PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

4 perkara yang Tok nak anda tahu sebelum mulakan langkah sebagai pelabur hartanah. Yang baru nak bermula, mesti suka baca ini.

Ada banyak istilah pasal pemilikan hartanah di negara Malaysia yang aman damai ini.

Kali ini, Tok nak sentuh topik ini. Dengan harapan, korang boleh tambah ilmu pelaburan hartanah dan gandakan peluang buat lebih banyak duit.

Bagi yang dah tahu, anggap perkongsian Tok ini sebagai sesi ulangkaji. Bagi ilmu hartanah korang bertambah mantap.

Lagi banyak korang ulangkaji, lagi kuat melekat ilmu ini dengan korang.

Fokus Tok lebih kepada mereka yang baru ceburkan diri ke dalam bidang ini. Kalau tak suka, korang boleh main jauh-jauh.

Yang pasti, ilmu ini boleh kurangkan kekerapan korang ke Pejabat Tanah. Boleh jimat minyak kereta dan motor. Mesti korang suka dapat berjimat, kan?

Jangan ambil serius sangat. Tok melawak saja. Okay, jom kita mulakan.

Korang akan terkejut bila baca fakta yang Tok nak kongsikan ini.

Utusan Malaysia ada keluarkan statistik tentang pemilikan hartanah tahun ini, dan ia buat Tok sedih.

Hanya 39.5% pembelian daripada golongan bumiputera, 53.4% adalah bukan bumiputera dan 7.1% adalah pembelian daripada syarikat.

Fakta ini jadi bukti yang ramai rakyat Malaysia masih kurang kesedaran pentingnya pelaburan hartanah.

Jangan sampai satu masa nanti peluang dah tak ada, korang hanya mampu ternganga saja.

Korang tak pelik ke? Orang luar berlumba-lumba beli dan kumpul hartanah dalam negara kita.

Orang kita pula, lagi rela perabis duit ke benda-benda lagha. Pepatah “biar papa asalkan bergaya” masih jadi pegangan hidup yang setia.

Salah siapa? Tunding jari ke muka sendiri dulu sebelum mula salahkan orang lain.

Mulakan dengan belajar ilmu hartanah yang asas.

Kalau tak tahu, kita boleh ubah dengan mula mencari ilmu. Mulakan sikit-sikit dahulu. Lama-lama, pasti membukit ilmu itu.

Kalau korang serius nak belajar (atau nak buat ulangkaji), boleh mulakan dengan baca perkongsian Tok ini.

Sebuah artikel yang ditulis oleh Michael Zuber, sesuai dijadikan sebagai ilmu pengenalan untuk mereka yang serius mahu ceburi pelaburan hartanah.

Korang dah sedia? Dengan lafaz Bismillah, mari kita mulakan.

Perkara #1: Sebab apa kita kena melabur dalam pelaburan hartanah?

Seperti yang kita sedia tahu, ada banyak jenis pelaburan yang boleh kita guna untuk tambah duit. Salah-satunya adalah pelaburan hartanah.

Bak kata mogul hartanah Amerika Syarikat, Donald Trump:

“Ia boleh dipegang dan disentuh. Ia cantik, pada masa yang sama, ia juga menarik. Pada pandangan saya, ia cukup berseni, dan saya benar-benar jatuh hati pada pelaburan hartanah.” 

Pada pengetahuan Tok, dengan mengkaji jawapan orang ramai tentang pandangan mereka berkenaan pelaburan hartanah, ia boleh bantu kita dapatkan jawapan terbaik untuk diri kita sendiri.

Michael Zuber di BiggerPockets mengkaji sebab mengapa orang suka pelaburan ini, dan sebab personal beliau mula ceburi arena ini dengan sepenuh hati.

1. Kebebasan masa. 

Ini menjadi antara sebab popular yang kerap digunakan oleh pelabur hartanah. Walaupun pekerjaan mereka dahulunya hebat-hebat belaka, mereka tak ada kebebasan masa.

Masalah itu tamat selepas mereka ceburi pelaburan ini.

Pelaburan hartanah amat mudah. Ia sesuai untuk orang yang mahu buat duit dan dapatkan kebebasan berganda daripada sudut masa.

Secara kasar, seorang pelabur hartanah hanya perlu:

  • Kaji, beli, dan pegang hartanah itu,
  • kaji aliran tunai (cashflow) untuk setiap pelaburan yang dibuat,
  • korbankan masa dan kepuasan sementara (untuk tempoh 5, 10 hingga 20 tahun, mengikut strategi masing-masing),
  • seterusnya, nikmati timbunan aliran tunai bulanan,
  • serta dapatkan kebebasan daripada pelbagai sudut (masa, kewangan, dan sebagainya).

2. Sentiasa berada dalam kawalan.

Ramai pelabur hartanah yang Zuber temubual berkongsi satu pendapat yang sama.

Pelaburan hartanah berikan mereka kawalan dalam sudut kewangan, tak sama seperti pelaburan lain. Hakikatnya, kita tak boleh kawal pelaburan lain, selain daripada pelaburan ini.

3. Jalan alternatif daripada pelaburan lain. 

Tidak kurang juga yang akui pelaburan ini adalah alternatif bagi mereka.

Ia sebagai langkah mempelbagaikan portfolio pelaburan yang mereka buat. Ramai antara mereka sekadar mahu dapatkan pulangan lumayan melalui pelaburan ini.

4. Sebagai ganti perkerjaan, atau sekadar penuhi minat untuk melabur.

Pelaburan hartanah juga sesuai dijadikan pekerjaan sepenuh masa (karier).

Ramai sahaja yang memilih pelaburan ini sebagai ganti pekerjaan terdahulu mereka.

Tak kurang juga, ramai yang mulakan langkah dalam pelaburan ini tanpa sebarang pengetahuan tentang hartanah, dan mereka sentiasa tambah ilmu secara konsisten.

5. Suka mencari “thrill”.

Tak kurang pula pelabur yang sukakan “thrill”.

Golongan ini suka kejar tawaran pelaburan yang terbaik, sehingga ia jadi tabiat.

Mereka ketagih memburu setiap peluang yang ada dalam dunia pelaburan hartanah, dan ia adalah sesuatu yang positif untuk dilakukan.

6. Mahu cipta pelbagai pilihan.

Selepas beberapa tahun, Zuber sedar pelaburan ini berikan pelbagai pilihan kepada dirinya.

Dia bebas untuk pilih dan beli setiap peluang pelaburan yang tersedia, serta ada banyak masa untuk diri sendiri dan keluarga.

Berbanding pelaburan lain, pelaburan ini lebih banyak kelebihan daripada kekurangan.

Perkara #2: Bolehkah saya jadi pelabur hartanah jika saya masih bekerja sepenuh masa?

Sudah tentu boleh. Ada banyak strategi untuk buat duit melalui pelaburan hartanah, dan ia tak akan ganggu prestasi pekerjaan sepenuh masa korang.

Jumlah pulangan pelaburan bergantung kepada:

  • strategi yang korang gunakan.
  • personaliti korang.
  • skil yang korang ada.
  • pengetahuan (ilmu) korang pasal hartanah.
  • masa yang sanggup korang laburkan.

Tak wajib untuk korang berhenti kerja atas sebab nak jadi pelabur hartanah. Lagipun, Tok faham. Ramai yang bekerja sekarang kerana “passion”.

Melainkan korang dah fikir masak-masak dan dah buat kira-kira tentang pelan tindakan dan risiko.

Cuma pesan Tok, korang masih boleh jadi pelabur hebat walaupun masih bekerja bawah orang.

Cuba baca dan dalami nasihat Brandon Turner ini:

“Salah satu faedah menjadi pelabur dan masih bekerja sepenuh masa, adalah kita ada pendapatan tetap yang stabil dan ia boleh menampung kos pelaburan. Kelebihan ini boleh kurangkan masalah kita.” 

4 kelebihan jadi pelabur sambil bekerja sepenuh masa.

1. Korang tak perlu guna duit untung daripada pelaburan.

Ini sebab utama korang bekerja dari pukul 9 hingga 5.

Duit untung yang korang dapat, boleh guna untuk tambah pelaburan sedia ada.

Cara ini boleh buat korang besarkan saiz pelaburan korang tanpa bazirkan banyak masa.

Tok tambah sikit. Duit gaji korang sebenarnya cukup sangat untuk tampung belanja bulanan.

Sambil korang belajar pasal pelaburan, belajar sekali tentang pengurusan kewangan. Lagi bertambah-tambah ohsem kewangan dan hidup korang.

2. Kelebihan yang pelabur sepenuh masa sukar dapat.

Korang rasa, apa kelebihan yang Tok maksudkan?

Betul. Korang lebih mudah buat loan bank, hasil daripada gaji bulanan korang itu.

Kalau pelabur sepenuh masa, belum tentu boleh dapat berbanding korang yang senang dapat kelulusan bank.

Korang boleh guna kelebihan ini untuk luaskan lagi empayar pelaburan hartanah korang.

Daripada bayar ansuran Honda Civic 2.0 i-VTEC yang mencecah RM1000++ sebulan, baik lagi bayar ansuran pelaburan hartanah korang. Lagi berbaloi.

3. Belajar sesuatu di pejabat setiap hari.

Pelabur sepenuh masa hanya boleh belajar melalui buku, sewaktu berjumpa orang untuk urusan hartanah, hadirkan diri ke seminar pada hari minggu, atau lain-lain yang sewaktu dengannya.

Korang lagi best, boleh belajar benda baru setiap hari berbanding pelabur sepenuh masa.

Beri perhatian untuk tingkatkan “soft skills” (kemahiran insaniah) korang, seperti mendengar, berkomunikasi, kemahiran bekerja dalam kumpulan, penyelesaian masalah, pemikiran kreatif, dan macam-macam lagi. Hargai peluang ini setiap hari di tempat kerja korang.

4. Latihan atau seminar yang ditanggung beres.

Kebanyakan syarikat akan berikan latihan bagi membina kemahiran korang.

Maknanya, korang tak perlu bayar ratusan atau ribuan ringgit untuk menghadiri seminar atau kelas seperti pelabur sepenuh masa.

Tok rasa, korang pun tahu berapa kos untuk seorang untuk menghadiri seminar yang bagus, kan? Korang untung ada kelebihan ini.

Sebab majikan korang tolong bayarkan, korang boleh dalami ilmu itu untuk pelaburan dan diri sendiri.

Korang dah untung dua kali ganda. Jadi, sentiasa bersyukur dengan kelebihan ini.

Perkara #3: Perlukah guru yang baik untuk berjaya dalam pelaburan hartanah?

Ada yang kata “ya”. Tak kurang juga yang kata “tidak.”

Ia bergantung kepada individu. Ada orang sudah jadi pelabur hartanah berjaya tanpa bantuan orang lain. Golongan ini biasanya buat dahulu, baru belajar selok-belok ilmu hartanah.

Kalau nak dibandingkan, golongan ini agak lambat nak capai tahap ‘berjaya’ daripada golongan yang ada guru atau mentor.

Sebab mentor atau guru adalah golongan yang sudah hadapi apa yang belum korang hadapi.

Pengalaman dan ilmu yang mereka ada harga yang tersendiri. Pengalaman mereka, mungkin ada yang tak tertanding oleh harta dan wang ringgit.

Cuma, korang perlu hati-hati dalam memilih mentor yang bagus. Sekarang ekonomi tengah gawat, dan ramai orang tengah terdesak. Maka akan bertambah ramai golongan “scammer” yang tumbuh bak cendawan lepas hujan.

Jangan cakap Tok tak pesan. Apa-apa pun, syukur Malaysia masih aman.

Kenali 5 kualiti seorang mentor yang bagus.

1. Rela dan ikhlas kongsikan pengalaman, kemahiran, serta ilmu mereka.

Mentor yang baik akan bimbing kita dengan sepenuh hati, agar kita dapat capai kejayaan seperti mereka.

Kita boleh lihat sama ada mereka benar-benar serius mengajar kita, atau hanya sekadar melepaskan batuk di tangga.

Sebelum berjaya meraih kejayaan sekarang, mereka juga bermula seperti kita. Kualiti ini agak sukar dicari pada zaman sekarang.

Apa-apa pun, hargai setiap ilmu yang mereka kongsikan kepada kita. Setiap ilmu yang mereka beri, wajib kita amalkan agar pelajaran tak jadi sia-sia. Jangan pula korang ambil mudah.

Fahamkan yang hidup bermentor juga perlukan masa dan komitmen yang serius untuk capai apa yang korang impikan.

2. Ada sifat dan sikap positif yang ketara, dan boleh jadi “role model” kepada kita. 

Golongan ini tak lari daripada sifat positif dalam diri mereka. Baik daripada segi personaliti, hingga ke cara berfikir.

Sikap positif adalah kualiti yang wajib kita bentuk dan amalkan jika mahu berjaya. Ia akan mempengaruhi sikap kita secara keseluruhan.

Kita akan jadi lebih mudah menilai setiap pilihan yang ada, bergantung kepada jenis situasi yang kita sedang hadapi.

Perhatikan jika mentor kita ada sifat ini. Jika mereka lebih ke arah negatif, Tok nasihatkan lebih baik korang jauhkan diri.

Kita boleh anggap kualiti ini (sifat positif dan negatif) macam ubat dan penyakit. Risau kalau sifat negatif itu berjangkit kat korang. Tak best pula jadinya nanti.

3. Tunjukkan minat untuk bina hubungan baik dengan kita.

Apabila bercakap pasal isu tanggungjawab, mentor yang bagus tak akan sekali-kali abaikan pelajar mereka.

Jangan terkejut kalau kena marah sebab korang tak buat apa yang mereka ajar.

Bukan apa, itu sebagai bukti yang mentor korang sayang kat anak murid mereka. Mentor korang cukup serius nak ajar korang sampai berjaya.

Jangan sampai mereka patah hati ajar korang. Korang juga yang rugi nanti.

Cara komunikasi antara dua pihak yang baik jadi peranan penting dalam hal ini. Selain itu, mereka juga akan latih korang bina kekuatan mental, cara berfikir yang betul, serta membina sifat-sifat positif yang lain.

4. Ghairah ketika kongsi ilmu.

Kita boleh lihat sama ada seseorang itu benar-benar ikhlas berkongsi ilmu atau sebaliknya.

Kalau mentor itu tak tunjukkan sebarang semangat positif yang tinggi sewaktu mengajar, elok jauhkan diri daripada mereka.

Tok tak suka korang buang masa dengan orang yang salah, sebab masa amat berharga.

Bagi Tok, tak susah mahu tengok seseorang itu benar-benar ikhlas dalam menyampaikan ilmu.

Mentor yang baik sentiasa bersemangat untuk mengajar. Mereka sanggup laburkan masa agar korang lebih berjaya daripada dia. Tok nasihatkan orang cari mentor macam ini.

5. Sentiasa harapkan korang capai sesuatu yang lebih baik. 

Sebelum Tok lupa, baik korang cari mentor yang “result-based.”

Maksud tok, mereka yang ada nama dalam industri dan sudah hasilkan “result”. Tak perlu buang masa belajar dengan orang yang belum ada hasil. Dah tentu korang nak cepat berjaya, kan?

Tapi, korang kena tahan sikit belajar dengan golongan ini. Sebab kalau korang tak buat apa yang diajar, silap-silap kena maki. Itu sebab korang kena amalkan “mindset” positif.

Marah itu tanda mentor itu sayang kat korang. Sebab mentor korang harapkan korang jadi lebih baik daripada mereka.

Mentor jenis ini sentiasa tambah ilmu baru dalam diri mereka, kemudian akan mereka kongsikan kepada korang.

Hanya dengan ilmu sahaja, korang akan berjaya capai impian. Bak kata pepatah mat saleh:

“Jika berikan orang seekor ikan, mereka hanya dapat hilangkan lapar untuk masa sehari. Jika ajar mereka memancing, boleh jadi mereka tak akan lapar lagi.” 

Perkara #4: Bolehkah saya melabur jika saya tak ada duit? 

Ramai yang tak tahu, tapi suka bercakap macam dia tahu. Kalau Tok cakap, korang boleh mula melabur walaupun tak ada duit, korang percaya tak?

Sentiasa buka minda kita sebab ada caranya. Banyak orang dah buat pun.

Strategi ini digelar OPM (other’s people money/duit orang lain). Maknanya, korang gunakan duit orang lain untuk mulakan pelaburan hartanah.

Strategi ini tak sesuai untuk semua orang. Tapi bagi mereka yang sanggup belajar, tak mustahil strategi ini boleh kembangkan portfolio pelaburan mereka.

Korang boleh anggap strategi ini sebagai alat bantuan dalam pelaburan hartanah.

Kunci utama untuk mulakan pelaburan hartanah jika tak ada duit, adalah dengan gunakan kemahiran atau kelebihan yang orang lain tak ada sebagai “pengeras.”

Ini termasuk masa, kreativiti, ilmu, kenalan (“networking” kita), atau sebagainya.

Tak dinafikan, dengan duit, lebih mudah untuk kita “close deal”. Tapi tak semua perkara gunakan duit semata-mata.

Yang penting, korang mesti tahu objektif yang mahu dicapai. Agar boleh korang rangka pelan dan strategi berkesan, tanpa jadikan duit sebagai alat utama.

3 strategi untuk mulakan pelaburan tanpa gunakan duit sendiri. 

1. Guna duit orang yang paling dekat dengan kita. 

Kalau dalam istilah mat saleh, ia dinamakan “private money lender.”

Ia melibatkan ahli keluarga dan bukan seperti mana-mana badan pinjaman peribadi seperti pihak bank, pemberi pinjaman berlesen, dan sebagainya.

Strategi ini biasanya dijamin oleh surat aku janji atau surat ikatan amanah yang dipersetujui dua belah pihak (peminjam dan yang meminjam).

Peminjam jenis ini ada 3, iaitu:

  • Primary Circle: Keluarga, kawan rapat, jiran, atau rakan pejabat. Mereka adalah orang yang rapat dan percaya pada kita.
  • Secondary Circle: Golongan ini terdiri daripada kenalan ahli keluarga kita, jiran kita, kawan rapat kita, atau rakan pejabat kita.
  • Third Party Circle: Mereka ini tergolong daripada senarai “networking” kita, orang luar yang kita tak kenal, mereka yang kita dapatkan melalui iklan, pelabur yang ada nama dalam industri, atau lain-lain.

2. Cari rakan kongsi yang boleh dipercayai. 

Mungkin bukan satu kerja yang senang untuk dapatkan rakan kongsi yang baik. Tapi, pasti ada cara terbaik yang boleh korang buat untuk tarik dan kunci minat mereka.

Antara strategi yang korang boleh gunakan adalah seperti:

  • Berkongsi objektif pelaburan yang sama.
  • Jelaskan kepada mereka hasil yang anda harapkan dalam pelaburan yang dibuat.
  • Sentiasa bersikap adil. Amalkan “win-win situation.” 
  • Jangan berjanji secara lebih-lebih dan amalkan “over-deliver” janji anda.
  • Berkomunikasi secara berkesan setiap masa agar dua belah pihak sentiasa jelas.

Selain ini, Tok nasihatkan korang rangka pelan pelaburan yang “solid” serta “exit strategy” yang mantap. Korang juga boleh tunjukkan rekod pelaburan sebelum ini untuk yakinkan mereka.

3. Buru pelaburan yang beri pulangan terbaik. 

Okay. Tok faham korang tak ada modal nak mulakan pelaburan (atau korang pilih untuk tak gunakan duit sendiri untuk melabur).

Tak ada masalah. Tok nak kongsikan satu lagi strategi yang menarik yang boleh korang guna.

Korang perhatikan diri sendiri. Mungkin korang hebat dalam mencari tawaran pelaburan dengan pulangan yang tinggi.

Bagi Tok, ini satu kelebihan yang boleh korang guna untuk tarik minat pelabur keluarkan modal.

Bab pembahagian keuntungan pula bergantung kepada kepakaran korang untuk capai persetujuan dengan si peminjam. Yang pasti, korang tetap untung tanpa keluarkan modal sendiri.

Tok minta maaf. Panjang lebar celoteh Tok kali ini.

Tok akui, tulisan Tok kali ini agak panjang. Bukan apa, cuma tok tergerak hati nak beri perhatian lebih kepada mereka yang baru nak mulakan langkah ke pelaburan hartanah.

Sebagai permulaan, ini yang tok boleh kongsikan. Dengan izin-Nya, Tok harap ia dapat bantu korang.

Korang boleh jadikan ilmu ini sebagau titik permulaan ke arah kehidupan yang lebih berjaya. Pelaburan hartanah ini serius tak susah, kalau korang belajar dan terus buat.

Mula-mula keluar dari perut mak kita, Tok rasa tak ada seorang pun terus berlari. Tak perlu tergopoh-gapah.

Biasakan diri dengan asas terlebih dahulu. Lama-lama, korang akan hebat juga. Tak gitu?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *