PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

Rakyat Johor bakal nikmati pelbagai projek perumahan rakyat tahun depan

ISKANDAR PUTERI 17 Nov. – Kerajaan negeri akan te­rus memperkasakan penyediaan perumahan rak­yat menerusi projek-projek yang akan dibangunkan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, syarikat tersebut komited untuk terus menyumbang dalam pembinaan pelbagai jenis rumah mampu milik di negeri ini.

Misalannya, Perbadanan Islam Johor Holdings (PIJH) akan membangunkan dua lagi Taman Perbadanan Islam, masing-masing di Labis dan Pagoh, manakala Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) membina rumah di Kong-Kong, Sungai Lunchoo dan Kampung Senibong, di sini.

“Johor Corporation (JCorp) pula akan mengambil tanggungjawab membangunkan perumahan di Lenga, Muar dan Masai, Pasir Gudang,” katanya semasa membentangkan Bajet Johor 2017 di Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Selain itu, pembinaan Rumah Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) dan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) turut akan diteruskan di negeri ini, katanya.

Banyak projek yang akan dibangunkan

Menteri Besar berkata, Yayasan Pelajaran Johor Holdings (YPJH) juga akan membina 2,877 unit PPA1M di Mersing, Kluang, Tangkak, Muar dan Batu Pahat, manakala PR1MA akan membangunkan 21,540 rumah di Kota Tinggi, Segamat, Batu Pahat, Kluang dan Johor Bahru dengan tawaran harga seunit antara RM150,000 dan RM350,000.

“Inisiatif subsidi menerusi program Rumah Mesra Rakyat Johor (RMRJ) juga akan diteruskan bagi pembinaan kediaman di atas ta­nah sendiri dan kita akan membantu membina 200 unit rumah lagi, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 3,000 unit menjelang tahun 2018.”

“Subsidi pembinaan rumah akan diberi mengikut skala RM10,000 bagi rumah berharga RM64,000, RM12,500 bagi kediaman RM72,500 dan RM15,000 untuk rumah RM85,000,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut mengumumkan kuota baharu bagi memperkemaskan pemilikan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) iaitu dengan menetapkan kuota, ma­sing-masing 10% kepada golongan belia dan orang kurang upaya (OKU), dengan keutamaan memiliki rumah aras bawah atau satu bagi kediaman strata.

Beliau berkata, kerajaan ne­geri juga memperuntukkan dana sebanyak RM20 juta untuk membeli rumah mampu milik berharga RM42,000 dan RM80,000 dan seterusnya ditawarkan kepada golongan yang layak menerusi skim sewa beli.


[Sumber berita asal: Utusan Online]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *