“Baru tahu langit tinggi rendah” – Ini realiti bekerja di bumi Kangaroo

Australia dikenali dalam kalangan masyarakat umum di negara kita pada hari ini sebagai pilihan utama bagi mereka yang ingin bekerja dan mencari pengalaman menetap di negara luar.

Tapi apakah realiti sebenar yang dihadapi rakyat kita yang bekerja di sana?

Ikuti posting dari saudari Ches Al-Maliki ini yang merungkai dan menjawab persoalan yang sering ditanyakan perihal kerja di Australia.

Kerja dekat negara orang, rasa macam Bangla?

Selama 3 tahun berada di negara kanggaru itu, bermacam-macam kerja saya lakukan untuk meneruskan hidup. Pemandu pelancong, ejen jual beli kereta, kerja ladang, semua saya buat. Saya menunggu waktu ini (kembali ke Malaysia) untuk buka kisah ini.

Hah, baru tahu langit tinggi rendah di negara orang. Saya sudah rasa hidup menjadi ‘pendatang’ di negara orang. Mungkin setaraf dengan orang Bangladesh ataupun orang ‘pilak’ (pendatang Filipina di Sabah) yang cari makan di Malaysia, begitulah saya di Australia. Sebijik!

Ditambah lagi tidak punya dokumen yang sah (lebih kurang macam tiada IC). Jadi kalau nampak saya bermesra-mesraan dengan orang Bangladesh dimana-mana, itu adalah perkara biasa. Sebabnya saya telah menjadi sebahagian daripada ‘hidup’ mereka. Kami berkongsi rasa yang sama.

Kau yang duduk di kerusi eksklusif itu, kalau tidak mahu menyapa mereka dengan Assalamualaikum pun, paling kurang usah pandang para manusia ini dengan level kelas ke-2, kerana spesis kita adalah sama iaitu MANUSIA!

Saya akan respon beberapa perkara yang menjadi persoalan banyak pihak.

1) Betulkah wujud kerja ladang di Australia tu, seperti yang diuar-uarkan oleh media massa?

Jawapannya, YES! Betul.

Australia dikenali sebagai sebuah negara pengeluar dan pengeksport utama hasil pertanian negaranya, 61% daratan Australia diusahakan menjadi ladang. Ianya bukan SCAM.

Untuk pengetahuan kalian:

TIDAK ADA EJEN YANG RASMI YANG MEMBAWA MASUK PARA PEKERJA MALAYSIA UNTUK BEKERJA LADANG DI AUSTRALIA

Mereka yang membuat iklan di FB atau mana-mana blog atau membuat iklan mengenai ladang Australia, adalah tanpa pengetahuan pihak Imigresen Australia.

Lebih kurang seperti sindiket sebenarnya. Jika diketahui oleh pihak imigresen tentu orang ini akan dihantar pulang ke Malaysia dan dihalang (banned) selama 3 tahun daripada masuk ke Aussie.

Ini adalah peraturan. Disisi undang-undang negara memang ‘HARAM’ sebenarnya menyeludup masuk orang dan bekerja diladang tanpa permit kerja yang sah. Ini yang saya lalui sendiri.

Perlu di bezakan. ‘HARAM’ disini maksudnya melanggar undang-undang Australia, kerana bekerja tanpa permit. Ibarat orang yang menjaja di tepi jalanraya, tetapi tidak punya lesen niaga (mereka dianggap penjaja ‘haram’).

Ejen sembang kencang, b*** pun boleh terbang?

Tetapi jika berlaku transaksi jualan/belian di antara penjaja tersebut dengan pembeli, adakah duit yang diterima itu haram?

TIDAK! Kerana pembeli dan penjual redha diantara 1 sama lain.

Penjual cuma melanggar peraturan (tidak ada permit) dan tidak termasuk dalam ‘HARAM’ (hukum Islam). Perlu dibezakan ‘HARAM’ (hukum Islam) dan juga ‘HARAM’ (istilah orang Melayu). Sama dengan konteks pekerja ladang.

Dalam hal ini saya berani sembang tentang hukum ‘HARAM’ kerana saya tahu keadaan sebenar dan sekaligus saya tujukan pada para ‘Eksklusivers’ diluar sana yang seronok menjatuhkan hukum ‘HARAM’ pada para pekerja ladang!

Ramai yang membuat pelanggaran undang-undang ini, kerana? TERPAKSA.

Namun soal EJEN RASMI ataupun TIDAK, itu bukanlah kerja saya. Kita biarkan pihak imigresen Australia selesaikan.

Cuma yang buat saya bengang adalah, para ejen ni menipu dan kebanyakkannya bangsa kita sendiri. Melayu makan melayu! Melarikan duit orang.

But sorry to say, secara jujurnya saya tidak bersimpati 100% pun pada mereka yang ditipu oleh ejen.

Kerja ladang ni, kerana kalian sendiri yang meletakkan diri untuk mudah ditipu. Si penipu apa lagi, tangkas mengambil peluang. Kasihan tu, memang ada. Tapi sepatutnya diri sendiri perlu ada backup plan. Pada ejen yang ikhlas berkongsi, saya tabik hormat pada kalian.

Ingatan buat semua amalkan sikap berhati-hati dalam semua keadaan apatah lagi mahu ke luar negara melalui orang (ejen). Elak serahkan 100% kepercayaan pada orang yang baru di kenali. Buat kajian/bacaan tentang ladang. Jangan MALAS.

Buat para ejen yang MENIPU, just want to say kejap saja kau diatas tu, duit yang kau copet tu pasti akan membuatkan kau merana, kalau bukan hari ni, mungkin esok.

Lagi 1, buat para ejen yang membawa masuk orang Malaysia di Aussie tu, sembang tu jangan kencang sangat, 4 musim (season) tu kena bagi clear dengan budak-budak kau. Jangan musim winter pun kau hentam bawa masuk budak. Pada yang terkinja-kinja mahu bekerja di Aussie tu, kau pun sama, tunggu musim yang sesuai (musim panas, atau summer).

Apa-apa pun, nasihat saya – buatlah secara legal, ada cara. Boleh rujuk buku saya, Graduan Ke Ladang).

2) Menjadi Pekerja Ladang di Australia, tidaklah teruk sangat

Jangan samakan pekerja asing Malaysia dan menjadi pekerja asing di Australia. Agak-agaklah bro! Ni untuk info kalian, Australia berstatus negara maju dan mereka sangat mengagungkan Human Rights.

Pada mereka selagi namanya MANUSIA, tidak kira apa status pekerjaan, kau pendatang haram ataupun bukan, mereka tetap melayan kita seperti manusia bukan binatang. Tidak kira, warna kulit hitam putih, ketiak berbau ataupun wangi semuanya diperlakukan seperti MANUSIA! Yes, that is the truth.

Jadi, janganlah ada bunyi-bunyi kurang siuman mengatakan menjadi pekerja ladang, DIKERAH seperti lembu dan seumpamanya.

Tiada istilah hamba, kerana diakhirnya ianya adalah pilihan sendiri.

Kalau hamba definisinya dipaksa. Pekerja ladang ni, dibayar gaji. Kalau tak suka kerja ni, boleh berhenti anytime dan pindah kerja lain.

Nak kerja boleh, tak nak kerja pun boleh. Terpulang sama you. Tapi yang pergi gatal mahu kerja susah tu, dah kenapa? Kalau tak mahu di-push (dipaksa), dimaki, kerja tengah panas, silakan minta kerja di office berhawa dingin. Tiada halangan.

Mereka yang jenis banyak bunyik ni, banyak komplen, banyak sembang, angan-angan tinggi tapi kerja slow. 

Kena tegur sikit, dah melenting. Kena maki dengan bos, mula la menitik air mata. Sebenarnya mahunya apa? Seolah-olah mereka tidak memahami bahawa kerja ladang itu dipakejkan dengan selut lumpur, hujan panas dan maki hamun.

Okay, I should stop here.

Pengalaman melihat, merasai dan bergaul dengan pelbagai latar belakang. Membantu saya untuk melihat kehidupan yang terlalu luas ini dan bagaimana kita orang “agama” berinteraksi dengan kepelbagaian. Saya telah meletakkan diri dalam keadaan yang “kotor” semata-mata untuk memahami cara hidup orang lain

Tok rasa tak salah untuk korang yang berminat nak pergi kerja di sana, cuma Tok nak ingatkanlah, bila dah masuk rumah orang tu, adab kena la jaga, kena hormat tuan rumah.

Banyak isu pekerja Malaysia yang menetap di sana sampai melebihi tempoh yang ditetapkan dalam permit, dan benda ni sedikit sebanyak mencemarkan imej negara kita

Jadi, tak kiralah di mana pun kita berada, patuhi undang-undang, nescaya hidup lebih bahagia, aman dan tenteram.

306 Shares

Leave a Reply