Elakkan duit bocor guna 7 strategi ini.

Elakkan duit bocor guna 7 strategi ini.

5301
2
SHARE
Ebook Takde Duit Boleh Beli Rumah Ke
Ebook Takde Duit Boleh Beli Rumah Ke

Pengaruh emosi adalah salah satu punca utama yang gagalkan kita mengurus kewangan dengan baik.

Sebab itu kena cari ilmu dan disiplinkan diri dalam bab ini. Kalau tak, potensi kewangan kita ke laut adalah amat besar.

Lihat dan kaji cara orang dulu-dulu buat duit.

Mereka tak gemar simpan duit kertas. Tapi simpan kekayaan mereka dalam bentuk harta sebenar seperti tanah kebun, emas, rumah, dan sebagainya.

Elok lagi kita letak matlamat kita untuk kumpul harta berbanding kumpul “cash” banyak-banyak.

Dan bila kita menyimpan dalam bentuk harta sebenar, kita sedang melatih diri untuk elakkan kewangan daripada bocor.

Dan hari ini, Tok nak kongsikan tip nukilan Tuan Mohd. Zulkifli yang boleh elakkan kewangan kita daripada bocor teruk.

Tip #1: Bayar diri sendiri dulu setiap kali sebelum berbelanja.

Lepas dapat duit gaji (atau hasil bisnes), bayar diri kita sendiri dengan menambah simpanan. Duit lebihan yang ada, baru boleh kita belanjakan.

Bukan berbelanja dulu, baru simpan. Ini adalah strategi yang salah. Tapi, masih ramai yang amalkan benda ni.

Logiknya begini. Kalau kita dah berbelanja, kita ada potensi besar untuk habiskan duit itu. Bila duit habis, apa yang kita dapat simpan?

Disiplin adalah isu utama yang berbangkit kat sini. Dapat sahaja gaji, ceraikan (sekurang-kurangnya sebanyak 10% daripada gaji atau hasil bisnes) untuk kita masukkan dalam simpanan.

Cara ini dah terbukti berkesan dan dapat selamatkan duit kita daripada bocor.

Tip #2: Tukarkan duit kepada harta fizikal.

Kalau kita ada duit simpanan untuk jangka masa panjang, tukarkan duit itu ke dalam bentuk harta sebenar seperti emas, tanah, rumah sewa, atau sebagainya.

Tanpa lengahkan banyak masa, tukarkan duit tunai kepada harta berbentuk fizikal.

Bila dah tukar, kita tak senang-senang nak keluarkan tunai dan layan nafsu berbelanja. Dan ini boleh selamatkan kewangan kita daripada bocor dengan berkesan.

Tambahan pula, harta seperti ini bukan sahaja boleh selamatkan duit korang. Ia juga boleh jana pendapatan pasif serta dibuat sebagai pelaburan jangka masa panjang.

Tapi, jangan pula kita abaikan simpan duit kecemasan. Duit tunai itu masih penting sebab setiap transaksi guna duit. Kalau kita hidup dalam dunia yang gunakan sistem barter, itu lain cerita.

Tip #3: Potong punca “kanser kewangan” ini.

Kad kredit adalah lubang hutang paling mudah. Dah ramai orang terkandas dek penggunaan kad kredit yang tak terkawal.

Ramai yang terpedaya dan jadikan kad kredit sebagai simbol status, dan akhirnya ia memakan diri pengguna. Kalau tak berjaga-jaga, silap-silap boleh kena sakit jantung bila bil sampai kat rumah.

Mana taknya. Tahu-tahu, hutang kad kredit dah bertimbun.

Kadar bunga (interest) pula bukan sikit, tapi berbukit. Ia lagi tinggi berbanding pinjaman lain. Kalau lambat jelaskan hutang, ada kompaun yang tinggi pula.

Langkah terbaik yang boleh kita buat adalah dengan memotong kad kredit yang ada. Tapi bukan semua. Tinggalkan satu kad kredit yang boleh kita gunakan sebagai “back-up”.

Tip #4: Amalkan berbelanja secara tunai.

Sikap suka berhutang boleh bahayakan kesihatan kewangan kita untuk jangka masa panjang.

Tukar tabiat buruk ini. Kalau nak beli sesuatu barangan, beli secara tunai, supaya kita dapat rasa setiap duit yang keluar. Lebih baik lagi, simpan segala resit atau bukti perbelanjaan sebagai rekod.

Dengan cara ini, kita boleh kaji dan kesan setiap duit yang bocor dengan mudah. Ini adalah tabiat yang orang kaya suka amalkan.

Jauhi segala bentuk bayaran secara insuran, beli dulu bayar kemudian, skim bayaran mudah, atau “zero interest payment”.

Walaupun sedap telinga kita dengar dan secara matematiknya buat kita rasa untung, ia memupuk diri kita dengan tabiat suka berhutang secara tak sedar (subconsciously).

Tip #5: Langsaikan hutang kecil terlebih dahulu.

Dah jadi lumrah manusia. Kita perlukan motivasi untuk bergerak atau buat sesuatu tindakan. Konsep ini juga berkait rapat dengan hal kewangan kita.

Dengan melangsaikan hutang kecil, ini akan jadi “benchmark” dan buatkan kita bersemangat untuk langsaikan hutang lain yang ada.

Bila kita berjaya selesaikan segala hutang, perkara ini buatkan kita rasa malas nak tambah hutang lain (kecuali “hutang baik” yang buatkan kita bertambah-tambah kaya).

Ini bagus sebab kita tak senang-senang buat keputusan untuk tambah hutang baru, yang tak berikan manfaat kat kewangan kita.

Nota Tambahan: Langsaikan hutang dengan kadar bunga (interest) yang paling tinggi dahulu, kalau kita ada 2 hutang yang jumlahnya lebih kurang sama.

Tip #6: Buat “hutang baik” dan tambah koleksi harta fizikal anda.

Cuba tanya diri kita sendiri dengan soalan ni:

“Apakah perkara yang kita akan buat lepas dapat kenaikan gaji (atau pendapatan bisnes meningkat)?”

Adakah korang akan tukar kereta baru, atau pakai motor besar? Atau tambah koleksi rumah sewa, beli tanah, atau cari pelaburan yang tambah pendapat pasif?

Cara kita gunakan duit “lebih” ini boleh mempengaruhi kesihatan kewangan kita.

Bila dapat kenaikan gaji (atau pendapatan bisnes meningkat), manfaatkan kelebihan ini untuk tambah hutang baik.

Ia beratus-ratus kali ganda lebih baik berbanding tukar barangan peribadi dan menjadi hamba nafsu berbelanja.

Bila tambah hutang baik, kita akan terpaksa jadi lebih kaya. Cuma, ia mesti diurus dengan baik dan teratur supaya tak makan diri kita balik.

Pada pandang Tuan Mohd. Zulkifli dan Tok, semua orang boleh menyimpan duit. Yang jadi isu adalah cara kita gunakan duit itu.

Disiplin juga satu lagi isu. Kalau tak latih diri mulai sekarang, tak perlu hairan kalau kewangan kita selalu bocor.

Tip #7: Elakkan tabiat “window shopping”.

Ini satu lagi tabiat yang berpotensi tinggi buatkan kewangan kita kerap bocor.

Mula kurangkan tabiat suka merayau-rayau kat kompleks membeli-belah, suka menyemak brosur (risalah) promosi dalam peti surat atau surat khabar, meronda-ronda kat pasar malam, dan lain-lain perkara yang sama.

Ini berdasarkan pengalaman sebenar Tuan Mohd. Zulkifli. Beliau dah tinggalkan tabiat ini selama bertahun-tahun, dan ia jelas terbukti berkesan elakkan kebocoran daripada berlaku.

Adalah kes biasa. Kalau nak ke pasar malam, ingat nak beli 7 barang sahaja. Tapi perasan tak? Bila balik rumah, mesti ada barang lebih yang kita beli?

Kewangan bukan sekadar matematik semata-mata. Ia juga bergantung kat pengurusan emosi. Bila tengok barangan yang kita tak perlukan, masih ada kemungkinan yang kita akan jatuh hati dan akhirnya terbeli.

Strategi terbaik adalah elakkan diri daripada ke tempat yang berpotensi buatkan kita keluarkan duit.

Kalau dah kat kompleks membeli-belah, susah untuk kita kawal emosi ini. Jadi, lebih baik elakkan awal-awal daripada terjebak dan terperangkap secara tak sedar.

Gaji yang banyak tak jadi penentu kita boleh menyimpan banyak. Kalau banyak wang bocor, sampai ke sudah tak meningkat simpanan kita.

Tok harap korang semua tak macam ini. Itu sebab korang baca artikel ini, betul? Dengan izin Allah S.W.T, Tok harap korang dapat capai matlamat yang korang inginkan.

Semoga berjaya, Tok doakan sentiasa.

Photo by Harry Wood

2 COMMENTS

LEAVE A REPLY