PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

Baca ini sebelum anda lawat dan beli rumah untuk pelaburan. Pelabur kali pertama wajib baca

Alhamdulillah. Korang dah semakin hampir nak membeli rumah pertama untuk dibuat pelaburan. Tok harap korang dah sediakan apa yang patut ya.

Tapi, tak bermakna dah buat segala persediaan, kerja kita dah selesai. Bagi yang pertama kali nak buat site visit, elok baca tip yang Tok nak kongsikan ini.

Terima kasih kat Tuan Amir Syahir sebab kongsikan tip yang cukup bermanfaat ini untuk kita hadamkan.

Anda dah bersedia? Mari kita mula belajar

Bila dah sediakan duit pendahuluan, CCRIS cukup cun, dan profil loan pun dah tersedia, kita dah boleh mulakan langkah membeli rumah pertama.

Kalau dah ada target rumah yang kita nak beli (lepas dah mencari dan mengkaji iklan kat mudah.my, iProperty, atau lain-lain laman web jual beli hartanah), kita dah boleh buat site viewing.

Adalah wajib untuk kita bertindak pantas bagaikan The Flash untuk buat site viewing. Lagi-lagi kalau rumah itu ada dalam kawasan panas (hot area), bawah harga pasaran, dan dapat menjana kadar sewaan yang tinggi.

Takut kalau bertangguh, orang lain nampak peluang ini dan tak buang masa sambar unit yang korang nak beli tu.

Sebelum buat site viewing, wajib ada bajet 10 hingga 15% daripada harga rumah untuk bayaran wang pendahuluan. Dan ada duit ini, baru boleh buat site viewing.

#1: Buat pemeriksaan dalaman unit yang anda nak beli itu

Ini antara checklist yang korang boleh buat untuk tujuan memeriksa setiap barang kat dalam rumah itu nanti:

a) Periksa suis semua lampu dan kipas. Poin eletrik (kalau boleh) pula, cuba periksa sama ada ia berfungsi dengan baik atau tak.

b) Periksa air. Adakah air itu keruh dan berkarat? Atau bersih suci murni? Kita juga boleh kaji sekali tahap tekanan air sama ada ia laju atau perlahan. Yang beli unit high-rise, ini perkara wajib yang kita kena periksa.

c) Periksa semua perkara kat dalam tandas. Pastikan jamban tak tersumbat dan boleh flush tanpa sebarang masalah.

d) Periksa status hartanah sama ada ia leasehold atau freehold. Tengok berapa tahun tinggal (untuk unit leasehold).

e) Tanya penjual atau ejen berapa maintenance fee.

f) Dapatkan maklumat pasal sebarang hutang tertunggak yang ada, seperti bil air dan eletrik.

g) Tombol pintu. Periksa sama ada ia masih berfungsi dengan elok atau tak.

h) Sinki dapur. Tersumbat atau tak.

i) Dinding yang retak (ini penting). Kalau ada, ambil gambar sebagai bukti. Takut-takut ia keretakan dalaman yang kritikal.

j) Periksa tiles atau lantai yang pecah atau retak.

k) Sebarang kebocoran kat bahagian dinding rumah. Kerosakan ini akan menelan kos baik pulih yang tinggi. Dan ingat ya, sentiasa ambil gambar sebagai bukti.

#2: Dah settle buat No.1 tadi? Tiba masa buat pemeriksaan luaran rumah pula

a) Periksa kawasan sekitar rumah. Kalau dekat dengan kawasan kubur ke, tak banyak penyewa berani nak sewa, dan gadis-gadis tak nak. Hehe.

b) Jalan kat sekitar kawasan rumah. Ada jalan yang sesak tak? Kalau sesak sentiasa, itu tanda yang penduduk kat situ ramai. Peluang nak sewakan pun jadi tinggi.

c) Tangga kawasan rumah. Kalau kotor, alamat pengurusan kat situ memang ke laut.

d) Kawasan parking. Kalau satu unit boleh dapat 2 lot, lagi best. s

e) Kejiranan (ini amat penting). Kalau majoriti kaum lain, fikirkan balik untuk beli unit itu.

Nota #1: Kalau ada sebarang kerosakan, kita boleh runding balik harga rumah dengan penjual. Ada rezeki, boleh kurangkan harga belian rumah itu dengan banyak (kalau banyak barang rosak teruk).

Nota #2: Kalau korang jenis rajin, buat satu borang penilaian hartanah. Letak skala 1 (tak memuaskan) hingga skala 5 (amat memuaskan). Kat sini, kita boleh buat keputusan sama ada nak beli atau tak.

Sebab apa kena buat benda ni? Kita boleh buat keputusan dengan cepat. Kalau tunggu lama-lama, ada potensi orang lain sambar dulu. Melepaslah labu.

Nota #3: Sentiasa peka dengan semua benda masa buat site viewing. Tambah pula kat kerosakan kecil. Kos baik pulih mungkin tak mahal sangat, tapi korang boleh dapat diskaun lebih daripada kos baik pulih itu. Untung bertingkek-tingkek. Hehe.

Kesimpulan setiap perkara yang anda wajib buat

a) Sentiasa periksa keadaan dalam dan luar rumah. Check semua suis dan palam eletrik, lampu, kipas, dan flush tandas. Tak lupa juga dengan aliran air kat dalam rumah.

b) Tanya kat penjual (atau ejen) pasal maintenance fee, dan pastikan unit itu diselenggara dengan baik. Patikan juga laluan ke kawasan itu juga tak ada sebarang sampah sarap yang sakitkan mata yang memandang.

c) Senaraikan kerosakan hartanah yang ada. Kita boleh gunakan ini untuk minta turunkan harga jualan kat penjual atau ejen. Boleh kita dapatkan harga yang lebih baik dan dapatkan diskaun.

d) Kalau masa buat site viewing masih ada sofa, almari, pendingin hawa (atau lain-lain barang atau perabot), tanya sama ada ia termasuk sekali dengan harga jualan atau tak.

Ini kena pastikan betul-betul. Sebab ada kes yang penjual atau ejen cakap, ia termasuk sekali dengan harga jualan. Tapi bila masuk rumah, kosong. Elakkan daripada kena tipu.

e) Ini berkaitan dengan perkara kat atas tadi. Minta ejen atau penjual buat inventori rumah yang dimasukkan sekali dalam harga belian, supaya kita tahu apa yang kita dapat dan apa yang tak. Sentiasa buat black-and-white.

f) Kaji tahap keselamatan kat kawasan hartanah yang kita nak beli. Kalau korang tengok ramai warg asing atau penduduk yang majoriti bangsa lain, fikirkan balik keputusan untuk beli unit kat kawasan tu.

g) Kaji target pasaran penyewa kita. Siapa yang nak sewa unit itu? Kaji juga booster seperti:

  • kawasan universiti,
  • hospital,
  • pasaraya besar (seperti Teso, Giant, Carrefour dan sebagainya),
  • tempat makan (KFD, McD, restoran, atau lain-lain),
  • akses lebuhraya yang mudah, dan sebagainya.

#3: Apa nak buat lepas dah selesai site viewing?

Lepas dah buat site viewing dan berpuas hati, boleh bayar booking fee (fi tempahan) terus. Elakkan fikir lama-lama, sebab takut orang lain pula yang beli.

Kalau boleh, elakkan datang bawa diri je. Nanti penjual atau ejen fikir kita tak serius nak beli hartanah. Sentiasa bawa buku cek dan catat setiap maklumat yang korang dapat bila buat site viewing itu.

Ada sebarang soalan yang bermain kat minda? Tak usah segan silu dan tanya ejen atau penjual. In shaa Allah, mereka akan bantu kita.

Sebaik-baiknya, bawa orang yang lebih berpengalaman semasa buat site viewing. Tak kisah sesiapa pun yang kita percayai. Asalkan berteman. Sebab mereka boleh bantu kita buat keputusan yang baik.

Selain itu, mereka juga boleh bantu kaji dan lihat mana-mana kerosakan yang kita terlepas pandang. Kerosakan kecil mungkin tak telan belanja yang banyak. Tapi kalau kita kumpul, boleh tahan juga harganya nanti.

#4: Kebaikan analisis SWOT yang elok anda ambil tahu

Bagus kalau kita buat penilaian analisis SWOT secara kasar. Bila buat ini, kita akan tahu hartanah itu wajar untuk kita beli atau tak.

Kalau banyak Strength dan Opportunities tu, dah boleh-boleh siapkan diri untuk bayar terus fi tempahan. Tak usah buang masa lagi.

Bawah ini adalah penjelasan untuk analisis SWOT ini untuk buatkan kita lebih mudah faham:

a) S (Strength): Kelebihan dan kekuatan hartanah yang kita nak beli tu untuk dibuat sebagai pelaburan.

b) W (Weakness): Kekurangan atau kelemahan hartanah itu, dan ia ada potensi buatkan kita rugi kalau kita beli.

c) O (Opportunities): Faktor luaran hartanah itu yang akan untungkan kita bila beli nanti.

d) T (Threats): Faktor luaran hartanah yang mungkin akan mengancam pelaburan kita jadi rugi, atau ancaman yang kita tak mampu nak memiliki hartanah itu.

#5: Cara kira hasil sewaan sebelum bertindak membeli rumah pelaburan

Antara faktor yang perlu kita ambil kira masa nak beli sesebuah hartanah, adalah cara mengira rental yield (hasil sewaan).

Ini cara kira dia (senang saja. Kalkulus semua tak terlibat):

  • Hasil sewaan: (Anggaran sewa sebulan X 12) / Nilai pembelian hartanah) X 100

Katakan, anggaran sewa bulanan sebanyak RM800, dan nilai pembelian hartanah adalah RM120,000:

  • (RM800 X 12) / RM120,000 = 0.08
  • 0.08 X100 = 8%

Sifu hartanah cadangkan membeli rumah dengan jumlah rental yield lebih daripada 7.5%. Ini baru dikira berbaloi untuk kita beli dan ia perlu disambar dengan kadar segera.

Dan kalau nak beli rumah, sentiasa cari rumah yang bawah nilai harga pasaran ya.

Tok faham. Mungkin ada yang rasa proses nak membeli rumah cukup rumit. Tapi tak apa. Sebab kita boleh sentiasa belajar dari masa ke semasa.

Sebab mula-mula pun, semua sifu dan pakar dalam dunia ni bermula daripada tak tahu. Lepas dah belajar, baru mereka jadi pakar dalam bidang ini.

Berikan peluang kat diri korang untuk mulakan daripada bawah. Bertatih itu tak salah. Sikap yang tak nak mula belajar langsung itu yang salah. Tok doakan supaya korang cepat-cepat dapat beli rumah ya. Ameen.

Tak nak terlepas info dan tips terkini berkaitan hartanah dan kewangan? Tok nak ajak korang join Channel Telegram rasmi Gilahartanah. Klik gambar untuk join.

[KLIK GAMBAR SEKARANG]

Jom join Channel Telegram rasmi GilaHartanah.
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *