PORTAL PELABURAN HARTANAH NO.1* DI MALAYSIA

Projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) bakal bermula awal tahun depan

Projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) yang melibatkan pembinaan sebanyak 11,400 rumah berharga RM70,000 seunit di tanah rancangan di seluruh negara dijangka dapat dimulakan pada awal tahun depan.

Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, pihak telah melengkapkan segala proses pembinaan rumah tersebut.

Ini termasuk mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan dan bank selain telah melantik satu pemaju untuk melaksanakan pembinaan tersebut.

Beliau berkata, pembinaan rumah terbabit adalah seperti di­arahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin.

“Berdasarkan maklum balas yang diterima daripada pemaju, pembinaan akan dimulakan selewat-lewatnya pada awal tahun depan. Buat permulaan sebanyak 2,500 unit akan dibina terlebih dahulu.”

Projek berjalan dengan lancar

“Projek pembinaan ini tidak menghadapi sebarang masalah termasuk tanah dan pembiayaan pembinaannya,” katanya selepas majlis meraikan atlet Sukan Para­limpik 2016, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi di Menara Felda, di sini hari ini.

Bagaimanapun, Mohd. Isa berkata, PGBF melibatkan 8,470 rumah berharga RM90,000 seunit pula masih belum dapat dipastikan tarikh pembinaannya ekoran Felda masih belum dapat pinjaman untuk membiayai kos pembinaannya.

“Kami telah berbincang de­ngan beberapa bank dan sedang melihat tawaran terbaik daripada institusi kewangan tersebut.”

Apabila perkara ini selesai, pembinaan rumah terbabit akan dimulakan.

“Projek ini memerlukan lebih RM1 bilion untuk pembinaannya dan Felda tidak lagi boleh menggunakan dana yang ada kerana telah menggunakan lebih daripada RM400 juta,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Isa menyatakan, penyata kewangan syarikat tersebut telah disiapkan pada 28 September lalu dan diedarkan kepada pengurus-pengurus ranca­ngan.

“Pengurus-pengurus rancangan akan memberikan penerangan secara berkelompok kepada peneroka dan segala persoalan boleh dikemukakan kepada mereka,” katanya.

[Sumber berita: Utusan Online]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *