PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

Moratorium selama enam bulan untuk semua individu dan perusahaan mikro serta PKS yang terjejas mulai 7 Julai 2021

Selaras dengan pengumuman tentang Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), peminjam individu dan perusahaan mikro serta PKS yang terjejas akibat pandemik, boleh mula memohon moratorium selama enam bulan mulai 7 Julai 2021. 

Dalam hal ini, peminjam – sama ada individu, perusahaan mikro ataupun PKS – tidak perlu bimbang kerana permohonan untuk mendapatkan moratorium atau lain-lain pakej bayaran balik pembiayaan adalah mudah dan dokumen sokongan tidak diperlukan. Kelulusan akan diberikan secara automatik.

Selain moratorium, bank-bank juga akan menawarkan pengurangan bayaran ansuran dan pakej-pakej lain, termasuk penjadualan semula dan penstrukturan semula pembiayaan yang sesuai dengan kedudukan kewangan khusus peminjam.

Peminjam boleh membuat permohonan secara dalam talian melalui borang web atau e-mel automatik yang akan tersedia menerusi laman sesawang bank-bank untuk peminjam mengemukakan butiran peribadi dan pembiayaan mereka.

Peminjam juga boleh menghubungi bank mereka melalui telefon dan panduan akan diberikan oleh pegawai khidmat pelanggan. Jika peminjam tidak dapat menggunakan saluran digital ini, mereka juga boleh mengunjungi cawangan bank untuk menghantar permohonan moratorium. Walau bagaimanapun, peminjam dinasihati supaya mendapatkan maklumat tentang sebarang perubahan waktu operasi atau aturan perkhidmatan kaunter daripada bank masing-masing berikutan sekatan pergerakan.

Bantuan bayaran balik pinjaman ini ditawarkan untuk pembiayaan yang diluluskan sebelum 1 Julai 2021. Pada masa permohonan dibuat , peminjam tidak mempunyai ansuran tertunggak melebihi 90 hari atau berhadapan dengan prosiding bankrap/penggulungan (bankruptcy/winding up). Peminjam yang sudahpun berada dalam program bantuan bayaran balik pinjaman dan membayar balik pembiayaan mereka mengikut terma program tersebut juga boleh memohon moratorium ini.

Peminjam individu dan PKS yang mempunyai tunggakan bayaran balik pinjaman melebihi 90 hari boleh juga menghubungi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi mendapatkan bantuan bayaran balik pinjaman yang sesuai dan khidmat nasihat kewangan secara percuma (services.akpk.org.my).

PKS termasuk perusahaan mikro juga boleh memohon bantuan melalui saluran khas SME Help Desk AKPK melalui akpk.org.my/smehelpdesk. Kaunter khidmat nasihat secara maya ini memberikan khidmat nasihat kewangan secara percuma dan membantu pemohon mendapatkan bantuan bayaran balik pinjaman.

Peminjam perlu memahami bahawa dengan mengambil bantuan bayaran balik pinjaman, kos pinjaman akan meningkat secara keseluruhan kerana faedah/keuntungan akan terus terakru (diambil kira) ke atas bayaran balik pinjaman yang tertangguh.

Bank-bank dikehendaki memberikan penerangan kepada peminjam mengenai kesan pengambilan bantuan bayaran balik pinjaman terhadap jumlah bayaran ansuran dan tempoh pembiayaan. Apabila peminjam memohon untuk mendapatkan bayaran ansuran yang lebih rendah (dan bukan mengekalkan bayaran ansuran yang asal) selepas moratorium, hal ini boleh menyebabkan tempoh pinjaman mereka menjadi lebih panjang.

Bank tidak akan mengenakan caj faedah ke atas faedah atau keuntungan atas keuntungan (iaitu faedah/keuntungan terkompaun) atau apa-apa faedah/keuntungan penalti sepanjang tempoh bantuan.

Rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (Central Credit Reference Information System, CCRIS) peminjam tidak akan terjejas akibat penerimaan apa-apa bentuk bantuan bayaran balik pinjaman pada tahun 2021.

Industri perbankan telah memberikan komitmen dan keyakinan untuk membantu peminjam yang menghadapi kesukaran kewangan disebabkan oleh sekatan pergerakan. Dalam hal ini, BNM akan memantau dengan rapi pelaksanaan program bantuan bayaran balik pinjaman oleh industri perbankan.

Jika peminjam menghadapi apa-apa kesukaran dengan bank-bank mereka, atau jika bayaran ansuran meningkat secara tidak munasabah, peminjam boleh menghubungi BNMTELELINK melalui bnm.my/RAsurvey untuk mengemukakan aduan mereka.

Peminjam juga boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang program bantuan bayaran balik pinjaman ini dengan melayari bnm.gov.my/RA dan platform media sosial BNM.

Bank Negara Malaysia
06 Jul 2021

Tak nak terlepas info dan tips terkini berkaitan hartanah dan kewangan? Tok nak ajak korang join Channel Telegram rasmi Gilahartanah. Klik gambar untuk join.

[KLIK GAMBAR SEKARANG]

Jom join Channel Telegram rasmi GilaHartanah.

Comments are closed