PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

Rumah sewa mana yang lagi sesuai untuk pasangan baru berkahwin?

“Sebelum kahwin dengan saya, saya nak tanya sikit. Awak dah ada rumah?”

Tanya Aliya kepada Abu.

Tok tak nafikan, rumah sememangnya satu keperluan sebelum berkahwin. Walau bagaimanapun, majoritinya sukar untuk memiliki rumah sendiri di awal perkahwinan. Kalau anda perhatikan dialog di atas, Tok pasti lelaki terutamanya akan triggered.

Tapi rileks dulu, tak wajib pun beli rumah sebelum kahwin. Apa yang penting, perlu ada tempat tinggal yang selesa. Tidak salah untuk menyewa dahulu.

Lagipun, memiliki rumah tidak semestinya kewangan stabil. Tak percaya?

Baca ini : Beli rumah tanda dah stabil?

Bila nak menyewa ni, anda ada beberapa pilihan. Ada rumah kosong, semi-furnished atau fully furnished. Mana satu yang paling okay? Jom kita tengok satu-satu.

Rumah Kosong

Rumah kosong di sini bermaksud kediaman tersebut tidak memiliki sebarang perabot. Malahan perabot asas seperti kerusi dan meja makan juga tiada.

Kelebihannya anda bebas mencorakkan sendiri bagaimana anda nak hias rumah tersebut. Boleh beli perabot, mesin basuh atau peti ais yang anda suka. Mana tahu ada yang nak buat konsep minimalis ke, Scandinavian ke.

Harga sewa bagi unit ini pula agak murah kerana tuan rumah tidak perlu keluarkan modal untuk membeli perabot. Memang jauh bezanya dengan unit fully furnished.

Kekurangannya pula, anda perlu keluarkan modal untuk beli perabot asas seperti katil, kipas, kerusi, meja, peti ais, tong gas dan dapur. Kurang-kurang kena ada RM3,000-RM4,000 juga untuk perabot sahaja. Belum lagi bayaran deposit 2+1. Kalau sewa sebulan RM1,000, kena ada RM3,000 untuk deposit.

Jumlah untuk masuk rumah baru adalah RM6,000. Amaun yang tinggi untuk pasangan yang baru sahaja habis berbelanja untuk majlis perkahwinan dan hantaran.

Selain itu, bila nak pindah rumah nanti, banyak barang yang perlu dibawa. Penat sikitlah. Tapi bagi Tok ini bukan masalah yang besar. Kita bukannya pindah setahun 2 kali. Mungkin selepas 3 tahun baru pindah. Dan boleh sahaja upah pembantu semasa pindah.

Rumah Semi-furnished

Bagi unit ini, anda mungkin boleh menarik nafas lega sedikit kerana tuan rumah akan sediakan kemudahan separa lengkap. Barang apa yang ada itu bergantung pada tuan rumah sendiri. Biasanya ada perabot asas seperti kerusi, meja, katil, almari, dapur gas dan peti ais. Kuranglah sedikit beban pasangan mempelai baru.

Sepanjang menyewa, boleh beli satu demi satu perabot. Tidaklah rasa terbeban perlu keluarkan amaun yang besar sekali gus.

Kadar sewa pula masih murah tetapi sedikit tinggi berbanding unit kosong.

Rumah Fully Furnished

Rumah ini paling sesuai untuk orang yang malas nak serabutkan kepala. Tinggal datang bawa diri dan pakaian sahaja. Yang lain? Segalanya tuan rumah dah sediakan. Peti ais, TV, mesin basuh, dapur, katil, sofa dan pelbagai lagi. Lengkap. Nak pindah nanti pun senang. Ada juga sesetengah tuan rumah yang sediakan kemudahan wifi dan aircond untuk menarik penyewa.

Walau bagaimanapun, kadar sewa unit ini agak mahal. Tambahan dalam RM300-RM400 sebulan berbanding unit lain, boleh jadi lebih tinggi bergantung kepada barang yang disediakan.

Bagi Tok, RM300 tu amaun yang besar untuk pasangan muda. Boleh buat bayar ansuran kereta atau beli barang dapur untuk 2 minggu.

Unit mana yang sesuai untuk pasangan baru berkahwin?

Semuanya berbalik kepada kemahuan dan kemampuan pasangan. Kalau pendapatan tinggi, mana-mana pilihan pun okay. Rumah kosong okay sebab mampu beli perabot, rumah fully furnished pun okay sebab mampu bayar sewa tinggi.

Kalau pendapatan tidak berapa tinggi macam mana pula?

Rumah kosong pun boleh sahaja. Tapi janganlah mengharap bulan pertama tu semua barang terus ada. Mungkin tidur atas tilam tanpa katil dahulu. Meja makan boleh pakai meja lipat. Satu per satu. Ingat, anda pasangan baru berkahwin, biasalah ada kekurangan sikit.

Pada pendapat Tok pula, moleknya ambil unit semi-furnished. Sewanya tidaklah begitu tinggi dan miliki kelengkapan asas untuk anda mulakan hidup. Apa-apapun Tok ulang sekali, semuanya bergantung kepada anda. Tepuk dada tanya selera.

Nak beli rumah bukannya terus boleh main beli. Perlukan ilmu dan faham hartanah yang macam mana nak beli. Tak boleh main terjun je beli hartanah. Nanti tersalah jalan, boleh pening bertahun – tahun lamanya. Tak salah pun menyewa. Kita sendiri tahu kemampuan kewangan kita.

Sebagai penyewa, kita haruslah tahu apa hak – hak kita sebagai penyewa dan juga macam mana nak untung dengan menyewa.

Ebook terbaru GilaHartanah ini adalah PERCUMA buat masa yang terhad! Jom dapatkan sekarang. Klik gambar di bawah sekarang kalau anda nak dapat ebook ini.

[KLIK GAMBAR SEKARANG]

ebook terbaru GH

Comments are closed