini, dan bergerak lebih maju bagi mencapai matlamat kewangan masing-masing.

Terma “persaraan” mungkin tak berapa penting bagi mereka yang masih muda. Cuma yang pasti, ia akan menjadi satu desakan pada masa akan datang, kalau kita tak menyimpan dari awal.

Ada banyak instrumen kewangan yang boleh gandakan simpanan korang, berbanding sekadar menyimpan dalam fixed deposit.

Dan Tok yakin, mesti korang nak simpan duit dan pada masa yang sama, korang nak jugak gandakan duit tu jadi lebih banyak. Kalau korang betul-betul serius, boleh baca artikel yang Tok pos pada minggu lepas (klik sini).

Nota: Lagi banyak duit yang korang boleh salurkan untuk kategori ini, lebih ohsem. Simpan duit yang banyak kat tempat yang betul, dah tentu banyak simpanan yang korang boleh gandakan.

30% untuk perbelanjaan personal. Dan ini bukan lesen untuk anda berbelanja sebarangan

Kategori yang terakhir ini boleh membuat perbezaan yang ketara dalam bajet korang.

Ini adalah perbelanjaan yang tak perlu, bagi meningkatkan gaya hidup korang.

Ada sesetengah pakar kewangan yang menganggap kategori ni mengikut budi bicara tuan empunya badan.

Cuma, ramai orang muda masa kini terlalu terpengaruh dengan gaya hidup moden, dan jadikan ia sebagai mandatori. Ia wajib dipenuhi bagi sesetengah orang (Tok tak cakap semua orang ya).

Ia bergantung kat apa yang korang nak dalam kehidupan masing-masing, dan apa yang korang sanggup korbankan.

Perbelanjaan gaya hidup dan peribadi meliputi perkara seperti pelan smartphone, bil Astro atau UniFi, membeli-belah fesyen baju terbaru, atau sekadar melepak dengan kawan-kawan kat coffeeshop mahal.

Korang saja yang boleh tetapkan sesuatu perbelanjaan sebagai “perbelanjaan peribadi.” Dan 30% ini adalah jumlah maksimum yang korang boleh belanjakan untuk perkara ini.

Dan lebih banyak yang korang boleh korbankan untuk kurangkan perbelanjaan ini, lebih banyak kemajuan yang korang boleh dapatkan dalam membayar segala hutang-piutang, serta menjamin masa depan kewangan korang.

Nota: Korang sanggup berkorban dan ada duit lebihan lepas dah selesaikan perbelanjaan ni? Salurkan duit tu kat kategori yang ke-2 tadi.

Tabiat yang baik, pasti hasilnya baik-baik belaka

Tabiat baik yang kekal akan berikan impak yang positif dalam hidup. Dalam hal ni, kewangan korang pasti akan terkesan secara ohsem.

Sesiapa saja boleh gunakan strategi ini. Baik yang bergaji tinggi mahupun rendah.

Satu saja pesanan Tok. Elakkan mengambil kaedah ini secara terlalu literal. Sebab lain orang, lain masalahnya. Lain padang, lain belalangnya.

Strategi ini bertujuan menyediakan rangka kerja untuk memudahkan korang buat bajet.

Lepas dah semak pendapatan dan perbelanjaan korang, barulah korang boleh membuat bajet yang sesuai gunakan strategi ini. Semoga berjaya, Tok doakan.

Nota: Korang dah pernah buat bajet ni? Kongsikan pengalaman kat ruangkan komen supaya yang lain boleh serap manfaat baik ini bersama.

Kalau korang nak lebih banyak tips kewangan atau nak mula belajar pasal hartanah, Tok nak ajak korang datang seminar saudara Faizul Ridzuan ni. Kat sini banyak ilmu mahal yang dia akan ajar percuma je, tau!

Minat nak join? Tekan je gambar bawah ni untuk daftar.

[KLIK GAMBAR SEKARANG]

POSTER SUNDAY SESSION 3 930X180 1
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *