Sistem ini jimatkan lebih 20% kos pembinaan. Rumah boleh siap dalam masa kurang 3 minggu

Kajian selama 15 tahun Pusat Penyelidikan Perumahan (HRC) Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berjaya menghasilkan satu Sistem Bina Industri (IBS).

Sistem ini mampu mengurangkan 20% kos bahan binaan bagi rumah mampu milik.

Selain itu, menurut penciptanya, Prof. Datuk Ir. Abang Abdullah Abang Ali, penggunaan IBS yang dinamakan Putra Blok berkenaan juga dianggarkan dapat menjimatkan tempoh pembinaan setiap rumah daripada 7 hingga 12 minggu, kepada 2 hingga 3 minggu menggunakan lima orang tenaga kerja.

Jelas beliau, penjimatan kos dan masa tersebut mampu dilakukan kerana Putra Blok direkabentuk sebagai IBS yang mengguna pakai Sistem Binaan Blok Berongga Kait Panca Tanggung Beban.

Tambah beliau, sistem tersebut memberikan struktur binaan berkenaan kestabilan dan keutuhan tanpa memerlukan pembinaan tiang atau rasuk.

Bina rumah berkualiti pada harga lebih rendah

“Reka bentuk berongga kait Putra Blok juga menjadikan IBS ini antara yang paling ringan di pasaran iaitu 3 kg (blok stretcher), 12 kg (blok corner) dan 13 kg (blok corner).”

“Berat dan sistem IBS ini merupakan ciri utama yang menyumbang kepada penjimatan kos dan masa binaan rumah seperti yang berjaya dilakukan di Sungai Durian, Kelantan,” ujar beliau pada sidang akhbar mengumumkan ciptaan berkenaan di UPM hari ini.

Abang Abdullah turut menambah, reka bentuk Putra Blok juga telah melupuskan keperluan lapisan lepa untuk menyatukan setiap lapisan blok selain ia memberikan binaan berkenaan pengudaraan yang baik sekaligus memberi keselesaan kepada penghuni rumah.

Secara keseluruhan, beliau mengatakan, pemaju perumahan kini boleh membina rumah mampu milik yang lebih berkualiti pada harga yang rendah dengan menggunakan Putra Blok.

Turut diadakan pada sidang akhbar berkenaan, majlis penyerahan dokumen Memorandum Persefahaman antara UPM dan syarikat yang bakal mengkormesialkan Putra Blok, Triple A Engineering Sdn. Bhd (Triple A).

Mewakili UPM pada majlis tersebut ialah Naib Canselornya, Datin Paduka Aini Ideris. Manakala Triple A diwakili oleh Pengarah Urusannya, Azhar Azwari Annuar.

[Sumber asal: Utusan Online]

110 Shares

1 thought on “Sistem ini jimatkan lebih 20% kos pembinaan. Rumah boleh siap dalam masa kurang 3 minggu

Leave a Reply