PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

Betul Ke B40 Tak Boleh Menyimpan Wang?

Kecoh baru-baru ini mengenai persoalan adakah B40 mampu atau tidak untuk menyimpan secebis wang. Pelbagai pendapat telah diutarakan malah persetujuan pun tidak dapat dicapai angkara perbezaan pandangan yang sangat ketara. Jadi betul ke B40 tak mampu langsung simpan wang?

Sebelum anda kecam Tok, jom kita hadam beberapa fakta terlebih dahulu :

  1. Statistik daripada Bank Negara Malaysia menunjukkan 75 peratus rakyat Malayisa tidak miliki simpanan hatta RM1000 sekalipun.

    Malah menurut BNM lagi, hanya 6 peratus sahaja rakyat Malaysia yang miliki wang mencukupi untuk bertahan tanpa pekerjaan selama 6 bulan.

    Manakala lagi 18 peratus hanya mampu bertahan selama tiga bulan sahaja. Tapi kita tak boleh salahkan mereka juga kerana tak ada simpanan langsung.

  2. Sekarang kita lihat statistik pendapatan bagi B40.

    Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), B40 merupakan golongan yang berpendapatan RM4,360 ke bawah. Manakala gaji minimum telah ditetapkan dalam jumlah RM1200 yang berkuatkuasa pada 1 Februari 2020.

  3. Had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Malaysia pula adalah sekitar RM2,208.

    Bagi golongan graduan, gaji minimum mereka ditetapkan pada kadar RM1,376 bagi lulusan diploma dan RM1,983 bagi lulusan ijazah.

    Lebih parah lagi, kehadiran Covid-19 memaksa golongan graduan ini terpaksa menerima gaji minimum RM1,200 untuk meneruskan kelangsungan hidup. Situasi ini secara tak langsung menyebabkan mereka tersenarai dalam golongan B40. 

Jadi melalui data yang telah dibentangkan diatas adalah sangat logik golongan B40 memang mengalami kesukaran untuk menyimpan.

Meskipun begitu, terdapat juga golongan B40 yang boleh menyimpan wang sehingga mampu memiliki 6 rumah. Pelik? Macam mana mereka boleh menyimpan walhal majoriti tidak boleh berbuat demikian?

Kejap! Jangan melenting dulu, tarik nafas dalam-dalam.

Tok faham kita semua mempunyai komitmen yang berbeza. Tok sangat kagum dengan mereka yang mempunyai komitmen tinggi untuk perkara yang baik seperti sara keluarga dan mak ayah. Ini tandanya anda seorang yang sangat bertanggungjawab.

Terpulang pada anda sama ada nak terus baca perkongsian Tok ni ke tidak. Bacalah dengan hati yang terbuka, mana yang baik boleh ambil. Mana yang tak berkenan, boleh abaikan. 

Tok ambil contoh kalau anda nak beli rumah. Ini langkah-langkah asas yang anda boleh buat sebelum nak beli rumah.

Tetapkan mindset yang betul

bina mindset yang betul

Sebelum buat apa-apa simpanan, perbetulkan dulu pemikiran ataupun mindset anda. Cliche kan?

Sabar, pernah dengar pasal Inversion Thinking ?

Nak mudah faham begini, kita semua mesti ada impian masing-masing kan? Tok bagi contoh yang sama seperti nak beli rumah. Tapi sebab ada komitmen yang tinggi rasa macam mustahil je nak ke arah tu.

Kalau dah macam tu, cuba fikir secara terbalik pula. Dah tak mampu nak tingkatkan kemampuan beli rumah, cuba jangan tambahkan lagi kesusahan ke arah impian anda tu. Jangan tambahkan kebodohan dan kesilapan dalam kewangan!

Contohnya gatal tangan pergi buat pinjaman beli kereta mewah, beli telefon mahal dan macam-macam lagi kesilapan kewangan yang biasa kita buat.

Anda dah buat Inversion Thinking ni? Tahniah! Anda kena bangga walaupun masih sukar nak tambahkan simpanan. Bak pepatah, kalau tak mampu buat kebaikan, jangan tambah kejahatan.

Pastikan aliran tunai positif

aliran tunai wang

Maaf cakaplah, Tok dah jumpa ramai orang yang ada masalah aliran tunai ni. Kebanyakannya yang ada masalah ni sebab ego. Ego tak nak tambah pendapatan, ego rasakan dirinya sahaja yang betul, ego tak mahu perbaiki masalah yang dihadapi.

Sebab tu Tok tekankan perbetulkan mindset dulu. Dengan mindset yang betul, walaupun aliran tunai anda positif RM1 sekalipun itu sudah cukup bagus. Itu tanda anda tak tambah kesilapan kewangan anda.

Selagi aliran tunai anda tidak positif, sampai bila-bila anda tidak boleh ke tahap seterusnya. Tak ada lebihan tunai, macam mana nak menyimpan? Tak ada simpanan macam mana, macam mana nak ada dana kecemasan? Tak ada dana kecemasan, macam mana nak melabur? Begitulah seterusnya.

Logik kan?

Bina dana kecemasan

bina dana kecemasan

Apabila aliran tunai anda sudah positif, tibalah masanya untuk membina dana kecemasan. Untuk apa pula dana kecemasan ini? Bukankah kita sudah ada KWSP? 

Dana kecemasan ini berfungsi sebagai talian hayat untuk anda jika berlaku apa-apa perkara tidak diingini. Macam mana pula nak bina dana kecemasan? 

Tok yakin anda mesti dah biasa dengar kena ada dana kecemasan paling minima bersamaan 6 bulan perbelanjaan anda. Berita baik bagi mereka yang bergaji kecil. Kenapa?

Kita ambil contoh gaji RM1,500. Mestilah anda belanja paling maksima pun banyak tu juga kan? Pelik kalau gaji macam tu tapi boleh belanja RM2,000. Itu tandanya anda berhutang. Pergi betulkan mindset dulu!

Termarah pula Tok. Ok, berbalik semula kepada perbincangan kita tadi. Kalau belanja RM1,500 , dana kecemasan yang diperlukan adalah RM1,500 x 6 bulan = RM9,000.

Manakala mereka yang bergaji besar pula, kita ambil contoh belanja bulanan mereka RM4,000 sebulan. Dana kecemasan yang diperlukan adalah RM4,000 x 6 = RM24,000.

Daripada contoh ni, kita boleh faham pepatah yang mengatakan besar periuk, besarlah keraknya. Makin besar komitmen, makin besarlah dana kecemasan yang perlu dilengkapkan.

Jadi, jangan rasa rendah diri dengan gaji kecil. Ramai je yang Tok jumpa gaji besar, bukan sahaja tak ada dana kecemasan malah nak buat simpanan pun tak boleh. Kalau anda mulakan tindakan sekarang, silap haribulan yang bergaji kecil dapat bina dana kecemasan terlebih dahulu berbanding mereka yang bergaji besar.

Lagi bagus setahun. Sebab apa? Cuba lihat kesan PKP sekarang ni. Memang terbukti ada orang yang hilang pekerjaan dan menganggur sehingga setahun lebihnya gara-gara tak boleh beroperasi disebabkan PKP ni.

Buat pelaburan hartanah?

beli hartanah

Bab pelaburan ni Tok tak nak cerita lebih-lebih. Cukuplah benda asas yang Tok dah kongsikan kat atas ni. Kalau yang asas pun tak lepas, tak perlulah sembang pasal pelaburan.

Contoh nak beli hartanah, terdapat beberapa kriteria bank nak tengok. Salah satunya Debt Service Ratio (DSR). Kalau DSR tak cantik, itu bermakna 2 asas yang Tok kongsikan kat atas anda tak selesaikan lagi.

DSR dah cantik, bagaimana pula proses nak beli rumah ni, susah ke? Kami dah sediakan satu artikel khas untuk anda faham proses pembelian rumah dari A-Z.

Natijahnya, golongan B40 bukanlah langsung tiada kemampuan untuk menyimpan, cuma niat dan tekad menentukan segalanya. Kita tidak boleh nafikan mungkin ada yang perlu menanggung keluarga di kampung. Jadi tak semua masalah boleh selesai dengan satu solusi sahaja.

Tok harap anda dapat manfaat daripada perkongsian Tok hari ni. Kalau anda masih belum mampu menyimpan hari ini, jangan putus asa. Jangan cepat rasa down bila lihat orang lain boleh simpan banyak duit. Setiap orang berbeza keadaan. Jadi buat anda yang masih berusaha, Tok doakan.

Tak nak terlepas info dan tips terkini berkaitan hartanah dan kewangan? Tok nak ajak korang join Channel Telegram rasmi Gilahartanah. Klik gambar untuk join.

[KLIK GAMBAR SEKARANG]

Jom join Channel Telegram rasmi GilaHartanah.

Comments are closed