PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

“Susah la macam ni. Banyak pemaju rumah under construction penipu!”

Kalau nak borak pasal isu scammer, memang sampai ke sudah takkan habis.

Bila seorang dah ‘kantoi,’ akan ada lagi yang muncul. Pendek kata, seperti cendawan tumbuh lepas hujan.

Korang boleh elak masalah ni. Dengan syarat, semak dan buat kajian terperinci sebelum membeli. Takut nanti korang sendiri yang menyesal, kena tanggung rugi.

Hadamkan perkongsian ilmu Tuan Salkukhairi Abd Sukor yang mantap ni sebagai bekalan diri.

Ini 5 perkara korang wajib buat sebelum beli rumah under construction dengan mana-mana pemaju.

#1 : Korek maklumat tentang syarikat pemaju 

Sebelum korang buat keputusan nak beli rumah dengan mana-mana pemaju, selidik dulu latar belakang syarikat itu.

Paling kurang pun, pastikan korang dapat sedikit gambaran tentang syarikat pemaju.

Bila korang buat ini, korang boleh tahu sama ada syarikat itu sah berdaftar, status operasi terkini, masih aktif atau tak, dan lain-lain perkara lagi.

Paling utama, selidik tarikh penubuhan syarikat dan adakah syarikat itu didaftarkan untuk jalankan pemajuan hartanah atau sebaliknya.

Ini sebab ada banyak kes syarikat yang buat bisnes hartanah, tapi tak berdaftar secara sah.

Dengan mencari maklumat tentang syarikat juga, kita boleh tahu:

  1. Siapakah pemegang saham syarikat itu,
  2. Ahli lembaga pengarah,
  3. Modal berbayar (paid-up capital),
  4. Serta rekod untung rugi syarikat ini.

Segala maklumat ini dapat berikan gmabaran awal kat kita, tentang sejauh manakah keupayaan dan kemampuan syarikat ini untuk memajukan sesuatu projek hartanah.

Kalau modal berbayar (paid-up capital) syarikat itu hanya RM2, atau baru seminggu didaftarkan, susah orang nak yakin yang ia mampu laksanakan satu projek perumahan.

Bagi penulis, gambaran awal adalah penting untuk kita menilai sesuatu perkara.

#2 : Semak pengalaman dan ‘track record’ pemaju

Penulis sarankan supaya korang buat semakan tentang pengalaman dan “track record’ pemaju.

Kaji berapa banyak projek perumahan yang dah pemaju tu dah bina dan siapkan.

Caranya adalah dengan hubungi Bahagian Pelesenan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk dapatkan maklumat tentang syarikat itu dalam bidang hartanah.

Ini antara contoh soalan yang boleh kita tanya kat mereka:

  • Bilakah tarikh syarikat ni ditubuhkan?
  • Berapa banyak projek yang syarikat ini dah bina dan siapkan dengan sempurna?
  • Berapa banyak projek perumahan mereka yang lewat siap, atau terbengkalai?
  • Adakah pemaju (atau mana-mana ahli pengarah syarikat ni) ada rekod pertuduhan, atau sebarang kesalahan bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan)?
  • Adakah syarikat pemaju ini pernah kena ‘blacklist’ dengan pihak kementerian?

Korang juga boleh buat penilaian dengan mengkaji ‘track record’ pemaju itu.

Kalau dah tahu sesebuah syarikat itu pernah ada rekod projek terbengkalai dan bermasalah, tak perlu kita buang masa ambil risiko membeli hartanah daripada mereka.

#3 : Kaji status lesen perumahan pemaju

Semak dulu dengan pihak kementerian sama ada pemaju itu ada lesen pemajuan perumahan, serta permit iklan dan jualan untuk jalankan sesuatu projek perumahan.

Syarikat pemaju perlu ada lesen dan permit ini, sebelum mereka boleh jalankan projek pembinaan dan menjual kat orang ramai.

Ia boleh jadi satu kesalahan di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) untuk mana-mana pemaju yang gagal dapatkan lesen dan permit ini.

Biasanya, syarikat pemaju akan menulis dan paparkan nombor lesen serta permit ini, kat setiap ‘notice board’ atau pamplet (risalah) yang mereka keluarkan.

Kalau nak lebih selamat, kita boleh hubungi dan semak dengan kementerian tentang perkara ini. Pastikan lesen pemajuan dan permit iklan syarikat pemaju itu benar-benar sah.

#4 : Minta salinan geran hartanah daripada pemaju

Dah korek segala maklumat yang perlu dicari pasal syarikat perumahan? Bagus.

Yang penting, pastikan syarikat pemaju itu benar-benar berpengalaman dan kukuh dalam menjalankan sesuatu projek perumahan.

Sekarang, baru korang boleh tanya tentang rumah yang korang nak beli itu kat mereka. Cuma, ada satu perkara yang penulis nak ingatkan.

Sebelum korang buat keputusan membeli, minta dulu salinan geran rumah dengan pemaju, dan sahkan dokumen itu kat Pejabat Tanah.

Sebagai tambahan, korang juga boleh minta kat pemaju salinan Lesen Pemajuan Perumahan dan Permit Iklan dan Jualan untuk buat pengesahan rasmi kat kementerian.

#5 : Fahamkan terma yang terkandung dalam Perjanjian Jual Beli, sebelum tandatangan dokumen

Kalau dah cukup berpuas hati dengan kondisi fizikal, status tanah, dan lain-lain perkara tentang hartanah yang nak dibeli, korang boleh teruskan untuk buat perjanjian jual beli dengan pemaju.

Tak perlu tergesa-gesa untuk tanda tangan surat perjanjian selagi korang belum puas hati dengan hartanah dan syarikat pemaju itu.

Masa ini, korang boleh tanya apa saja kat mereka. Sahkan setiap perkara yang korang nak tahu dengan pihak pemaju.

Sebab lepas dah tanda tangan surat perjanjian, korang akan terikat dengan terma dan perjanjian yang terkandung dalam surat jual beli itu.

Ini bukan perkara main-main. Perkara ini akan libatkan bab perundangan.

Kalau langgar perjanjian, kita ada potensi dicas atas undang-undang berkaitan hartanah dan bayar pelbagai denda atau penalti.

Korang tak nak perkara ini berlaku, kan?

Baca dan fahamkan terma-terma penting yang terkandung dalam perjanjian jual beli itu, sebelum korang turunkan tanda tangan.

Tanya apa saja tentang terma yang ada dalam perjanjian itu kat peguam yang korang lantik. Ada sesetengah pemaju akan minta korang tanda tangan perjanjian jual beli kat hadapan mereka.

Sebenarnya, korang ada hak untuk tanda tangan perjanjian itu kat hadapan peguam yang dilantik. Ini supaya korang boleh tanya apa saja pasal perjanjian yang korang kurang jelas dan tak faham.

Lepas korang benar-benar puas hati, baru tanda tangan perjanjian jual beli itu.

Adakah perkongsian ini membantu korang?

Kalau boleh, Tok tak nak korang jadi mangsa penipuan bila nak beli hartanah nanti.

Dunia sekarang, ramai orang jadi buta pasal duit. Semua nak kaut untung dengan mudah. Dan korang boleh elakkan masalah ini dengan ilmu yang baik, In Shaa Allah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *