PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

Usaha sama Malaysia dan Singapura berjalan lancar, Marina One dijangka siap 2017

SINGAPURA 30 Nov. – Syarikat usaha sama Malaysia-Singapura, M+S Pte Ltd., berjalan dengan baik, kata Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong.

M+S merupakan syarikat usaha sama milik Khazanah Nasional Bhd. (Malaysia) dan Temasek Hol­dings (Singapura).

Ia dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan pembangunan bersama di Marina South dan kawasan Ophir-Rochor di Singapura, serta Iskandar Malaysia.

“Saya melihat projek di Marina South dan Ophir-Rochor, kedua-duanya itu sedang dilaksanakan dan pembangunannya semakin berterusan.”

“Saya ada membaca bahawa mereka mencatat jualan yang munasabah jadi saya berpendapat projek berkenaan akan berjaya,” katanya dalam temu bual bersama Bernama pada Isnin.

Peroleh komitmen awal pemajakan pejabat yang memberansangkan

Pada Jun tahun ini, M+S me­ngumumkan ia memperoleh ko­mit­men awal pemajakan pejabat yang memberangsangkan bagi lebih setengah juta kaki persegi di Marina One.

Menurut M+S, ia merupakan beberapa perjanjian pemajakan pejabat terbesar pada 2016 dan ia akan terus melaksanakan run­dingan aktif dengan banyak syarikat multinasional lain yang ingin mendapatkan ruang pejabat pelbagai tingkat.

Pembangunan 3.67 juta kaki persegi itu terdiri daripada Menara Timur dan Barat Marina One; dua menara pejabat utama gred A dengan kira-kira 1.88 juta kaki persegi; 1,042 unit kediaman mewah bandar; 140,000 kaki persegi ruang runcit serta 65,000 kaki persegi kawasan hijau.

Pembangunan Marina One berjalan mengikut jadual untuk di­siapkan pada 2017, menurut M+S.

Pada 2011, Hsein Loong dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak menandatangani perjanjian untuk menyelesaikan pertikaian berhubung kawasan tanah tertentu di Singapura yang sebelum ini milik Keretapi Tanah Melayu.

Antara perkara utama perjanjian itu adalah penubuhan syarikat usaha sama, M+S. – BERNAMA


[Sumber berita asal: Utusan Online]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *