PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

UDA mahu bina Angsana 2 JB Mall dalam tempoh 5 tahun akan datang.

Syarikat pembangunan har­tanah, UDA Holdings Bhd. (UDA) merancang untuk membangunkan Angsana 2 JB Mall bersebelahan pusat beli-belah Angsana, Bandar Baru Uda.

Projek ini melibatkan nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah RM500 juta hingga RM1 bilion.

Pengarah Urusan UDA, Datuk Ahmad Abu Bakar berkata, projek pembangunan bersepadu di atas tanah berkeluasan 5 hektar ini, akan dibangunkan dalam tempoh 3 hingga 5 tahun akan datang.

Katanya, selain membangunkan Angsana 2 JB Mall, projek pembangunan itu juga akan melibatkan pembinaan hotel di bawah jenama Hotel Ancasa, pusat konvensyen dan lot komersial.

“Kita sememangnya merancang untuk melakukan pemba­ngunan bersepadu di atas tanah bersebelahan pusat beli-belah Angsana.”

Perancangan membina pangsapuri jenis sederhana dan mewah.

“Ia melibatkan pembinaan hotel, pusat beli-belah baharu serta pembangunan komersial lain.

“Dijangkakan projek pemba­ngunan itu mula dilakukan dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, dan buat masa ini kita mahu melihat isu peningkatan kelancaran aliran trafik di kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Rumah Terbuka Aidilfitri UDA Angsana Sdn. Bhd. bersama UDA Land (South) Sdn. Bhd. di pusat beli-belah Angsana di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi UDA Holdings, Datuk Mohd. Shafie Abdullah.

Mohd. Shafie berkata, dalam tempoh tiga tahun ini, UDA Land (South) turut merancang untuk membina rumah pangsapuri jenis sederhana dan mewah di kawasan Tampoi.

Usaha meningkatkan pemilikan hartanah di kawasan bandar.

Katanya, UDA Land (South) juga akan melaksanakan pembangunan di Skudai Kiri, di sini dalam masa terdekat.

Projek ini akan memberi tumpuan terhadap pembinaan perumahan mampu milik dan sederhana bagi meningkatkan pemilikan hartanah bumiputera di kawasan bandar.

“Projek pembangunan perumah­an mampu milik dan sederhana ini merupakan usaha menyambut seruan kerajaan bagi meningkatkan pemilikan hartanah kepada semua jenis golongan terutamanya golongan berpendapatan sederhana dan rendah,” katanya.

(Sumber berita: Utusan.com.my)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *