“Senang ke buat duit dengan Grab?” – Azroy

Rata-rata orang ramai yang bekerja di kawasan bandar, pasti dah pernah guna servis ini. Paling kurang, sekali.

Servis yang Tok maksudkan ini, dikenali sebagai Grab.

Seperti yang korang sedia maklum, Grab adalah servis e-hailing yang dicipta oleh anak Malaysia sendiri. Grab mudahkan korang untuk menempah servis dengan hanya menerusi smartphone (telefon pintar).

Bermakna, lebih senang untuk korang ke mana-mana menggunakan servis ini. Tambah pulak, permintaan (demand) untuk servis ini semakin meningkat dari hari ke hari.

Dan ini adalah peluang baik untuk korang untuk buat ‘duit tepi.’ Jemput hadamkan laju-laju.

#1: Sebagai pendapatan sampingan untuk tanggung belanja bulanan?

Untuk korang yang gaji sentiasa tak cukup setiap bulan, Grab adalah peluang pekerjaan separuh masa yang sesuai untuk korang buat.

Pemandu Grab jugak ada pilihan untuk menerima atau menolak permintaan pelanggan.

Ini yang paling menarik tentang perkhidmatan ini. Kalau ada sebarang kecemasan (contohnya ahli keluarga sakit, atau sebagainya), korang boleh pilih untuk tolak permintaan pelanggan tersebut.

Biasanya, style ini digunakan mereka yang kerja secara separuh masa (part-time) sebagai pemandu Grab. Sambil tengah on the way balik kerja tu, korang ada peluang untuk jana duit mudah. Best, kan?

Satu je yang korang kena pastikan. ‘Acceptance rate’ korang jangan jatuh lebih 30%. Atau korang akan ‘diberhentikan’ kerja oleh syarikat Grab.

Macam mana nak pastikan ‘Acceptance Rate’ korang stabil dan normal?

Korang boleh letak target setiap hari. Korang sendiri tentukan berapa maksimum pelanggan yang korang nak dapatkan. Dah berjaya capai target, korang boleh balik dan berehat tanpa perlu pening kepala.

#2: Sumber tambah tabung simpanan

Grab juga boleh jadi sumber untuk korang tambah simpanan. Takde la korang bergantung kat gaji kerja hakiki korang semata-mata.

Semua ni, tak mustahil untuk korang capai selagi korang berdisiplin dan sentiasa dapat capai target yang korang tetapkan setiap bulan tu.

Tok sediakan kiraan kasar supaya korang lebih mudah faham:

  • Komisyen Grab = 25%
  • Kos minyak & Tol = 25%
  • Kos selenggara kereta = 10%
  • Jumlah Untung Bersih = 40%

Kita ambil satu contoh. Katakan, korang target nak dapatkan RM150 (untung) dalam 1 hari.

Jadi, kiraan korang akan jadi macam ni:

  • Komisyen Grab (25%) = RM37.50
  • Kos minyak & tol (25%) = RM37.50
  • Kos penyelenggaraan (10%) = RM15.00
  • Untung bersih yang korang dapat (40%) = RM60

Nampak tak? Sambil jalan-jalan pick up orang, korang boleh dapat RM60 sehari. Dah la korang tak payah berpanas terik, atau kena layan kepala beku sebab duduk dalam pejabat tu.

Dengan jumlah pendapatan ni, korang boleh pilih sama ada nak jadikan sebagai sumber untuk tampung kos harian, atau sumber tabungan.

Yang penting, pastikan korang asingkan duit gaji dengan pendapatan Grab. Baru korang boleh uruskan duit korang tu secara efektif.

#3: Modal pemulaan, tak tinggi mana?

Korang tak perlukan modal yang tinggi untuk mulakan bisnes ni.

Yang wajib korang sediakan adalah sebiji kereta (yang berusia tak lebih 10 tahun dari tarikh pembelian, atau pendaftaran), dan bayar yuran kat syarikat Grab dengan komisyen dikira berdasarkan pendapatan korang.

Sebenarnya, korang boleh je beli kereta baru untuk jalankan bisnes Grab ni.

Daripada kereta tu jadi liabiliti semata, baik lagi beli kereta tu dan jana pendapatan sampingan. Takde la duit korang keluar macam tu saja untuk tanggung kos penyelenggaraan kereta.

“Selain kereta dengan lesen, apa lagi yang perlu saya sediakan Tok?”

Teruskan bacaan kalau korang serius nak tahu.

#4: Ini langkah-langkah mudah jadi pemandu Grab yang awesome

Korang boleh pilih sama ada nak jadi pemandu Grab sepenuh masa (full-time) atau separuh masa (part-time).

Buat masa ni, korang boleh mendaftar sebagai pemandu Grab secara percuma. Pada masa akan datang, Tok tak tahu.

Dan sebelum korang mendaftar sebagai pemandu Grab, korang wajib penuhi syarat-syarat berikut:

  • Warganegara Malaysia dan mempunyai Kad Pengenalan,
  • Mempunyai lesen memandu penuh yang sah (yang lesen ‘P,’ tak layak memohon),
  • Berumur 18 tahun ke atas. Kalau 50 ke atas, perlu buat pemeriksaan kesihatan,
  • Perlu gunakan kereta tahun 2009 ke atas saja,
  • Nama pemandu ada dalam insuran kereta tersebut,
  • Tak ada sebarang rekod jenayah dan saman lampau.

Lepas tu, korang kena sediakan dokumen dan boleh mengambil gambar dengan menggunakan smartphone korang. Dengan syarat, gambar tu kena jelas.

