PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

Bajet 2019 : Kemas kini berkaitan hartanah yang anda patut tahu

Dah jadi kerja ruji setiap tahun, Tok akan tengok pembentangan Bajet 2019 negara kita yang tercinta.

Dan macam biasa, Tok akan fokus gila-gila pada hal berkaitan hartanah.

Buat korang yang terlepas tengok sesi pembentangan bajet tadi, Tok dah simpulkan kemas kini berkaitan hartanah yang korang patut tahu.

Harga rumah kurang sebanyak 10%?

1. SST – Kerajaan telah mengumumkan pengecualian SST ke atas perkhidmatan pembinaan dan bahan binaan.

Sebagai balasan, persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REDHA) telah bersetuju untuk mengurangkan harga rumah sebanyak 10%, yang tidak tertakluk kepada kawalan harga untuk projek baru.

2. Kerajaan bercadang untuk mewujudkan Amanah Pelaburan Hartanah (AHB) bagi lapangan terbang atau Airport Real Estate Investment Trust (REIT) yang pertama di dunia.

Melalui inisiatif ini, Kerajaan berharap dapat meraih dana sebanyak RM4 bilion daripada penjualan 30% ekuiti REIT kepada institusi pelaburan yang berpeluang memegang aset infrastruktur yang berkualiti.

3. CHKT (atau RPGT) – Kerajaan akan memperkemaskan Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) ke atas keuntungan daripada pelupusan harta tanah dan saham dalam syarikat hartanah dalam tahun ke-6 dan tahun seterusnya, seperti berikut:

  • Bagi syarikat, inidividu bukan warganegara dan bukan pemastautin tetap, kadar CKHT dinaikkan daripada 5% kepada 10%; dan
  • Bagi individu warganegara dan penduduk tetap, kadar CHKT dinaikkan daripada 0% kepada 5%. Walaubagaimanapun, CHKT dikecualikan atas harga hartanah, rumah kos rendah, rumah kos sederhana rendah, dan rumah mampu milik di bawah RM200,000.

4. Kadar Duti Setem bagi pemindahan hartanah bernilai lebih RM1 juta akan dinaikkan sebanyak 1 mata peratusan daripada 3% kepada 4%.

Rakyat dapat bantuan deposit untuk beli rumah pertama

5. Hartanah tak terjual mecapai RM22 bilion – Pengecualian pembayaran duti setem untuk pembeli rumah pertama bernilai sehingga RM500,000.

Kerajaan akan memberi pengecualian duti setem sehingga RM300,000 yang pertama ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi tempoh 2 tahun sehingga Disember 2020.

6. Rumah mampu-milik – Kerajaan akan terus membina dan menyiapkan rumah mampu milik dengan peruntukan hampir RM1.5 bilion untuk Program Perumahan Rakyat, Perumahan Penjawat Awam Malaysia, PR1MA dan Syarikat Perumahan Nasional Bhd demi memastikan bekalan rumah mencukupi.

7. Bantu deposit untuk pembeli rumah pertama – Bagi pembeli rumah pertama dengan pendapatan isi rumah sehingga RM5,000, Kerajaan akan memperuntukkan RM25 juta kepada Cagamas Berhad untuk menyediakan jaminan pajak gadai bagi membolehkan peminjam mendapat pembiayaan yang lebih tinggi termasuk bayaran deposit.

Langkah ini dijangka memberi penjimatkan kos di antara 7% sehingga 11% kepada pembeli rumah selain daripada apa-apa potongan diskaun yang ditawarkan oleh pemaju.

8. Pinjaman untuk kakitangan Kerajaan – Kerajaan akan memanjangkan tempoh pembiayaan perumahan sektor awam di bawah Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), di mana tempoh pembiayaan pertama daripada 30 tahun kepada 35 tahun; dan tempoh Pembiayaan Ke-2 daripada 25 tahun kepada 30 tahun.

9. Pinjaman untuk golongan B40 – Untuk membantu golongan berpendapatan tidak lebih daripada RM2,300 sebulan memiliki rumah buat kali pertama, dana berjumlah RM1 bilion akan ditubuhkan Bank Negara untuk pembelian rumah mampu-milik berharga sehingga RM150,000.

Mulai Januari 2019, dana ini tersedia di AmBank, CIMB Bank, Maybank, RHB Bank dan BSN melalui kadar pembiayaan terkurang serendah 3.5%.

Ini akan mengurangkan jumlah bayaran ansuran bulanan pembiayaan oleh peminjam untuk memiliki rumah, dan seterusnya lebih mudah mendapat pembiayaan. Dana ini disediakan untuk 2 tahun, ataupun sehingga peruntukan dihabiskan.

Pada pandangan personal Tok, banyak kelebihan yang pembeli rumah pertama tak patut lepaskan. Dah tak ada alasan untuk korang tak beli rumah lagi.

Nak beli rumah pertama pun dah senang. Harga RM150,000 tu, memang dah cantik sangat. Apa lagi yang korang nak?

Apa pendapat korang untuk pembentangan Bajet 2019 ini? Kongsikan pandangan korang dekat ruangan komen. Tok suka nak tahu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *