CIDB tak bagi peluang kes Eco Bridge runtuh, akan ada yang diheret...

CIDB tak bagi peluang kes Eco Bridge runtuh, akan ada yang diheret ke mahkamah

674
1
SHARE
Sumber gambar: Says.com
Ebook Takde Duit Boleh Beli Rumah Ke
Ebook Takde Duit Boleh Beli Rumah Ke

KUALA LUMPUR 1 Dis. – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam kejadian runtuhan jambatan konkrit Eco City, Kampung Abdullah Hukum.

Insiden ini mengor­ban­kan seorang pekerja warga Viet­nam serta mengakibatkan lima lagi warga asing cedera parah, semalam.

Sehubungan itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof telah mengarahkan sebuah pasukan penyiasat terdiri daripada kumpulan pakar meliputi pelbagai agensi ditubuhkan serta-merta bagi mengenal pasti punca kejadian itu.

Antara lain, beliau berkata, siasatan itu akan turut mengambil kira aspek lain termasuk reka bentuk jambatan terbabit, kualiti kerja, pasukan jurutera projek, penyelia projek, pegawai keselamatan dan kompetensi pekerja.

“Kita menjangka laporan selesai dalam tempoh sebulan lagi. Jika terbukti wujud kecuaian, kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak. Mereka akan diheret ke mahkamah mengikut Akta CIDB,” katanya.

Mampan – Pusat rujukan dan latihan pembinaan terbaik

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan seminar Sustainable Construction Excellence For A Better Future anjuran Institut Penyelidikan Pembinaan Malaysia (Cream) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi CIDB, Tan Sri Ahmad Tajuddin Ali dan Pengerusi Kumpulan Program Transformasi Industri Pembinaan-Kemapanan Alam Sekitar (CITP), Tan Sri Datuk Dr. Jamilus Hussein.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 petang semalam, selain enam mangsa itu, seorang lagi pekerja warga asing dikhuatiri masih tertimbus.

Terdahulu, Fadillah ketika berucap berkata, CIDB menubuhkan sebuah Pusat Kecemerlangan Pembinaan Mampan (Mampan) yang beroperasi di bawah Cream.

Penubuhan pusat tersebut me­rupakan sebahagian daripada hasil sasaran inisiatif untuk memacu inovasi dalam pembinaan mampan, selain bertujuan memastikan industri pembinaan dapat melaksanakan pembangunan fizikal dengan cara memelihara kelestarian dan keharmonian alam sekitar.

“Selain itu, Mampan juga di­sa­sarkan menjadi sebuah pusat rujukan dan latihan yang ber­teraskan keberhasilan pembinaan mampan secara komprehensif,” katanya.


[Sumber berita asal: Utusan Online]

1 COMMENT

LEAVE A REPLY