Ciri-ciri gambar tu adalah seperti berikut:

  • Gambar muka paras dada. Elakkan pakai cermin mata untuk gambar ni. Korang juga kena pegang Kad Pengenal di bahu,
  • Kad Pengenalan (depan),
  • Lesen memandu (depan),
  • Nota perlindungan insuran kereta (pastikan ada nama korang, nombor perlindungan insuran, tarikh tamat, nombor plat kereta, model kereta, dan tahun pengeluaran),
  • Endorsement (jika tambah nama dalam insuran).

#5: Apa lagi peluang lain, selain Grab?

Susulan perkembangan servis e-hailing di Malaysia, ada syarikat baru yang wujud bagi merancakkan industri perkhidmatan ini.

Korang pernah dengar MyCar?

MyCar adalah aplikasi e-hailing terbaru dalam Malaysia yang sudah beroperasi sejak 1 Februari 2018.

Syarikat ini adalah milik penuh Platform Apps Sdn Bhd. MyCar dibangunkan melalui teknologi platform terkini, dengan kerjasama syarikat teknologi maklumat kat Amerika Syarikat.

MyCar ada visi untuk mengimbangkan industri e-hailing kat Malaysia ini, dan menjadi pesaing yang lebih berdaya saing dan kreatif dengan pemain industri lain seperti Grab.

Malahan selepas Uber menutup operasi mereka kat Asia Tenggara mulai 8 April 2018, MyCar bertekad menjadi benchmark ke-2 selepas Grab.

Data MyCar terkini telah merekodkan lebih 5,000 rakan pemandu, dan 15,000 pelanggan MyCar telah berdaftar sebagai pengguna dalam platform mereka selepas 2 bulan beroperasi.

MyCar ni dah beroperasi kat seluruh negara dan dah dapat tempahan kat hampir semua bandar utama dalam Malaysia, terutama sekali kat Lembah Klang serta Sabah, Kelantan dan Johor.

Mereka (MyCar) menekankan aspek harga tambang yang berpatutan. Sebagai contoh, MyCar menawarkan harga terendah ke KLIA sebanyak RM55 saja.

Ini lebih murah berbanding platform lain, yang kenakan harga sebanyak RM65, dan caj ini tak temasuk kos tol untuk ke KLIA.

Dari aspek kebajikan pemandu, MyCar memperjuangkan hak pemandu terutama mereka yang telah ditamatkan perkhidmatan platform e-hailing yang lain. Dengan syarat, korang tak terlibat dengan aktiviti jenayah dan sebarang penyalahgunaan aplikasi, atau lebih dikenali sebagai ‘gaming.’

MyCar jugak mengamalkan konsep kongsi keuntungan yang maksima kepada pemandu (sebanyak 85%) dari jumlah tambang untuk para pemandu, dan 15% komisyen untuk MyCar.

Boleh kata, korang boleh buat lebih sebagai sumber tabung simpanan.

#6: Syarat-syarat dan langkah nak buat MyCar

Untuk menyahut seruan kerajaan melalui Akta Pengangkutan Awam (2017), MyCar gabungkan perkhidmatan teksi dalam platform MyCar.

MyCarCab adalah pilihan terbaru dalam aplikasi MyCar, di mana pelanggan boleh terus menempah untuk mendapatkan perkhidmatan teksi saja.

Manakala MyCarNow pula adalah tempahan untuk cari kenderaan paling dekat dan cepat, sama ada teksi (MyCarCab) atau kenderaan peribadi (MyCarEconomy).

Berikut adalah 6 kategori dalam platform MyCar yang korang patut tahu:

  • MyCar Economy

Kereta sedan dan ompak sepert Perodua Bezza dan Myvi.

  • MyCar Premium

Kereta kelas C dan ke atas, bermula dari 1,800 CC ke atas seperti Toyota Altis, Honda Civic, Nissan Sylphy, Toyota Camry, Honda Accord, dan lain-lain.

  • MyCar MPV Premium

Kereta MPV seperti Toyota Vellfire, Toyota Estima, Toyota Innova, Nissan Serena, Honda Odyssey, Kia Carnival, Mazda Biante, dan sebagainya.

  • MyCar Cab

Teksi sah yang berdaftar.

  • MyCar Now

Semua kereta di atas.

Ini petikan dari Utusan Online, yang Tok nak kongsikan kat korang:

“MyCar juga mengikut garis panduan yang telah dikeluarkan oleh agensi kerajaan seperti SPAD (Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat) dan JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan).

MyCar juga sangat menggalakkan orang ramai mendaftar menjadi pemandu.

MyCar juga menggunakan konsep ‘komuniti bersama pemandu’ untuk menjaga kebajikan mereka.

Permohonan yang berminat untuk menjadi pemandu, boleh hubungi 03 – 3358 7846 untuk mengetahui ejen yang dilantik MyCar di lokasi masing-masing, dan sertakan sekali salinan kad pengenalan, lesen memandu, geran kenderaan, dan lokasi.

MyCar bersedia menerima permohonan antara 800 hingga 1,000 sehari.”

Grab atau MyCar adalah antara sumber pendapatan alternatif terbaik yang ada pada masa sekarang. Terutama sekali untuk korang yang menetap di kawasan bandar.

Bab permintaan untuk servis ini, sentiasa ada dan semakin berkembang dari masa ke semasa. Jadi, peluang buat duit tu sentiasa ada.

Yang jadi soalan, korang nak buat atau tak saja. Faham tak apa Tok cakap ni?

53 Shares

Leave a Reply