Projek Rumawip siap 45,123 unit setakat ini

Pembinaan Projek Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) mencapai sebanyak 45,123 unit atau 56 peratus daripada sasaran keseluruhan 80,000 unit setakat ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, 49,081 unit lagi dalam peringkat kelulusan arahan pembangunan (DO).

Masing-masing 28,563 unit dalam peringkat kelulusan manakala 20,518 lagi dalam peringkat perancangan.

Jelasnya, indikator yang diguna pakai dalam pengiraan sasaran itu mengambil kira projek di bawah kategori siap, dalam pembinaan dan DO.

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sering menekankan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Kementerian menyahut cabaran Perdana Menteri dalam usaha mencapai sasaran 80,000 rumah mampu milik.”

“Hanya sedikit masalah di Labuan kerana sepatutnya dibangunkan sebanyak 10,000 unit tetapi disebabkan masalah pembeli, berkemungkinan 5,000 di Labuan dan 5,000 lagi dibina di Putrajaya,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyempurnaan Struktur Binaan Residensi Pandanmas di sini hari ini.

Pembeli akan dapat rumah tahun depan

Yang turut hadir timbalannya, Datuk Dr. Loga Bala Mohan; Ke-tua Setiausaha kementerian Datuk Seri Adnan Md. Ikshan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz.

Terdahulu, Tengku Adnan memaklumkan, Residensi Pandanmas yang sepatutnya siap Januari 2018 dapat diserahkan kepada pembeli pada Mac tahun hadapan atas prestasi cemerlang pemaju yang dijangka menyiapkannya sembilan bulan lebih awal.

Sementara itu, beliau berkata, pihak kementerian akan menarik semula DO projek terhadap pemaju di ibu negara yang melewatkan pelaksanaan kerja-kerja pembinaan walaupun telah mendapat kelulusan.

Katanya, pemantauan akan dilaksanakan secara berterusan terhadap rancangan pembangunan yang diberi kelulusan khususnya melibatkan projek-projek perumahan.

“Tindakan tersebut bagi memastikan setiap projek berjalan lancar mengikut jadual ditetapkan. Jika tidak boleh dibangunkan projek terbabit, pihak berkenaan perlu tampil untuk berbincang.”

“Ada pemaju yang mahu jual projek setelah menerima DO, kita akan tarik semula kelulusan itu. Justeru, satu pertemuan bersama 179 pemaju projek sekitar ibu kota akan diatur dalam masa terdekat bagi menyelami masalah mereka,” katanya.

[Sumber asal: Utusan Online]

86 Shares

Leave a Reply