PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

RM165,000 adalah harga rumah mampu milik di Malaysia.

Rumah yang berharga sehingga RM165,060 dianggap mampu dimiliki isi rumah median di Malaysia.

Perkara ini diketengahkan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz pada mesyuarat Kumpulan Fokus Bajet mengenai “Mempercepatkan Penawaran Perumahan Mampu Milik” di sini hari ini.

Pada mesyuarat itu, beliau menyebut tentang metodologi “Median Multiple” yang dibangunkan Demographia International dan disyorkan Bank Dunia dan Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi menilai pasaran perumahan bandar.

Sesebuah rumah dianggap mampu milik sekiranya isi rumah boleh membiayai pemilikan itu dengan jumlah kurang daripada tiga kali pendapatan tahunan isi rumah.

Dalam tajuk perbincangan beliau pada mesyuarat kumpulan fokus itu, Othman menegaskan hanya 21 peratus daripada projek perumahan baharu dilancarkan di Malaysia berharga di bawah RM250,000 pada tahun 2014, berikutan pemaju tertarik dengan hartanah mewah berharga lebih setengah juta.

Isu-isu lain yang turut dibincangkan. 

“Perumahan mampu milik adalah satu keperluan asas yang membantu untuk melahirkan masyarakat kukuh dan stabil, dengan hasil ekonomi, pendidikan dan kesihatan lebih baik bagi individu, keluarga, dan masyarakat,” katanya.

Selain daripada kurangnya penawaran rumah mampu milik, beberapa isu lain yang berkaitan dengan perumahan dibincangkan, termasuk pelaksanaan Sistem Pembinaan Berindustri (IBS) dan penggunaan teknologi hijau yang begitu lambat diterima pakai, kata Othman.

“Walaupun inisiatif perumahan mampu milik oleh kerajaan telah mengumpulkan beberapa momentum, tahap semasa pembinaan rumah dalam segmen perumahan mampu milik tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan.”

“Kekurangan semakin teruk dalam penawaran perumahan menggambarkan terjadinya perbezaan antara kadar pertumbuhan dalam penawaran rumah baharu dan peningkatan bersih dalam bilangan isi rumah, terutamanya dalam tempoh lima tahun yang lalu,” katanya.

Dengan mengambil kira keperluan untuk menyediakan perumahan yang bermutu dan mampu milik untuk rakyat, kerajaan melalui Rancangan Malaysia ke-11, akan terus memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan perumahan kumpulan sasar di kawasan bandar dan luar bandar, katanya.

Wujudkan pengkalan data bersepadu. 

Untuk menambah baik perancangan dan pembangunan perumahan mampu milik, beliau berkata, pangkalan data bersepadu yang boleh diakses oleh semua pihak berkepentingan yang berkaitan akan diwujudkan.

Ini bagi memastikan penawaran perumahan dipadankan dengan permintaan mengikut kawasan, harga dan kumpulan sasar.

Beberapa siri mesyuarat kumpulan fokus telah diadakan selepas Bajet Rundingan 2017 dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 16 Jun, bertemakan “Memacu Pertumbuhan, Memastikan Fiskal Berhemah, Meningkatkan Kesejahteraan Rakyat”. – Bernama

(Sumber asal: Sinar Harian)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *