PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

5 tip urus duit secara efektif untuk pengantin baru

Tok nak ucapkan tahniah kat korang yang dah selesai bernikah. Alhamdulillah.

Dan ini bermakna, korang akan melangkah masuk ke alam baru.

Yang pasti, alam baru ni tak boleh main-main. Lagi-lagi bab berkaitan kewangan. Kalau salah urus, boleh bikin pening. Silap haribulan, ada kes bercerai-berai nanti dek penangan duit.

Tok nak kongsikan tip khas untuk korang. Supaya kewangan korang selepas kahwin dapat diuruskan dengan baik serta efisyen.

Tok baca tip tulisan Casey Slide ini kat blog Money Crashers. Semoga ia bermanfaat untuk bacaan hari Isnin korang ya.

Tip #1: Mula berbincang pasal kewangan masing-masing

Untuk pasangan yang dah lama kenal, mungkin perkara ini tak jadi masalah buat korang.

Bagi yang baru kenal, ajak pasangan untuk berbincang pasal kewangan dengan segera.

Masa ni, sila 100% jujur kalau korang ada sebarang hutang piutang.

Bagitahu kat pasangan korang supaya dia tahu jumlah tanggungan yang ada, dan korang boleh sama-sama merangka pelan tindakan untuk selesaikan masalah tu.

Korang juga boleh bagitahu pasangan tentang cara masing-masing uruskan duit. Kalau ada yang berbeza, cuba dapatkan persetujuan supaya kedua-dua pihak puas hati.

Ini satu contoh yang korang boleh gunakan. Kalau nak beli sesuatu barang yang bernilai lebih RM1,000, korang akan berbincang terlebih dulu sebelum buat keputusan membeli.

Selagi tak bawa berbincang, selagi tu tak boleh beli.

Ini salah satu contoh saja.

Yang penting, korang fahamkan apa yang pasangan nak dan harapkan dalam isu berkaitan pengurusan duit.

Ambil tahu cara pasangan korang uruskan duit, serta jangkaan (expectation) yang mereka harapkan daripada korang dalam bab kewangan.

Amalkan sikap mudah bertoleransi antara satu sama lain. Ini amat membantu.

Tip #2: Tulis matlamat kewangan anda dan pasangan dengan jelas

Dah selesai bagitahu pasangan pasal status semasa kewangan korang?

Tiba masa untuk berbincang pasal matlamat kewangan jangka panjang masing-masing.

Contohnya, korang/pasangan :

  • ada pelan nak bersara awal?
  • ada pelan nak langsaikan hutang cepat?
  • ada pelan nak jadi jutawan dalam masa X tahun?

Tulis matlamat korang dan pasangan korang secara spesifik. Kat sini, sebenarnya korang tengah nak sediakan diri untuk capai matlamat tu.

Abadikan matlamat ini atas kertas adalah langkah pertama yang korang akan buat.

Lepas tu, buat penilaian dari masa ke semasa pasal matlamat yang nak dicapai itu.

Apakah strategi yang anda/pasang boleh gunakan? Adakah ia logik untuk dicapai? Soalan seperti ini boleh bantu korang merangka pelan tindakan yang baik.

Tip #3: ‘Emergency fund’ – sediakan payung sebelum hujan

Kalau korang masih belum buat perkara ni, jadikan ia sebagai prioriti.

‘Emergency fund’ adalah duit yang disimpan untuk uruskan perkara kecemasan (jika berlaku).

Contohnya:

  • perlu bayar kos bengkel sebab kereta buat hal,
  • dibuang kerja,
  • pasangan masuk hospital,
  • rumah dilanda musibah banjir,
  • paip air rumah bocor, dan lain-lain yang berkaitan.

Pendek kata, simpanan ini akan bantu kita masa kita susah nanti.

Bencana berlaku tak kira masa. Yang terbaik kita boleh buat adalah dengan bersedia secara mental dan fizikal (duit).

Sebagai contoh, letak matlamat untuk simpan ’emergency fund’ ini kira-kira 6 bulan, berdasarkan jumlah perbelanjaan isi rumah korang setiap bulan.

Ini boleh kita selaraskan mengikut tahap ekonomi keluarga masing-masing. Belum tentu lagi strategi orang lain, sesuai untuk korang gunakan.

Tindakan ini sebagai persediaan untuk masa getir dan menjadi sekuriti kewangan famili korang.

Lebih baik beringat dulu sebelum terkena, kan?

Tip #4: Buat bajet perbelanjaan bulanan secara spesifik

Adalah bagus kalau korang boleh kawal perbelanjaan, supaya tak lebih daripada bajet yang dah ditentukan.

Bertambah-tambah bagus kalau korang tak tambah hutang untuk beli barang-barang yang tak patut.

Antara jenis bajet yang korang boleh buat adalah:

  • bajet untuk beli barang makan kat rumah,
  • bajet untuk berhibur (entertainment),
  • bajet untuk makan kat luar, dan yang sama waktu dengannya.

Kira dulu jumlah pendapatan korang dan pasangan. Dari situ, baru mula pecahkan bajet kat bahagian masing-masing.

Kalau boleh, kira betul-betul supaya duit dapat disalurkan kat tempat yang patut. Tak best juga kalau terlebih bajet sana-sini. Ia akan kacau kesihatan kewangan korang.

Dalam bab ini, disiplin adalah perkara utama. Kalau berbelanja ikut hati, bajet yang kita buat tu tak ada gunanya.

Hal-hal lain seperti kos selenggara kereta berutin atau janji temu dengan doktor juga, korang kena diambil kira.

Bajet ini boleh diubah ikut kesesuaian semasa. Dan normal untuk kali pertama, bajet yang kita buat tak berapa menjadi. Ia adalah kerja yang perlu kita ‘update’ sepanjang masa.

Harga barang masa dulu tak sama dengan sekarang. Takkan nak gunakan bajet tahun 1999 untuk tahun 2016, kan?

Tip #5: Kawal setiap pergerakan duit anda

Buat bajet saja tak cukup.

Lagi bagus bila kita boleh jejaki setiap perbelanjaan yang kita buat dari masa ke semasa. Sebab itu, bagus untuk korang simpan setiap resit perbelanjaan.

Ini boleh mudahkan korang kesan setiap duit keluar, dan boleh korang tampal balik kebocoran wang yang berlaku.

Korang bertanggungjawab untuk pastikan perbelanjaan tak lebih daripada bajet yang dah ditetapkan. Dan sesuaikan ia dengan situasi semasa korang.

Mungkin korang akan naik pangkat dan dapat kenaikan gaji. Sesuaikan ia dengan buat bajet baru. Tapi ingat. Ini bukan lesen untuk korang berbelanja besar.

Antara strategi yang baik adalah sistem bajet guna sampul surat. Korang boleh klik sini untuk info lebih mendalam pasal sistem ini.

Ia bagus untuk pasangan yang berpendapatan rendah, serta berkesan untuk elakkan korang daripada berbelanja secara berlebihan.

Korang boleh kaji dan gunakan strategi kewangan yang korang suka. Ada banyak yang korang boleh guna. Asalkan ia berkesan mengawal perbelanjaan korang.

Cuba eksperimen dan gunakan strategi yang berbeza, dan amalkan yang sesuai dengan pendapatan dan situasi korang dan pasangan.

Tok harap, artikel Tok ni boleh tolong korang uruskan sedikit sebanyak pasal hal berkaitan kewangan.

Macam yang Tok cakap sebelum ni, hal duit tak usah dibuat main. Dah berapa banyak kes cerai yang libatkan isu ini.

Kalau boleh, Tok tak nak korang jadi macam tu. Tok nak korang bahagia sampai ke anak cucu. Jadi, mulakan kehidupan baru korang ini dengan ilmu kewangan yang baik, ok?

Tak nak terlepas info dan tips terkini berkaitan hartanah dan kewangan? Tok nak ajak korang join Channel Telegram rasmi Gilahartanah. Klik gambar untuk join.

[KLIK GAMBAR SEKARANG]

Jom join Channel Telegram rasmi GilaHartanah.
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *