Login

Register

Login

Register

4 langkah mudah mulakan simpanan dana kecemasan segera

Katakan satu hari, kita terpaksa gunakan RM3,000 untuk satu kecemasan yang tak disangka, dan kita langsung tak ada dana kecemasan untuk kita gunakan?

Hidup ni tak sentiasa indah belaka. Kita tak tahu bila malapetaka akan menimpa. Jadi, yang terbaik kita boleh buat adalah memastikan kita cukup bersedia untuk hadapi saat-saat getir ini.

Tok ada baca artikel tentang perkara ini kat blog Money Peach. Dan Tok harap korang hadamkan dan mulakan simpanan dana kecemasan sekarang juga.

Langkah #1: Kenal pasti sama ada perlu menyimpan untuk 3 atau 6 bulan

Ini soalan pertama yang wajib kita jawab sebelum mulakan simpanan dana kecemasan. Dan ia bergantung kat kapasiti kewangan kita setiap bulan.

Kalau kita ada kerja dan gaji yang stabil, buat simpanan sekurang-kurangnya untuk tempoh 3 bulan. Ini sebab kita tahu setiap akhir bulan, kita akan dapat gaji secara konsisten.

Lain pula kalau gaji kita berdasarkan komisyen. Kalau kita tergolong dalam kumpulan ini, buat simpanan untuk tempoh 6 bulan.

Dan kalau kita tergolong kat tengah-tengah (makan gaji dan komisyen), buat sekurang-kurangnya simpanan untuk tempoh 4 atau 5 bulan.

Tok kongsikan beberapa jenis profesion dan jenis simpanan dana kecemasan untuk rujukan kita:

  • Cikgu: Simpanan dana kecemasan untuk tempoh 3 bulan,
  • Ejen hartanah: Simpanan dana kecemasan untuk tempoh 6 bulan,
  • Jurutera: Simpanan dana kecemasan untuk tempoh 4 bulan,
  • Pendandan rambut: Simpanan dana kecemasa untuk tempoh 5 bulan,
  • Usahawan kecil-kecilan: Simpanan dana kecemasan untuk tempoh 6 bulan,
  • Jururawat: Simpanan dana kecemasan untuk tempoh 4 bulan,
  • Jurujual dan pemasaran: Simpanan dana kecemasan untuk tempoh 6 bulan.

Nota: Setiap simpanan kat atas ini hanya sekadar cadangan saja. Ia boleh kita sesuaikan mengikut kapasiti kewangan masing-masing.

Langkah #2: Tak perlu menyimpan duit sekaligus sebagai permulaan

Mungkin bila baca tajuk atas ini, ada yang akan cakap Tok tak betul. Teruskan bacaan untuk fahamkan maksud Tok yang sebenar ya.

Tak logik kalau kita kena menyimpan semua duit kita sekaligus sebagai permulaan. Sebab kita masih perlu gunakan duit untuk membeli makanan, isi minyak kereta, atau lain-lain perbelanjaan untuk menampung keperluan seharian kita.

Yang patut kita buat adalah elakkan makan kat restoran mahal, membeli-belah benda yang tak penting, dan tukar smartphone setiap kali model baru dijual.

Bermakna, kita masih kena gunakan duit untuk tanggung survival kita setiap hari sebelum gaji baru masuk dalam akaun. Dan untuk sesetengah orang, ia akan menelan belanja sekitar RM1,500 hingga RM3,000 (atau lebih), bergantung kat gaya hidup masing-masing.

Itu baru perbelanjaan untuk survival kita. Tak termasuk lagi dengan hutang-piutang yang kita kena jelaskan setiap bulan, pelaburan (seperti ASB atau lain-lain), simpanan dan sebagainya.

Jadi, mulakan simpanan dengan jumlah yang sikit dulu sebagai permulaan. Ia digelar dana kecemasan permulaan (Starter Emergency Fund).

Kat bawah ni, Tok sediakan garis panduan mengikut kapasiti gaji tahunan masing-masing:

  • Kurang daripada RM50,000: Simpan RM500 hingga RM1,000 sebagai permulaan,
  • RM50,000 hingga RM75,000: Simpan RM1,500 hingga RM3,000 sebagai permulaan,
  • RM75,000 ke atas: Simpan RM3,500 ke atas (tak ada had).

Kalau tak mampu nak simpan jumlah kat atas ini, mulakan dengan apa yang mampu dulu. Tak salah mulakan dengan yang sikit, daripada tak mula menyimpan langsung.

Nota: Lebih banyak kita boleh simpan, lagi bagus. Tapi, pastikan dulu ia tak beri kesan kat perbelanjaan asas kita dan simpanan lain. Kita boleh atasi masalah ni dengan buat bajet yang baik.

Langkah #3: Simpan duit kat tempat yang sepatutnya

Bila dah mula menyimpan, tiba pula masa kita pilih untuk letak simpanan itu kat tempat yang sepatutnya.

Tok cadangkan untuk simpan kat tempat yang selamat dan senang kita nak akses.

Kalau ada peti keselamatan, boleh simpan kat situ. Atau mungkin kita ada tempat tersembunyi yang orang lain tak tahu, pun boleh juga.

Paling selamat dah tentu simpan kat bank. Tapi, pastikan dulu bank itu dekat dengan rumah kita. Kita tak nak gunakan masa yang banyak untuk keluarkan simpanan itu kalau terjadi apa-apa, kan?

Dan tak lupa juga, pastikan kita simpan dalam satu akaun khas untuk dana kecemasan saja, dan elak campurkan simpanan ini dengan simpanan yang lain. Ini boleh elakkan kita tersilap belanja simpanan dana kecemasan yang ada.

Langkah #4: Elakkan fokus kat dana kecemasan 100% selagi hutang tak selesai

Selagi kita ada sebarang hutang seperti hutang kad kredit, pinjaman rumah, kereta dan sebagainya, elak tumpukan perhatian membina dana kecemasan secara keseluruhan.

Sebab apa Tok pesan macam ni?

Tak semua orang ada kapasiti dari segi tenaga mental dan fizikal untuk buat 2 perkara dalam satu masa. Dah tentu usaha ini akan memakan tenaga kita dengan banyak sekali.

Strategi terbaik adalah mula simpan sikit dulu, dan berusaha untuk selesaikan segala hutang-piutang yang ada. Gunakan strategi No.3 tadi sebagai permulaan, dan tak usah tergopoh-gapah membina dana ini.

Bila dah selesaikan segala hutang, baru boleh kita tumpukan 100% perhatian membina dana ini. Simpanan ini akan lebih cepat berkembang lepas kita berjaya langsaikan semua hutang.

Dah habis baca perkongsian ini? Tahniah Tok ucapkan. Lepas ini, korang akan lebih mahir kendalikan kewangan dan membina dana yang penting ini.

Cuma, Tok nak pesan satu lagi perkara. Belajar untuk bezakan antara hal-hal kecemasan bila nak gunakan dana ni.

Contohnya, beg tangan yang sedang dijual dengan harga diskaun bukanlah satu kecemasan. Kalau lutut anak kita terkoyak (minta dijauhkan) dan perlukan jahitan, ini baru kecemasan.

Dan hentikan mencipta alasan yang tak munasabah (yang cuma sekadar sedapkan hati kita) untuk gunakan dana kecemasan ini. Kelak nanti korang sendiri yang rasa menyesal nanti.

Dah nama pun dana kecemasan, mestilah gunakan untuk hal kecemasan saja kan? Semoga berjaya membina dana kecemasan yang ohsem. Salam Jumaat yang penuh barakah dari Tok. Sayang korang ketat-ketat.

Tok Penghulu

Read Previous

Baca ini sebelum anda lawat dan beli rumah untuk pelaburan. Pelabur kali pertama wajib baca

Read Next

Elakkan 5 tabiat berbelanja yang buatkan kita jadi miskin ini

Leave a Reply