PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

Fokus bina rumah mampu milik di kawasan pertumbuhan tinggi.

Kerajaan perlu memberi fokus membina perumahan mampu milik di kawasan-kawasan yang mencatat pertumbuhan tinggi seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru dan bukannya di kawasan-kawasan terpencil.

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Seri FD Iskandar FD Mansor berkata, pada masa sama, kerajaan juga harus mengenal pasti tanah-tanah di peringkat negeri atau persekutuan untuk membina rumah mampu milik berbanding projek perumahan mewah atau komersial.

Katanya, pihaknya turut menyedari terdapat ketidaksepadanan antara bekalan dan permintaan bagi rumah mampu milik di beberapa tempat tetapi tiada kekurangan bekalan bagi rumah berkenaan.

“Bagi kami, perkara yang lebih penting dan perlu diberi perhatian oleh kerajaan ialah pembiayaan akhir dalam pembelian rumah terutama melibatkan pembeli rumah pertama.”

“Pada masa sama, dengan memberikan fokus untuk me­ningkatkan jumlah rumah mampu milik, ia tidak harus menjejaskan pelaburan asing dan juga pasaran hartanah mewah,” kata­nya selepas Mesyuarat Agung Tahunan Glomac Berhad (Glomac) ke-32 di sini hari ini.

Panjangkan tempoh pembiayaan.

Yang turut hadir Pengerusi Eksekutif Kumpulan Glomac, Tan Sri Mohamed Mansor Fateh Din; Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Glomac, Datuk Ri­chard Ong dan Pengarah Berke­cuali Bukan Eksekutif Glomac, Datuk Ikhwan Salim Sujak.

Sementara itu, FD Iskandar yang juga Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Glomac berkata, tempoh bayaran balik maksimum selama 35 tahun bagi pinjaman perumahan adalah munasabah mengambil kira hutang isi rumah yang tinggi iaitu 89.1 peratus.

Katanya, terdapat beberapa negara telah melaksanakan sistem pembiayaan dengan tempoh yang lebih panjang tetapi melibatkan jaminan daripada dua penjamin.

“Dengan melihat negara lain sebagai contoh, kebiasaannya melibatkan dua penjamin iaitu ibu bapa bagi tempoh antara lima hingga 10 tahun sebelum pinjaman itu diserahkan sepenuhnya kepada anak-anak mereka untuk dilangsaikan.”

“Sebenarnya terdapat pelbagai mekanisme yang boleh dilaksa­nakan tetapi langkah ini memerlukan kajian yang lebih mendalam,” katanya.

Dalam pada itu, Glomac mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM117.81 juta bagi suku pertama berakhir 31 Julai lalu, berbanding RM30.69 juta tempoh sama tahun lalu.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, syarikat itu memberitahu, perolehan naik kepada RM251.42 juta berbanding RM123 juta sebelumnya.

Jelasnya, perolehan lebih tinggi itu hasil daripada penjualan tanah sebanyak RM145.6 juta dan kemajuan pembangunan projek di kediaman Saujana KLIA Lakeside, Glomac Centro dan Reflection Residences.

[Sumber asal: Utusan Online]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *