Bandar Kinrara – Pusat Graviti Yang Tersembunyi

Oleh: Fakhrul Hakim / Jan 3, 2019

Lain macam betul tajuk analisa kawasan kita kali ini. Apa yang menyebabkan Bandar Kinrara ni digelar pusat graviti yang tersembunyi?

GH Masterclass

Ikuti kupasan dan hasil tinjauan serta hasil analisa kawasan dari saudara Fakhrul.

Pernah sampai ke Bandar Kinrara?

Pada siapa yang tak pernah dengar atau macam pernah dengar tapi tak pasti lokasi sebenar kawasan ni kat mana, apa yang ada kat sini dan berbaloi tak nak beli hartanah kat sini, jom kita tengok apa yang menarik pasal Bandar Kinrara.

Sebelum tu, jom kita tengok pasal Kinrara secara amnya dulu.

Kinrara ni letaknya dalam daerah Puchong, Selangor. Bersempadan dengan Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Kawasan Kinrara ni luas dan terbahagi pula kepada beberapa kawasan seperti Bandar Kinrara, Taman Kinrara, Taman Bukit Kinrara, Puncak Kinrara, Duta Kinrara dan Warna Kinrara.

Kita letak tepi dulu kawasan-kawasan tu sebab kali ni kita fokus pada Bandar Kinrara sahaja dulu.

Bandar Kinrara atau lebih dikenali sebagai BK oleh penduduk di sini adalah kawasan terawal dalam Kinrara yang dibangunkan pada tahun 1991 oleh pemaju Island & Peninsular (I&P).  

Bermula dengan taman perumahan Bandar Kinrara 1 (BK1), diikuti dengan Bandar Kinrara 2 (BK2) dan seterusnya sampailah Bandar Kinrara 9 (BK9).

Kawasan seluar 1904 ekar ini dibangunkan sebagai kawasan perbandaran yang kini mempunyai sejumlah 14,500 unit rumah kediaman dengan anggaran 72,500 populasi seperti yang dilaporkan oleh pemaju.

Dengan angka ini, Bandar Kinrara adalah antara kawasan yang padat dengan penduduk di Puchong dan menjadi tumpuan ramai untuk tinggal.

Banyak faktor yang menyumbang kepada ni. Jom kita tengok satu-satu.

Akses yang mudah

Tak dinafikan, ini adalah perkara paling penting membuatkan ramai yang memilih Bandar Kinrara sebagai tempat tinggal mereka. Bandar Kinrara boleh diakses dengan mudah melalui 4 lebuhraya penting berikut:

  • Lebuhraya Bukit Jalil
  • Lebuhraya Damansara Puchong (LDP)
  • Lebuhraya MEX
  • Lebuhraya KL Seremban

Dengan ada jaringan lebuhraya macam ni, memang senang untuk korang yang pergi kerja kat KL, Sungai Besi, Bukit Jalil, Puchong, Shah Alam atau Petaling Jaya.

Selain tu, korang juga boleh akses lebuhraya MRR2 melalui Bukit Jalil yang akan membawa terus ke kawasan Ulu Klang seperti Wangsa Maju, Taman Melawati, Ampang dan kawasan berhampiran.

Kalau nak ke Shah Alam pun senang. Boleh melalui Lebuhraya Bukit Jalil menghala ke Sunway dan terus akses ke Lebuhraya Shah Alam (Kesas) untuk ke Shah Alam dan Klang.

Kepada siapa yang memang pengguna tegar pengangkutan awam, perkhidmatan bas RapidKL memang ada kat sini.

Yang lagi menarik, korang pun boleh guna LRT untuk ke mana-mana dari Bandar Kinrara ni. Sebab kat sini memang ada stesen LRT Bandar Kinrara 5 yang menghubungkan korang ke pusat bandaraya KL, Masjid Jamek, PWTC, Puchong, Putra Heights dan banyak tempat lagi.

Tak payah dah nak memandu dan redah trafik. Jimat masa dan selesa.

     Stesen LRT Bandar Kinrara BK5 – sumber gambar EdgeProp.my

 

Sekolah

Satu lagi perkara penting untuk mak ayah semasa cari tempat tinggal dah tentu pasal sekolah. Kat sini bermula dari prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah tak perlu pening kepala nak fikir. Untuk sekolah rendah ada 3 sekolah kebangsaan dan 2 sekolah jenis kebangsaan:

  • Sekolah Kebangsaan Seksyen 1 Bandar Kinrara
  • Sekolah Kebangsaan Seksyen 2 Bandar Kinrara
  • Sekolah Kebangsaan Bukit Kuchai
  • Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Kinrara
  • Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Serdang

Untuk sekolah menengah pula ada SMK Seksyen 1 Bandar Kinrara dan SMK Seksyen 4 Bandar Kinrara.

Kalau nak cerita pasal prasekolah pula, memang ada banyak. Cakap je nak jenis macam mana. Dari Smartreaders, Brainybunch, CIC, Brighthill International dan macam-macam lagi.

Kalau ada ibu bapa yang nak hantar anak-anak mereka ke sekolah integrasi swasta kat sini ada Sekolah Integrasi Islam Puncak Jalil yang terletak di kawasan Kinrara Uptown.

Sekolah ini ada sediakan kedua-dua sistem sekolah rendah dan juga sekolah menengah.

Cuma, untuk pendidikan tertinggi macam kolej atau universiti belum ada kat sini. Mungkin sebab Bandar Kinrara ni dibangunkan lebih kepada kawasan petempatan, bukan fokus untuk menjadi bandar besar.

Walau macam mana pun, ada beberapa kolej atau universiti awam dan swasta yang tak jauh sangat.

Sebelah Bandar Kinrara iaitu kat Bukit Jalil ada 2 kolej swasta. Ada Kolej Apec, terletak dalam Technology Park Malaysia (TPM) dan juga Internation Medical University (IMU).

Dalam 30 minit ke kawasan Serdang dan Bangi dah ada beberapa lagi kolej dan universiti seperti UKM, UPM, Uniten dan lain-lain.

Kalau ke arah barat pula, dalam 15 ke 20 minit dah boleh sampai Bandar Sunway. Kat situ ada Universiti Sunway, Universiti Monash dan Kolej Taylor.

 

Kemudahan Yang Memudahkan Kehidupan

Satu-satu kawasan tu tak hidup kalau takde kemudahann asas untuk penduduk seperti hypermarket, pusat kesihatan, bank dan kedai makan.

Korang boleh dapat semua tu kat sini.

Untuk beli barang dapur tak payah pening-pening boleh terus ke hypermarket Giant Bandar Kinrara.

Nak barang dapur yang lagi segar dan banyak pilihan ada Pasar Borong Selangor yang korang hanya memandu dalam 15 ke 20 minit sahaja. Pasar borong ni beroperasi 24 jam.

Untuk siapa kaki wayang dan suka lepak kat shopping mall, dukacita dimaklumkan kat Bandar Kinrara tak ada shopping malls dan wayang.

Tapi korang tak perlu risau. Ada beberapa shopping malls yang berdekatan. Antaranya korang boleh tengok wayang kat ioi Mall, Setiawalk, Sunway Pyramid atau Mines Shopping Mall.

Jadi senang cerita, takdelah mati kutu sangat untuk siapa yang duduk sini kalau nak berlibur. Sebab jarak nak ke tempat-tempat tu tak jauh.

Kalau malas nak memandu ke ioi Mall misalnya, boleh terus ambil LRT ke sana. Dari stesen LRT Bandar Kinrara BK5 ke stesen LRT Ioi Puchong Jaya hanya satu stesen sahaja.

Biar betul satu stesen?

Betul, stesen LRT Ioi Puchong Jaya dengan stesen LRT Bandar Kinrara sebelah je. Naik LRT tak sempat nak duduk pun dah sampai dah. Jimat masa, jimat tenaga dan jimat duit parking.

Menarik, kan?

Kemudahan bank pun ada di Bandar Kinrara. Kat sini ada Maybank, Public Bank, Bank Islam dan juga RHB. Kalau ada urusan di bank lain, korang hanya perlu ke Puchong Jaya  je utk berurusan. Hanya 10 minit memandu.

Untuk memastikan hidup kita seimbang, kita kena juga jaga kesihatan dengan bersenam. Kalau badan memang dah sihat, apa kata kita cuba bina otot badan pulak kan. Barulah sado.

Di Bandar Kinrara korang tak perlu risau pasal benda-benda tu. Boleh tengok senarai gym atau tempat riadah yang ada kat sini:

  • Anytime Fitness
  • Fit2Core
  • Get Smart Gym & Fitness Center
  • Zelka Sports Centre (Gym, Futsal, Badminton)
  • Cricket Oval Bandar Kinrara
  • Kinrara Golf Club (18 lubang dan terbuka kepada orang awam)

Ni adalah pusat sukan dan riadah yang besar. Belum campur lagi pusat-pusat gym atau kawasan sukan yang kecil-kecil. Lagi banyak.

 

Kinrara Golf Club – Sumber gambar dari EdgeProp.my

 

Lepas dah bersukan atau dah penat bekerja, tak salah kalau nak reward diri dan keluarga dengan makan kat tempat best, kan? Korang boleh pilih makanan macam mana yang korang nak. Antara tempat makan yang terkenal dan sedap ada kat Bandar Kinrara ni:

  • Deretan gerai ikan bakar depan kem askar
  • Paparich
  • Old Town White Coffee
  • KFC
  • Subway
  • A&W
  • Mios Kitchen
  • Thread & Lilies café

Banyakkan kemudahan kat sini? Untuk info juga, kemudahan ni semua kebanyakkannya di kawasan Bandar Kinrara 5. Situ boleh dikatakan pusat bandar untuk Kinrara ni.

Hypermarket Giant Bandar Kinrara 5 – sumber gambar PlacesMap.net

 

Pusat Graviti Tersembunyi

Dalam banyak-banyak perkara yang menarik ramai orang untuk tinggal kat Bandar Kinrara ni sebab kawasan ni sebenarnya adalah titik tengah untuk Lembah Klang.

Macam mana pulak tu?

Kalau kita buka peta Lembah Klang, kita akan nampak Bandar Kinrara ni letak di tengah-tengah kawasan Lembah Klang. KL dan PJ di utara, Shah Alam dan Subang Jaya di sebelah barat, Cheras dan Sungai Besi di bahagian timur manakala Putrajaya dan Cyberjaya di belah selatan.

Dan ini dibuktikan lagi dengan korang boleh pergi ke bandar-bandar besar dalam maksimum 30 minit saja dari Bandar Kinrara

  • Bandar Kinrara ke KLCC ( 20 km atau 30 minit)
  • Bandar Kinrara ke Mutiara Damansara (21.5 km atau 32 minit)
  • Bandar Kinrara ke pusat bandar Shah Alam (26 km atau 30 minit)
  • Bandar Kinrara ke Cheras (25 km atau 30 minit)
  • Bandar Kinrara ke Menara MBPJ, Petaling Jaya (10 km atau 24 minit)
  • Bandar Kinrara ke Subang Jaya (9 km atau 16 minit)
  • Bandar Kinrara ke Putrajaya (23 km atau 31 minit)
  • Bandar Kinrara ke Cyberjaya (22 km atau 32 minit)

          Peta Lembah Klang dan Lokasi Bandar Kinrara – sumber Google Map

 

Boleh nampak tak betapa strategiknya Bandar Kinrara ni?

Jadi kalau contohnya suami kerja kat KL, isteri kerja di Putrajaya. Bandar Kinrara adalah kawasan yang ideal untuk tinggal.

Sebab tengah-tengah antara 2 tempat kerja ni. Ditambah pula dengan kemudahan yang ada, memang berbaloi untuk menetap di sini.

Antara kawasan perumahan yang terdapat di Bandar Kinrara – sumber gambar I&P group

Jenis Kediaman Macam mana Yang Ada Kat Sini?

Di Bandar Kinrara majoriti perumahan kat sini adalah jenis rumah bertanah (landed). Ada rumah teres setingkat, teres 2 tingkat, semi-d hingga banglo. Tapi ada juga beberapa kediaman bertingkat seperti Kenangan apartment, Merak apartment, Kinrara 8, the Zest dan Kinrara 10.

Berbaloi ke beli hartanah kat sini?

Pada pendapat saya secara peribadi, Bandar Kinrara antara kawasan yang strategik untuk memiliki hartanah dan tinggal kat sini.

Dengan peluang pekerjaan yang banyak sekitar Puchong, Sunway, Sungai Besi dan Taman Teknologi Bukit Jalil, memudahkan urusan nak ke tempat kerja.

Walaupun ada beberapa kekurangan seperti tak ada shopping malls, wayang dan kolej pengajian, tapi kemudahan asas yang lain sudah cukup lengkap dan bagus untuk tinggal kat sini.

Jaringan lebuhraya yang baik ditambah pula lokasinya di tengah-tengah Lembah Klang membuatkan Bandar Kinrara tak terasa jauh untuk ke mana-mana bandar besar lain.

Dan itu adalah satu kelebihan untuk Bandar Kinrara yang kini boleh dikategorikan satu kawasan yang sudah matang selepas hampir tiga dekad pembangunan.



Fakhrul Hakim adalah seorang ejen hartanah yang aktif dalam negara dan giat mengemaskini aktiviti hartanah beliau dalam laman media sosial.

Kalau korang ada sebarang kritikan, komen, rasa tak puas hati, kesalahan fakta dari ulasan analisa kawasan dari beliau, boleh utarakan pandangan di ruangan komen atau ‘serang’ beliau di laman Facebook beliau https://www.facebook.com/fakhrul.hakim.7

 

 

Leave a Reply